Khamis, 28 Mac 2024

Licca-chan berkaki 3

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Licca-chan berkaki 3.

Menurut Urban Legend, syarikat yang menghasilkan anak patung Licca-chan melakukan kesilapan teknikal dalam produksi anak patung ini. Apabila secara tidak sengaja menghasilkan beberapa anak patung yang mempunyai 3 kaki. Anak patung tersebut sudah dihantar ke pasaran apabila baru masalah itu diketahui.

Walau bagaimanapun cubaan syarikat itu untuk menarik anak patung berkaki 3, terdapat beberapa tidak dapat dikembalikan dan ada beberapa telah dijualkan kepada umum. 

Disini disertakan beberapa cerita mengenai Licca-chan berkaki 3. 


Cerita 1,

Pada 1 petang, seorang wanita muda sedang berjalan-jalan di sebuah taman. Apabila alam memanggil lalu dia menuju ke tandas awam dan masuk ke salah satu kubikal. Semasa dia melegakan dirinya, lalu dia ternampak sesuatu terbaring berdekatan dengan kakinya.

Ia adalah sebuah anak patung Licca-chan. 

Dia menjadi hairan mengapa anak patung itu berada di sana. Adakah seseorang membuangnya? Dia berasa kasihan dengan keadaan anak patung lalu mencapainya dan mengangkat ia seperti biasa. Dengan terkejut apabila dia melihat.

Anak patung Licca-chan mempunyai 3 kaki. 

2 kakinya adalah biasa dan berwarna kulit, manakala kaki ke3 itu cacat dan berbulu serta berwarna ungu gelap. 

Dia menjadi terkejut lalu tidak sengaja melempar anak patung dengan wajahnya meniarap pada lantai tandas. 

Dengan tiba-tiba dia menjadi lebih ketakutan apabila kepala anak patung itu dengan perlahan-lahan menoleh ke arahnya.

Dari mulut kecil anak patung kedengaran, "Nama saya Licca-chan, saya disumpah, disumpah, disumpah, disumpah..."

Dengan penuh ketakutan, wanita itu berlari keluar dari tandas dengan laju sekali. Walau bagaimanapun dia berada dan pergi, suara itu terus-menerus membisik pada telinganya.

"Nama saya Licca-chan, saya disumpah, disumpah, disumpah disumpah..." 

Malah apabila telefon bimbitnya berdering, lalu disambutnya dan pada hujung telefon kedengaran seperti Licca-chan. "Nama saya Licca-chan, saya disumpah, disumpah, disumpah, disumpah..." 

Akhirnya wanita itu tak dapat tahan lagi, dia mengambil keputusan untuk memecahkan gegendang telinganya agar dia tidak dapat mendengar suara itu lagi.


Cerita 2,

Terdapat satu anak patung itu muncul di sebuah tandas di sebuah sekolah dan ditemui oleh seorang pelajar perempuan. Ia mengatakan "Nama saya Licca-chan. Mari kita main sembunyi - sembunyi." Sebelum pelajar perempuan itu dapat menjawab, anak patung itu mengeluarkan sebilah pisau lalu menusukkannya ke pelajar perempuan itu lalu berkata. "You're it!"


Cerita 3,

Ada yang mengatakan Licca-chan berkaki 3 itu diperbuat daripada daging manusia dan ia mengatakan, "Nama saya Licca-chan dan saya sedang mencari empunya kaki ini."


Cerita 4,

Ia mengisahkan seorang budak perempuan yang menemui Licca-chan di mangkuk tandas. Dia berasa jijik apabila dia melihat kaki ke3 Licca-chan yang berwarna keunguan dan cuba menyiram anak patung masuk ke dalam mangkuk tandas. Dalam beberapa hari, budak perempuan itu terlibat di dalam satu kemalangan dan kakinya terpaksa dipotong. Ketika dia terbaring rehat di atas katil hospital, lalu melihat pada pangkal kaki yang dipotong. Dalam ketakutan yang teramat sekali, dia terlihat kaki ungu mulai tumbuh di sana. Akhirnya kaki tersebut mengambil alih keseluruhan tubuh badan budak perempuan itu sebelum meragut nyawanya.


Cerita 5,

Ia akan muncul pada tepi katil kamu ketika kamu sedang tidur nyenyak pada waktu malam. Licca-chan akan memegang sebilah pisau pemotong daging pada tangannya, laku ia akan menunggu sampai kamu menyedari kehadirannya. Apabila kamu sedari, ia akan menyerang kamu dengan memotong kaki kamu dengan pisau pemotong daging itu.




Khamis, 21 Mac 2024

Dunia Lain

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai satu permainan menyeramkan yang untuk memasuki ke dunia lain. 

Kamu perlu lakukan upacara permainan ini dengan menggunakan lif, dikatakan ia boleh membawa kamu ke dunia lain. Kamu kena berhati-hati, ada kemungkinan tinggi kamu tidak akan kembali lagi ke dunia nyata.

Cara ke dunia lain. 

Untuk bermain permainan menyeramkan ini, kamu harus menggunakan bangunan yang mempunyai lebih 10 tingkat dan mempunyai lif.

  1. Naik lif ke tingkat 1 (Pastikan lif tersebut itu kosong dan kamu harus lakukan seorang diri). 
  2. Kemudian ke tingkat mengikut urutan ini, tingkat 4, 2, 6, 2, 10 (Jikalau ada seseorang memasuki lif berkenaan semasa kamu menjalankan upacara ini, upacara itu gagal).
  3. Setibanya di tingkat 10, tekan butang tingkat 5 tanpa perlu keluar daripada lif. 
  4. Setibanya kamu di tingkat 5, pintu akan terbuka dan seorang wanita muda mengenakan serba hitam akan masuk ke dalam lif dimana kamu berada. (Jangan berbicara dengan orang tersebut).
  5. Sebaik sahaja dia berada di dalam lif, tekan ke tingkat 1.
  6. Daripada ia turun ke lantai tingkat 1, lif akan naik ke tingkat 10. (Inilah peluang terakhir jikalau kamu nak hentikan permainan. Jikalau kamu menekan butang pada tingkat lain, maka upacara itu tidak berkesan. Jikalau lif melebihi tingkat 9, upacara mustahil akan dihentikan atau dibatalkan).

Cara untuk mengenal pasti sama ada upacara permainan ini berjaya atau tidak, kamu akan berada di sana seorang diri. 

Apa yang berlaku selepas itu tidak diketahui. Hanya satu sahaja yang meyakinkan bahawa orang yang naik bersama kamu adalah bukan manusia. 

Untuk kembali ke dunia nyata semula, kamu kena buat upacara permainan ini dengan urutan terbalik. Akan tetapi ia bukan 100% kepastian akan berjaya. 

Terdapat beberapa orang Jepun yang mengaku bahawa mereka pernah melaksanakan upacara permainan ini dengan berjaya. Ini adalah gambaran mereka mengenai dunia lain. 

Ia kelihatan sama di dalam bangunan kamu berada, keseluruhan lampu terpadam dan kamu melihat keadaan langit merah dari jauh. Tiada sesiapa yang berada di sana selain kamu. Kesemua barang elektronik (telefon bimbit, kamera dan lain-lain) tidak akan berfungsi, tapi ada yang mengatakan ia berfungsi seperti biasa. 

Terdapat juga mereka yang mengatakan untuk kembali itu agak sukar. Dengan kecelaruan, bingung dan terlupa dengan lif yang kamu datang atau semasa perjalanan menuju ke lif ia menjadi jauh dan tak sampai-sampai walaupun kamu berjalan dari satu arah. 




Khamis, 14 Mac 2024

Inugami



Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Inugami. 

Inugami atau "Dewa Anjing" di dalam urban legend Jepun merupakan sumpahan paling kuat sekali dimana ia dihasilkan dari menukarkan seekor anjing menjadi semangat jahat.

Jangan sesekali ingin mencuba membuat upacara ini. Ia agak terlampau kejam dan ia kekejaman terhadap haiwan. Menyakiti haiwan adalah salah dalam undang-undang dan ia melanggar moral. Jika ada mereka yang berbuat demikian, ia harus dilaporkan kepada pihak polis.

Inugami merupakan sumpahan kuno Jepun. Tiada yang dapat memastikan asalnya apabila ada pendapat mengatakan ia dibawakan dari tanah besar China akan tetapi asal permulaan sumpahan ini direkod pada Era Heian (794-1185 Masihi) dimana ia diharamkan daripada diamalkan. Akan tetapi wujud beberapa kawasan di Jepun masih mengamalkan upacara ini sampai ke hari ini.

Upacara untuk menghasilkan Inugami :

  1. Seekor anjing hidup akan ditanam di tanah sampai ke pangkal lehernya. 
  2. Sepotong daging mentah diletakkan di hadapan anjing berkenaan dimana ia jauh daripada ia mampu capai. Anjing berkenaan hanya mampu melihat makanan tersebut tapi tak mampu memakannya. 
  3. Anjing berkenaan akan kelaparan beberapa hari. 
  4. Apabila anjing itu dalam keperitan serta penderitaan dan dalam keadaan kemarahan yang meluap-luap, kepalanya akan di pancung dengan pedang katana Jepun.
  5. Kepala anjing itu akan terpelanting dan ia akan mengigit pada makanan di giginya.
  6. Kemudian kepala anjing itu akan ditanam pada persimpangan jalan, jalan yang selalu digunakan dimana kepala yang ditanam akan dipijak sentiasa. Untuk menambahkan kemarahan dan dendam anjing tersebut. 
  7. Kemudian kepala itu digali semula lalu ia akan dibakar di dalam ketuhar sehinggakan menjadi tengkorak. Tengkorak itu akan diletakkan pada sebuah mangkuk dan dipuja sebagai dewa. Manakala wujud upacara, dimana selepas kepala itu digali semula akan diletakkan di dalam kotak atau peti sebelum disembah sebagai dewa.

Kemarahan dan dendam daripada kelaparan dan kebuluran mengubah ia menjadi sumpahan yang kuat. Orang yang menghasilkan Inugami akan dirasuk dan ia akan memenuhi hasratnya. Akan tetapi Inugami akan memakan tuannya dengan menggigitnya sampai mati. Seseorang yang mati dibunuh oleh Inugami akan mempunyai kesan gigitan pada mayat mereka.

Mereka yang mempunyai emosi yang tak stabil paling mudah dirasuki oleh Inugami. Mereka yang dirasuki akan berkelakuan aneh. Mereka akan mengalami kesakitan pada dada, tangan dan kaki, bahu menjadi goyah dan mereka mulai menggonggong seperti seekor anjing. 

Mereka yang menghasilkan Inugami akan menyimpannya dengan selamat dan tersembunyi di dalam rumah, di dalam bilik stor, bawah katil, di dalam almari atau di dalam kotak simpanan / bekas. 

Terdapat 2 versi mengenai upacara membuat Inugami. Yang pertama, dari menanam anjing tersebut di dalam tanah, ia dirantai pada tiang dan makanan ditinggalkan pada tempat mustahil nak capai. Yang kedua, 2 ekor anjing kelaparan akan dipaksa berlawan sampai mati untuk sepinggan ikan. Apabila salah satunya telah membunuh lawannya, kamu memberikan ikan kepada pemenangnya. Semasa ia sedang makan, kamu memancung kepalanya dengan pedang katana kemudian makan ikan lebihan di depannya. 

Apabila kamu menghasilkan Inugami, kamu tidak dapat membuangnya. Inugami harus disimpan di dalam keluarga dan harus diwarisi turun-temurun dalam keturunan. Keluarga yang memiliki Inugami dikenali sebagai Inugami-mochi. 

Inugami pernah di adaptasi dalam beberapa manga (komik Jepun). 


Khamis, 7 Mac 2024

Big Head O


Salam Malam Jumaat semua, 


Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Big Head O. 

Ia adalah sebuah cerita yang menyeramkan mengenai seorang pemuda yang termasuk ke satu perkampungan yang dihuni oleh mereka yang berkepala besar. Walaupun ia berlaku di Jepun, tiada yang mengetahui maksud cerita dan menjejaki lokasi perkampungan tersebut. 


Cerita ini disampaikan dari pandangan pemuda tersebut. 


Beberapa tahun yang lalu, saya teringat kepada satu perkampungan yang saya pernah kunjungi dahulu. Dimana saya terjumpa tanpa sengaja semasa saya melakukan perjalanan seorang diri. Ia adalah satu perkampungan kecil dengan sebuah rumah tumpangan yang teramat selesa sekali. Apabila saya bermalam di sana, layanannya adalah yang terbaik sekali dan memuaskan sehinggalah saya ingin kembali ke sana lagi. 

Maka saya mengambil keputusan untuk menggunakan kereta saya untuk ke perkampungan itu seorang diri di kala musim cuti. Oleh kerana saya mempunyai ingatan yang kuat, saya bergantung kepada memori untuk mengingati jalan yang harus saya gunakan. Semasa saya menghampiri sebuah perkampungan, sepatutnya ada sebuah tiang penunjuk arah, dimana saya sedang berada. Akan tetapi saya agak terkejut sebaik sahaja saya melihat papan penunjuk arah. 

Tertulis padanya "(Nama perkampungan) XX Km", manakala ia tertulis "Big Head O". Sebaik sahaja saya melihatnya, saya mulai merasakan ada firasat buruk bakal berlaku mengenainya akan tetapi saya meneruskan perjalanan saya.

Setibanya saya di sana, perkampungan itu seperti terbengkalai. Rumah-rumah sudah lama ditinggalkan dan ditumbuhi dengan lalang. Saya menjadi musykil dan sebelum saya sempat keluar dari kereta, saya terlihat satu kelibat hitam keluar daripada semak dalam jarak 20 meter hadapan. Bentuknya adalah seorang manusia akan tetapi ia mempunyai kepala yang bersaiz besar.

"Huh? Apa tu?" tanya saya di dalam hati.

Sementara saya masih cuba mengenal pasti apa yang sedang berlaku sekarang ini, dari ekor mata saya kelihatan beberapa lagi mahluk yang sama keluar daripada semak sekitarnya. Lebih-lebihnya lagi, mereka mulai berjalan menuju ke arah saya di dalam keadaan aneh serta mengerikan dengan tangan mereka pada kaki mereka dan kepala besar mereka terhuyung-hayang dari sisi ke sisi yang lain.

Saya bersyukur bahawa saya tidak keluar dari kereta. Saya mulai memasukkan gear ke belakang lalu menekan minyak, memandu ke belakang dengan kelajuan yang menakutkan sehinggakan saya kembali ke jalan utama.

Selepas setibanya saya ke rumah, saya mulai memeriksa peta dan melihat lokasi perkampungan itu. Di dalam keadaan terkejut, semestinya saya tidak pergi ke tempat yang silap. Ia adalah perkampungan yang sama dimana saya pernah kunjungi beberapa tahun yang laku. Sekarang saya tahu bahawa saya tidak akan ke sana lagi. 




Khamis, 29 Februari 2024

Resort Ski

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Resort Ski. 

Ia adalah cerita misteri mengenai seorang pemuda yang pergi berski dan menemui sorang wanita yang memerlukan pertolongan. 

Terdapat seorang pemuda yang suka berski. Pada musim salju, dia mengambil keputusan untuk bermain ski di sebuah resort ski. Dia pergi ke sana pada hari biasa, maka tidak ramai pengunjung di sana. Dia beranggapan ia adalah peluang keemasan untuk bermain ski tanpa sebarang gangguan. 

Dia mengenakan peralatannya dan mulai berski ke bawah cerun. Dia dalam keadaan gembira apabila dengan tiba-tiba dia terdengar bunyi mengerang. Kedengaran seperti datang dari hutan pada hujung cerun ski. 

Pemuda itu menjadi risau, seperti ada seseorang di dalam masalah. Ada kemungkinan orang itu tercedera atau memerlukan pertolongan. Apabila dia mendekati, dia boleh mendengar dengan jelas suara seorang wanita menjerit, "Tolong! Tolong Saya!"

Dia terus menuju ke arah suara berkenaan yang berada di bahagian dalam hutan dan dia berada di sebuah kawasan lapang, dia terlihat seorang wanita meminta pertolongan. Kelihatan separuh tubuh wanita itu tertanam dibawah salji. Hanya bahagian tubuh badan atas sahaja kelihatan seakan wanita itu termasuk ke dalam lubang dan tidak dapat keluarkan dirinya. 

"Saya datang menyelamatkan kamu!" kata pemuda itu.

Dengan seluruh tenaganya, pemuda itu menarik tangan wanita tersebut keluar. 

"Huh?" terkedu pemuda itu.

Wanita itu terasa ringan daripada apa pemuda itu sangkakan, apabila dia boleh menarik wanita tersebut dengan mudah sekali. Akan tetapi, ada sebab mengapa tubuh wanita itu terasa ringan sekali. 

Pemuda itu memandang ke bawah, dia menyedari bahagian bawah wanita itu tiada. Malah di bawah wanita itu tidak mempunyai lubang sebaliknya longgokan salju sahaja. 

Pemuda itu memandangnya penuh dengan ketakutan yang teramat sekali, wanita itu mulai tersenyum dan membuat suara ketawa yang mengerikan serta menyeramkan. 

Khamis, 15 Februari 2024

Pemberitahuan

 


Salam Malam Jumaat semua,

Pada malam ini saya tidak akan berkongsi sebarang post termasuk juga minggu hadapan masih dalam mood bercuti menyambut Tahun Baru Cina. 

Buat masa sekarang disarankan membaca post yang saya pernah kongsikan dahulu. Saya akan kembali menulis sebaik sahaja musim perayaan tamat. Harap kamu bersabar ya. 

Saya ingin mengucap Selamat Tahun Baru Cina 2024 iaitu Tahun Naga Kayu buat semua masyarakat Tiong Hua serta mereka yang menyambutnya. 





Khamis, 8 Februari 2024

Yamanoke



Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Yamanoke. 

Cerita urban legend pada asalnya dikongsikan di forum 2 chair n pada tahun 2007, dimana ia menceritakan satu mahluk dari pergunungan menghalang sebuah kereta lalu merasuk salah satu penumpangnya iaitu seorang budak perempuan. Ayah budak perempuan diberitahu oleh sami, jikalau budak itu tidak dapat diselamatkan dalam masa 49 hari. Budak perempuan itu mustahil nak diselamatkan buat selamanya. (Maaf jika cerita dia tergantung apabila cerita asal dalam bahasa Jepun dan tiada yang sudi nak alih bahasa ke bahasa lain, kamu kena Google Yamanoke jikalau kamu nak membacanya dalam bahasa Jepun). Ia mempunyai bentuk yang ganjil seperti digambarkan di atas dan cerita menyeramkan menjadi urban legend secara sendirinya. Tiada yang mampu memberikan kepastian apa Yamanoke dan kebenaran mengenai cerita ini.

Cerita ini berlaku di pergunungan di sempadan Miyazaki dan Wilayah Yamagata. Nama pergunungan berada di banjaran Hashiro, dimana terkenal dengan kejadian pelik yang pernah berlaku di sana. Selain daripada khabar angin seram, terdapat Urban legend yang mengatakan sebuah pesawat tentera jatuh di pergunungan tersebut dan kewujudan markas tentera di bawah tanah. Malah penampakan UFO sepanjang tahun juga. Pergunungan ini mempunyai banyak kejadian pelik berlaku, maka tidak hairan Yamanoke menamakan tempat ini sebagai rumahnya. 

Tiada dapat memberikan kepastian apa Yamanoke sebenarnya dan kebenaran ceritanya. Dalam teori ada kemungkinan Yamanoke salah satu mahluk asing yang selalu mengunjungi banjaran Tashiro akan tetapi ia tidak mempunyai persamaan dengan cerita yang disampaikan. Walaupun ia mempunyai bentuk seperti mahluk asing, tetapi ia berkelakuan seperti semangat. Apabila dia mampu merasuk melalui pintu kereta yang tertutup dimana merasuk adalah lebih kepada semangat, bukan mahluk asing. 

Teori lain menyarankan bahawa Yamanoke ini bukan semangat sebaliknya "Kami" (dewa dalam kepercayaan Shinto). Dewa yang tinggal di pergunungan tidak kesemuanya adalah jenis yang baik. Semangat biasa tidak kuat sangat untuk menyumpah seperti di dalam cerita, bagi dewa ia tidak ada masalah. 

Di dalam manga berjudul "Spirit Medium Izuma", Yamanoke rupa sebenarnya adalah seorang wanita yang dibawak ke pergunungan lalu ditinggalkan di sana disebabkan kebuluran yang berlaku. Apabila dia dipilih menjadi korban, dimana kampungnya tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk yang lain. Wilayah Tohaku pernah mengalami bencana kebuluran pada era Tenmei (1781-1789), terdapatnya asas dari cerita. Walaupun cerita di dalam manga itu sekadar cerita, sekurangnya ia menjelaskan kewujudan Yamanoke dari pandangan berlainan. 

Pada 2015, pengguna 2chan mendakwa menemui apa yang mereka percaya cerita asal yang menjadi inspirasi kepada Yamanoke dari sebuah buku mengenai Yanagita Kunio, cerita rakyat yang membawa cerita lagenda dari wilayah Tohaku ke seluruh Jepun. Dimana banyak cerita seram yang dikongsikan di 2chan beberapa tahun diambil daripada cerita sebenarnya sebagai asas sebelum dijadikan ceritanya tersendiri. 

Ada kemungkinan mahluk lain yang menyerupai Yamanoke yang ada dalam lagenda Tohaku dan pengguna menulis dari sana. Cerita ini menjadi batu asas dan sejarah, menyebabkan cerita lain sukar untuk diterima. Yamanoke semestinya cerita fiksyen, disebabkan cerita itu ditulis dengan teliti dan berasaskan kepada lagenda yang sedia ada, menjadikan ia cerita seram yang terkenal.