Khamis, 7 Mac 2024

Big Head O


Salam Malam Jumaat semua, 


Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Big Head O. 

Ia adalah sebuah cerita yang menyeramkan mengenai seorang pemuda yang termasuk ke satu perkampungan yang dihuni oleh mereka yang berkepala besar. Walaupun ia berlaku di Jepun, tiada yang mengetahui maksud cerita dan menjejaki lokasi perkampungan tersebut. 


Cerita ini disampaikan dari pandangan pemuda tersebut. 


Beberapa tahun yang lalu, saya teringat kepada satu perkampungan yang saya pernah kunjungi dahulu. Dimana saya terjumpa tanpa sengaja semasa saya melakukan perjalanan seorang diri. Ia adalah satu perkampungan kecil dengan sebuah rumah tumpangan yang teramat selesa sekali. Apabila saya bermalam di sana, layanannya adalah yang terbaik sekali dan memuaskan sehinggalah saya ingin kembali ke sana lagi. 

Maka saya mengambil keputusan untuk menggunakan kereta saya untuk ke perkampungan itu seorang diri di kala musim cuti. Oleh kerana saya mempunyai ingatan yang kuat, saya bergantung kepada memori untuk mengingati jalan yang harus saya gunakan. Semasa saya menghampiri sebuah perkampungan, sepatutnya ada sebuah tiang penunjuk arah, dimana saya sedang berada. Akan tetapi saya agak terkejut sebaik sahaja saya melihat papan penunjuk arah. 

Tertulis padanya "(Nama perkampungan) XX Km", manakala ia tertulis "Big Head O". Sebaik sahaja saya melihatnya, saya mulai merasakan ada firasat buruk bakal berlaku mengenainya akan tetapi saya meneruskan perjalanan saya.

Setibanya saya di sana, perkampungan itu seperti terbengkalai. Rumah-rumah sudah lama ditinggalkan dan ditumbuhi dengan lalang. Saya menjadi musykil dan sebelum saya sempat keluar dari kereta, saya terlihat satu kelibat hitam keluar daripada semak dalam jarak 20 meter hadapan. Bentuknya adalah seorang manusia akan tetapi ia mempunyai kepala yang bersaiz besar.

"Huh? Apa tu?" tanya saya di dalam hati.

Sementara saya masih cuba mengenal pasti apa yang sedang berlaku sekarang ini, dari ekor mata saya kelihatan beberapa lagi mahluk yang sama keluar daripada semak sekitarnya. Lebih-lebihnya lagi, mereka mulai berjalan menuju ke arah saya di dalam keadaan aneh serta mengerikan dengan tangan mereka pada kaki mereka dan kepala besar mereka terhuyung-hayang dari sisi ke sisi yang lain.

Saya bersyukur bahawa saya tidak keluar dari kereta. Saya mulai memasukkan gear ke belakang lalu menekan minyak, memandu ke belakang dengan kelajuan yang menakutkan sehinggakan saya kembali ke jalan utama.

Selepas setibanya saya ke rumah, saya mulai memeriksa peta dan melihat lokasi perkampungan itu. Di dalam keadaan terkejut, semestinya saya tidak pergi ke tempat yang silap. Ia adalah perkampungan yang sama dimana saya pernah kunjungi beberapa tahun yang laku. Sekarang saya tahu bahawa saya tidak akan ke sana lagi. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan