Rabu, 7 Disember 2022

White String / Tali Putih


 Salam Malam Jumaat semua,

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun yang agak sedikit ganjil yang berkaitan dengan menindik telinga. Pada 1980an, ada masa lagenda ini menjadi popular dan kanak-kanak perempuan pada masa itu menjadi takut untuk menindik telinga mereka. Apabila rata-ratanya mempercayai lagenda ini adalah benar.


Ia menceritakan seorang gadis muda yang teramat inginkan telinganya ditindik. Akan tetapi ibubapanya mengatakan bahawa dia masih muda untuk berbuat demikian akan tetapi dia terus merayu dengan mengatakan keseluruhan pelajar perempuan di kelasnya sudah bertindik telinga. Akhirnya sang ibubapa terpaksa mengalah dan membenarkan dia untuk berbuat demikian. Mereka memberikannya duit dan menyuruhnya untuk membuatnya di sebuah kedai menjual barang kemas yang berada di sebuah pusat beli belah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.


Sebaliknya gadis berkenaan mengambil keputusan untuk menyimpan duit berkenaan dengan menindik telinganya sendiri. Dengan bantuan kawan karibnya, mereka memanaskan satu jarung besar lalu mencucuk pada cuping telinga gadis berkenaan. Walaupun ia agak menyakitkan yang teramatnya, sekurangnya dia sudah menindik telinganya serta mampu mengenakan anting-anting dengan hati gembira.


Akan tetapi pada satu hari masa di sekolah, si gadis mulai merasa sakit pada cuping telinga kirinya sebelum ia menjadi teramat gatal sekali. Tanpa membuang masa dia berlari ke tandas dan melihat pada cermin, sebaik sahaja bunyi loceng masa rehat berbunyi. Cuping telinganya agak bengkak merah, tanpa membuang masa dia terus mengarunya. 


Apabila dia memperhatikan betul-betul, kelihatan seperti seutas tali putih keluar daripada lubang dimana dia menindik telinganya. Dengan perasaan curiga dengan keganjilan ini, dia mulai menariknya keluar. Selepas beberapa minit, tali putih itu menjadi teramat panjang seperti tiada penghujungnya keluar tergantung dari lubang di cuping telinganya. 


Akhirnya dia pergi mengambil sepasang gunting lalu mengguntingnya. 


Tiba-tiba semua menjadi gelap. Dia tak mampu melihat apa-apa. 


Lalu dikejarkan ke hospital tempatan dan dimasukkan ke ruangan kecemasan. Seorang doktor datang membuat pemeriksaan kepada gadis berkenaan. Gadis berkenaan menjadi panik dan takut, bertanya kepada doktor apa yang terjadi kepadanya. Doktor tersebut agak terkejut sebaik sahaja dia selesai membuat pemeriksaan kesihatan pada gadis berkenaan.


"Maaf, kamu akan menjadi buta buat selamanya. Ia bukan tali putih yang kamu potong sebaliknya saraf optik." kata doktor. 


Ia merupakan cerita urban legend daripada Jepun yang mempunyai pengajaran dia sendiri terutamanya bab menindik telinga dan menghalang mereka terutamanya kanak-kanak daripada membuatnya sendiri tanpa pengawasan orang dewasa ataupun mereka yang pakar dalam bidang ini. Ia memang tidak logik tali putih iaitu saraf optik boleh keluar daripada telinga jikalau kamu tanya mana-mana doktor atau faham biologi anatomi tubuh badan. 


Rasanya cerita ini lebih kepada pengajaran. Apa pendapat kamu? 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan