Khamis, 22 Mac 2018

Rumah

Salam Malam Jumaat


Salam Malam Jumaat semua, ni soalan saya nak bagi apakah perkara pertama yang kamu buat terutamanya baru pindah rumah? Ini adalah persoalan saya apabila sering menjadi cerita mengenai rumah. Baik rumah yang dibeli mahupun rumah sewa. Apa yang saya tahu kebanyakkannya dengan terus membawa diri masuk ke rumah berkenaan tanpa membuat proses pembersihan. Baik yang fizikal mahupun yang rohani. 

Gangguan sering kali berlaku dengan kedengaran bunyi guli jatuh, bunyi ketukkan, bunyi kerusi ditarik, bunyi-bunyian yang menyeramkan dan kes penampakkan. Yang paling kasihan apabila gannguan itu terkena kepada anak-anak kecil, kebiasaannya ibubapa tak akan peduli mahupun nak ambil tahu. Apa yang dianggap sebagai lakonan anak-anak atapun anak nak mendapat perhatian. Ia adalah perbuatan yang silap paling terbesar sekali, apabila anak itu demam panas. 

Gangguan tak kisahlah dalam rumah, diluar rumah mahupun rumah jiran sekalipun. Jikalau diluar mahupun rumah jiran itu sesuatu yang sukar nak hindarkan terutamanya yang lalu sahaja. Yang dirumah tu sahaja dimana kamu boleh meminta pakar perubatan alternatif uruskan.

Tak kisah rumah baru ataupun lama mahupun yang dibeli ataupun sewa, seharusnya membersihkan rumah itu dahulu. Rumah kena dibersihkan dan dicuci dahulu sebelum membuat kenduri doa selamat. Tak kisahlah keluarkan duit sedikit semata-mata nak buat kenduri doa selamat daripada membazir dalam membuat Housewarming party. Sekurangnya rumah dipenuhi dengan bacaan ayat-ayat suci selain itu, jika boleh solat dan bacaan ayat-ayat suci. Ni cara Islam tapi bagi yang bukan beragama Islam pun caranya sama tapi buat cara agama yang dianuti.

2 minggu rumah yang tak dihuni, benda lain dah menjadikan rumah itu sebagai kediaman. Seperti mana saya pernah jelaskan dahulu mengenai penunggu rumah, ia sesuatu yang tak dapat dielakkan yang ada di rumah. Tapi ada kes yang saya pernah dengar dan baca itu kes, penyewa dikenakan oleh pemilik rumah sewa. Rumah itu memang ada benda tapi tak dikatakan kepada penyewa mengenainya. Tujuan untuk menipu penyewa, apabila menjadi kebiasaannya pihak penyewa akan membayar duit deposit sebagai syarat penyewaan rumah yang ada di dalam surat penjanjian. Jikalau penyewa melanggar perjanjiaan tersebut, kira deposit tersebut hangus. Penyewa diganggu teruk di dalam rumah, dalam masa beberapa hari kepada minggu. Tak tahan gangguan terpaksalah hanguskan sahaja duit deposit tersebut. Tu kena hati-hati tapi apabila kena penyewa hantu tu lain cerita la. 

Dunia serba moden, bukan bererti perkara-perkara paranormal dan mistik ni tak berlaku. Malah dalam era ni pun, masih ada nak membuat sihir nak jatuhkan orang lain. Nikan lagi gangguan, malah semua ajaran agama ada menerangkan kewujudan alam dimana pancaindera tak mampu melihatnya. Oleh itu ramai yang beberapa ambil tahu, jikalau ada gangguan baru terhegeh-hegeh nak cari bantuan. 

Sekian sahaja buat malam ni mengenai persoalan yang saya bagi ni. Jikalau beli mahupun menyewa rumah, pastikan bersihkan dahulu. Salam Malam Jumaat. 

Khamis, 15 Mac 2018

Pengebumian Keranda Perahu Di Sarawak

Salam Malam Jumaat



Apabila berbicara sahaja mengenai keranda sudah tentu ramai yang belum apa-apa sudah meremang bulu tengkok mendengarnya. Menyelusuri sejarah keranda ini juga, Sarawak tidak kurang uniknya mengenai cara pengebumian dulu-dulu.

Kiliereng bagi kaum Orang Ulu, Jerunei bagi Melanau, Tajau atau Tempayan bagi Iban dan seterusnya yang paling terawal sekali adalah pengebumian perahu keranda yang menjadi amalan masyarakat purba di Borneo iaitu yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam iaitu di Niah.

Perlulah diketahui suatu waktu dahulu terdapat 2 proses pengebumian yang dijalankan oleh masyarakat dahulu kala iaitu pengebumian “primer” dan “sekunder”. Pengebumian primer adalah satu proses pengebumian mayat secara terus iaitu apabila berlaku kematian, mayat akan terus disimpan di dalam tempayan tanah.

Untuk sekunder pula adalah pengebumian yang mempunyai 2 prosesnya sendiri iaitu mayat akan disimpan di dalam tempayan dan kemudian setelah mengalami proses pereputan akan dikumpulkan sisa tulangnya untuk dikuburkan di tempat yang lain.

Eksplorasi yang dilakukan pada tahun 1950an di Gua Niah telah menjumpai tapak perkuburan yang sangat unik. Iaitu ianya terletak di Gua Liang Kain Hitam yang mana pada ketika itu telah menjumpai hampir 45 keranda lama yang berbentuk perahu. Turut ditemui beberapa seramik dan artifak-artifak purba yang lain. Ianya lebih merujuk kepada pengebumian perahu keranda ini telah diamalkan di Sarawak ketika zaman pra-sejarah.

Jika kita menyelidiki apa yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam ini mungkin juga bersamaan dengan cara pengebumian kuno masyarakat Dayak Ngaju, Maanyam dan Banuaq di Kalimantan yang mana mereka juga mempunyai satu corak pengebumian berbentuk perahu keranda.

Cuma bezanya di setiap perahu mempunyai hiasan berupa naga, ular, matahari dan bulan bintang. Dinyatakan perahu keranda bagi masyarakat Dayak ini diamalkan lebih 1,800 tahun dahulu iaitu terkemudian daripada apa yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam. (Rampai, 1983; Hartatik, 2004 : 43-55; 2007 : 61-77).

Untuk di Gua Liang Kain Hitam, Niah pula dinyatakan bahawa perahu keranda tidak mempunyai ukiran yang mengkhusus namun begitu di setiap sisi keranda iaitu di bahagian dinding gua pula mempunyai beberapa lukisan kuno yang dipercayai mempunyai perkaitan dengan mayat di dalam perahu keranda tersebut.

Ianya merupakan simbol penghidupan si mati bersama-sama pengiringnya yang diukir di dinding gua untuk menunjukkan perjalanan si mati menuju ke alam akhirat.

Di atas perahu keranda itu juga selain diletakkan mayat ianya juga turut membawa bersama-samanya beberapa perhiasan diri si mati yang mana menurut kefahaman pihak pengkaji segalanya merujuk kepada stratatifikasi sosial atau darjah atau kelas si mati.

Dan ianya tidaklah menghairankan kerana suatu waktu dahulu masyarakat di Borneo sememangnya mengamalkan sistem stratifikasi sosial samada dari golongan bangsawan mahupun hamba. Memang menjadi budaya suatu waktu dahulu sekiranya ada ketua yang meninggal dunia, ada para hamba yang akan turut dikorbankan bersama untuk menyertainya tuannya.

Setakat ini masih tiada lagi pengkajian yang mampu mengatakan pengebumian perahu keranda yang ditemui di Gunung Liang Kain Hitam, Niah ini merujuk kepada mana-mana etnik di Sarawak yang mengamalkannya.

Cuma pihak pengkaji mengatakan bahawa pengebumian perahu keranda itu merupakan sejenis pengebumian sekunder. Iaitu hanya sisa-sisa tulang diletakkan di atas perahu yang kemudiannya akan disembunyikan di gua batu kapur yang terselindung.

Dan hasil dari ujian hidrokarbon keranda berdasarkan kayu padu yang digunakan dan juga artifak purba serta tulisan di dinding melalui arang merah (hematit) menunjukkan tapak pengebumian perahu keranda telahpun wujud sejak di tahun 200 Masihi lagi di Sarawak iaitu di Gua Liang Kain Hitam, Niah, Miri, Sarawak dan beberapa kawasan gua sekitarnya.

Sumber: https://www.thepatriots.asia/pengebumian-keranda-perahu-di-sarawak/



Khamis, 8 Mac 2018

Legenda Buaya Dan Naga Dalam Masyarakat Kayan

Salam Malam Jumaat,



Cerita legenda merupakan salah satu daripada sastera rakyat yang disampaikan secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain. Sarawak Bumi Kenyalang melalui kepelbagaian kaum dan budayanya juga tidak kurang dengan cerita legenda ini. Legenda Si Naga dan Si Buaya Di Dalam Masyarakat Kayan, itulah tajuk artikel dari genre Cerita Rakyat Borneo untuk sumber perkongsian pembaca Borneo Oracle Sekalian.

Al-sahibul hikayat suatu waktu dahulu diceritakan bahawa masyarakat Kayan yang mendiami Borneo juga mempunyai seorang raja yang bernama Raja Mintin. Kepandaian Raja Mintin sebagai seorang raja kayan tiada tolok bandingnya kerana beliau juga seorang raja yang bijak malah gagah perkasa. Maka bertambah makmurlah negeri Kayan pada waktu itu dengan ramai saudagar-saudagar dari seluruh pelusok dunia datang berniaga.

Namun di dalam kemakmuran negeri Kayan ini diceritakan juga bahawa Raja Mintin sering berduka kerana terlalu merindui isterinya yang sudah meninggal dunia. Demi untuk mengelakkan kemurungan yang berterusan akhirnya Raja Mintin berniat untuk mengembara melihat negeri orang lain sambil-sambil meluaskan pengalamannya. Sementara ketiadaan beliau itulah, beliau telah menitahkan agar dua orang puteranya yang bernama Naga dan Buaya untuk bersama-sama memerintah negeri Kayan. Tugasan ini diterima dengan baik oleh kedua-dua orang puteranya.
Setelah siaga segalanya kelengkapan untuk mengembara maka akhirnya tibalah hari untuk Raja Mintin berangkat berjalan-jalan melihat negeri orang. Maka bermulalah tugas untuk si Naga dan si Buaya menjadi pemerintah negeri Kayan sepeninggalan Raja Mintin itu. Yang sering menjadi kekecohan ketika Si Naga dan si Buaya ini menjadi pemangku raja Kayan adalah sikap kedua-duanya yang berbeza sama sekali.

Diceritakan bahawa si Naga ini mempunyai sikap pembengis, panas baran, suka berfoya-foya, bermabuk-mabukan, berjudi dan segala macam sikap negative yang tidak sepatutnya ada pada seorang bakal raja Manakala adindanya iaitu si Buaya pula mempunyai sikap yang berlawanan iaitu baik budi pekertinya, suka menolong orang, pandai berjimat cermat dan terlalu lembut hatinya. Seringkali sikap si Naga ini menimbulkan huru hara di dalam pentadbiran negeri Kayan sehinggalah si Buaya tidak boleh menahan sabar malah turut menentang abangnya si Naga.

Kerana 2 orang pemimpin sudah bertelagah sudah tentu barisan pentadbirannya termasuk tentera negeri Kayan juga turut terlibat sama. Negeri kayan yang aman makmur dan terkenal dengan kesatuannya akhirnya terbelah dua dengan ada tenteranya yang menyebelahi si Naga dan di satu pihak lagi menyebelahi si Buaya. Maka bermulalah sengketa di dalam negeri Kayan kerana perang saudara antara 2 putera raja Kayan.

Sepanjang pengembaraan Raja Mintin pula yang baru sahaja sempat singgah ke sebuah negeri yang lain telah mendapat satu mimpi tidak baik. Apabila bangun dari lenanya, hatinya merasa gusar dan akhirnya membawa kepada Raja Mintin mengambil keputusan untuk segera pulang ke negeri Kayan. Alangkah terkejutnya Raja Mintin apabila mendapat negeri Kayan sudah pun hampir musnah kerana perang saudara antara si Buaya dan si Naga. Maka beranglah beliau dan segera memanggil kedua-dua anaknya untuk menghadap Raja Mintin.

Si Naga dan si Buaya terkejut apabila mendapati bahawa ayah mereka Raja Mintin telahpun pulang ke negeri Kayan dan ini menyebabkan kedua-duanya di dalam ketakutan. Ini kerana kedua-duanya mengetahui bahawa Raja Mintin mempunyai satu kesaktian iaitu sekiranya beliau berang dan menyumpah sesuatu yang tidak baik maka ianya akan benar-benar terjadi. Seboleh-bolehnya kedua-duanya ingin melarikan diri namun apakan daya pengawal-pengawal Raja Mintin sudahpun berada di depan mata kedua-duanya.

Apabila dibawa mengadap kedua-duanya memang di dalam ketakutan lebih-lebih lagi melihat muka ayah mereka Raja Mintin yang serupa singa kelaparan. Akhirnya kerana tidak dapat menahan sabar lagi Raja Mintin pun terus menyumpah kedua-dua anaknya sebagai hukuman tidak menjalankan tugas dengan sempurna.

Diceritakan Raja Mintin telah menyumpah agar puteranya yang bernama si Naga akan terus kekal menjadi seekor naga yang sebenar dan si Naga hanya boleh tinggal di gua-gua yang tiada manusia dan hidup bersendirian selamanya. Manakala si Buaya juga turut menerima hukuman iaitu si Buaya akan kekal menjadi seekor buaya yang sebenar dan akan hidup di sungai-sungai juga jauh daripada penghidupan manusia. Dengan tidak semena-mena ketika itulah guruh berdentum di langit maka bertukarlah si Buaya dan si Naga yang asalnya 2 orang putera raja di negeri Kayan bertukar menjadi seekor naga dan seekor buaya.

Inilah cerita legenda si Buaya dan Si Naga iaitu cerita rakyat yang diperturunkan secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain di dalam masyarakat Kayan. Sudah tentu cerita legenda ini juga mempunyai maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat untuk kita jadikan pedoman hidup di masa hadapan. Hakikatnya masyarakat Sarawak juga kaya-raya dengan cerita legendanya yang wajar dilestarikan untuk pengetahuan generasi muda sekarang.

Sumber: https://www.thepatriots.asia/legenda-buaya-dan-naga-dalam-masyarakat-kayan/

Salam Malam Jumaat

Salam Malam Jumaat semua, maaflah beberapa minggu menghilangkan diri apabila sibuk mencari rezeki dan sering kali saya akan sibuk pada malam Jumaat.

Pada malam ni saya akan berkongsi informasi yang menarik buat malam ni, malah buat masa ni saya mencari bahan yang mungkin saya kongsikan nanti. Bahan dimana jarang dikongsikan dan bahan dimana saya kena alih bahasa. Buat masa ni saya tengah mencari bahan dan mengumpul bahan. Ia mengenai kepercayaan orang Cina, dimana jarang sekali dikongsikan dalam bahasa Malaysia.

Malah saya juga bakal mengongsikan beberapa ritual ataupun permainan seram. Dimana saya dalam proses alih bahasa dan tak digalakkan untuk mencubanya.

Terima kasih buat mereka yang singgah ke blogspot ini, nak berkongsi cerita tu pm saya sahaja sama ada di Google+ mahupun di Facebook. Terima kasih atas kesabaran anda semua dan teruskan memberikan sokongan anda ke blog seram ini.

Khamis, 15 Februari 2018

Salam Malam Jumaat

Salam Malam Jumaat semua,

Saya ingin mengucapkan buat pembaca yang berbangsa Cina, Selamat menyambut Tahun Baru Cina 2018. Buat masa ni saya tak berkongsi sebarang jenis cerita dan informasi selama 2 minggu. Kira kepercayaan Cina, tak nak berkongsi cerita2 seram dan cerita tak baik. Kira Soil..

Saya akan berkongsi semula selepas 2 minggu, saya ada beberapa informasi menarik yang saya bakal kongsikan.

Sekali lagi Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Gong Hei Fatt Choi dan Jie Nie Ju E.


Khamis, 8 Februari 2018

Pengkebumian Tempayan Di Malaysia

Salam Malam Jumaat,


TEMPAYAN dijadikan salah satu medium untuk tujuan pengkebumian bukanlah sesuatu yang pelik kerana suatu waktu dahulu ianya adalah salah satu tradisi bagi masyarakat di seluruh dunia. Jika di Filipina, ianya cukup terkenal sehingga ada sesetengah tempat pengkebumiannnya menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Dan untuk konteks di Malaysia sebenarnya turut pernah ada dan bukan sahaja di dua negeri yang berada di Pulau Borneo iaitu Sarawak dan Sabah malah mencakupi sehingga ke Semenanjung Malaysia itu sendiri.

Pengkebumian tempayan atau Guri (Jar Burial) merupakan salah satu jenis pengkebumian yang diamalkan oleh masyarakat prasejarah di Malaysia. Jika dirujuk kepada rekod penemuannya, adat pengkebumian di dalam tempayan ini diamalkan oleh masyarakat zaman pra-sejarah akhir iaitu satu kelompok masyarakat yang mendiami kawasan pesisir pantai bagi Semenanjung Malaysia. Ini kerana pernah ada penemuannya di Kuala Terengganu manakala tapak perkuburan kuno pengkebumian tempayan pula ditemui di Pulau Tuba, Langkawi.

Bagi konteks Sabah dan Sarawak pula ianya tidak menyasar kepada masyarakat di pesisir pantai sebaliknya sehingga ke kawasan pedalaman kerana banyak penemuan lebih memperincikan kawasan gua-gua batu kapur terpencil seperti di Gua Niah dan Tanah Tinggi Kelabit. Adalah dipercayai bahawa masyarakat yang mengamalkannya adalah antara etnik-etnik pribumi Sabah dan Sarawak seperti Kelabit, Punan, Kenyah, Idahan, Sungai, Murut serta banyak lagi.

Antara ciri-ciri utama pengkebumian di dalam tempayan adalah tempayan akan digunakan sebagai tempat untuk menyimpan mayat atau tulang-tulang manusia. Tempayan-tempayan ini pula akan disimpan atau disorokkan di tempat-tempat yang terpencil seperti di gua-gua atau di celah-celah banir pohon yang besar di dalam hutan. Dan disekeliling tempayan-tempayan itu akan ditemui banyak objek-objek iringan seolah-olah menggambarkan pengembaraan mayat itu menuju ke persemadian kekal mengikut kepercayaan masyarakatnya.

Dan seperti mana proses pengkebumian keranda perahu, pengkebumian tempayan juga dilaksanakan dalam dua proses iaitu pengkebumian primer dan sekunder. Pengkebumian Primer merupakan satu proses pengkebumian yang dilakukan secara langsung iaitu apabila sudah mati maka mayat akan dimasukkan ke dalam tempayan. Selepas itu tempayan itu terus ditanam di dalam tanah mahupun diletakkan di dalam gua-gua atau tempat tinggi.

Manakala untuk pengkebumian sekunder pula mayat akan disimpan di satu tempat yang selamat. Setelah beberapa waktu maka apabila mayat sudah mereput, barulah segala tulang-tulang itu nanti akan dipindahkan dan dimasukkan ke dalam tempayan. Biar berbeza prosesnya namun persamaannya adalah akan ada objek iringan yang turut akan menemani tempayan seperti barang perhiasan, alat perkakas, tembikar tanah dan lain-lain. Adalah dipercayai bahawa setiap satu objek iringan ini sebenarnya boleh menggambarkan strata sosial si mati tersebut semasa hidupnya.

Bagi pemilihan tapak perkuburan pula, lazimnya akan mengambilkira banyak faktor kerana masyarakat zaman pra-sejarah juga mempercayai bahawa setiap yang berkaitan dengan mati itu adalah suci. Jadi antara yang akan diambil perhatian adalah ianya harus selamat dari gangguan binatang pemangsa, tidak ditenggelami air, tersembunyi serta berada jauh dari persinggahan manusia.
Sehingga ke hari ini masih tiada dokumen yang mengkhusus bilakah pentarikhan sebenar pengkebumian tempayan ini digunapakai di dunia. Ini kerana setiap lokasinya menunjukkan pentarikhan yang berbeza Jika di Filipina iaitu di Gua Manunggul, Palawan berdasarkan ujian hidrokarbon yang dijalankan ianya menunjukkan sekitar 701 hingga 890 sebelum masihi. Manakala untuk di Gua Uattam, Maluku Utara, Indonesia pula keputusan ujian hidrokarbonnya adalah sekitar 1 hingga 1200 masihi. Di Leang Buidane pula adalah sekitar abad ke-8 Masihi.

Itu adalah pentarikhan bagi negara-negara di Nusantara manakala untuk konteks Malaysia pula, bagi pengkebumian tempayan yang ditemui di Kampung Limbongan, Kuala Trengganu pula mempunyai cerita yang berbeza. Carigali yang dimulakan pada tahun 1985 menemui satu tempayan yang berbentuk labu air, berukuran 32 cm ukur lilitnya dengan ketinggian 1 meter yang mana menyaksikan ianya menjadi tempat untuk menyimpan mayat masyarakat zaman prasejarah.

Dan ujian juga menunjukkan ia pentarikhannya adalah sejak dari zaman logam iaitu sekitar 1000 tahun yang lalu. Adalah dipercayai penemuan pengkebumian tempayan di Kuala Terengganu ini adalah lebih kepada bercorak pengkebumian sekunder. Di samping itu turut ditemui berhampiran tempayan tersebut adalah tulang mawas, tembikar tanah dan manik-manik disamping beberapa senjata seperti tombak, lembing dan kapak bersadur permata.

Berlainan dengan satu penemuan yang secara tidak sengaja berlaku pada tahun 1924 di Gua Tuba, Pulau Tuba, Langkawi. Satu tempayan besar dengan didalamnya mempunyai tulang-tulang manusia ditemui di satu gua yang kecil. Walau tiada objek iringan seperti yang ditemui di Kuala Terengganu tetapi tempayan yang digunapakai mempunyai corak ukiran yang pelik. Menurut kajian adalah dipercayai berkemungkinan besar tempayan ini digunakan sebagai satu bentuk hukuman masyarakat zaman purba berdasarkan kepada cara ianya ditanam.

Untuk masyarakat di Pulau Borneo pula bukanlah sesuatu yang asing apabila berbicara soal pengkebumian tempayan kerana budaya dan tradisi masyarakat pribuminya yang unik. Tempayan yang ditemui di tapak perkuburan purba di Gua Niah menunjukkan pertarikhannya adalah sekitar penghujung Zaman Logam. Ini bermakna ianya berkaitan dengan manusia purba yang pernah hidup di sekitar Gua Niah tetapi untuk masyarakat seperti Punan, Kayan, Kenyah pula ianya masih diamalkan sehingga awal abad ke-20.

Ini kerana sehingga ke hari ini kewujudan seperti tiang-tiang “klirieng” atau dikenali sebagai pondok mayat “Salong” itu masih lagi dijaga di sesetengah kawasan oleh etnik-etnik tersebut. Perlulah diketahui bahawa di dalam “klirieng” ini turut ditempatkan tempayan berserta objek iringan bagi menyimpan tulang-tulang si mati. Selain itu setiap ukiran pada tiang dan pondok Salong juga sebenarnya mempunyai makna bagi menunjukkan srata sosial si mati. Adalah dipercayai bahawa “klirieng” hanya dikhaskan untuk golongan bangsawan atau raja di kalangan masyarakat mereka.
Bagi etnik Kelabit yang ramai mendiami kawasan tanah tinggi kelabit pula berlainan kerana mereka tidak meletakkan tempayan di binaan kayu seperti klirieng sebaliknya meletakkannya di struktur megalit yang dibina khas di satu kawasan hutan yang terpencil. Tempayan itu digunakan sebagai tempat untuk menyimpan tulang nenek moyang adalah kerana menurut kepercayaan mereka, tempayan itu merupakan simbolik kepada rahim wanita. Maka posisi mayat itu disimpan juga akan mengikut seakan-akan posisi bayi didalam perut ibunya.

Penemuan tempayan-tempayan yang menyimpan mayat-mayat masyarakat kuno juga turut ditemui di Pusu Lumut, Lembah Kinabatangan dan Hagop Bilo menunjukkan bahawa masyarakat Orang Sungai dan Idahan juga pernah mempunyai tradisi pengkebumian tersebut selain daripada keranda balak. Selain daripada objek-objek iringan yang ditemui bersama-sama tempayan yang disembunyikan di dalam gua-gua batu kapur turut ada lukisan-lukisan gua yang dipercayai mempunyai signifikasi dengan si mati sewaktu hidupnya.

Pengkebumian tempayan mempunyai keunikannya tersendiri berdasarkan kepada kepercayaan masyarakat suatu waktu dahulu. Malah setiap cara pengkebumian kekalnya juga turut mempunyai hubungan dengan alam semesta seperti kepercayaan manusia dahulukala.

Sumber: https://www.thepatriots.asia/pengkebumian-tempayan-di-malaysia/



Khamis, 25 Januari 2018

Kerana Mendengar


Salam malam Jumaat semua, pada malam ini saya akan berkongsi pengalaman seram dimana berlaku kepada saya sendiri semasa bermalam di sebuah hotel. Cerita ini berlaku di Kota Kinabalu, Sabah dan tujuan saya ke sana tak perlu diceritakan. Berbalik kepada cerita saya ini, selama beberapa kali saya bermalam di hotel ini baru pertama kali saya diganggu. 

Ia terjadi pada 2 hari sebelum saya balik semula ke Sandakan. Jikalau tak silap pada malam itu pada hari Isnin. Kebetulan pada tengah malam bersiarnya Misteri Jam 12 (buat yang tak tahu, ia adalah siaran radio Ria89.7fm yang bersiar daripada Singapura dimana boleh didengar secara online. Bersiaran daripada jam 12.30pagi sehingga jam 2pagi. Rancangan radio yang menceritakan pengalaman-pengalaman seram dari pendengar yang dihantar secara surat, sms, private message dan email ke Dj). Pada malam itu saya mengambil keputusan untuk mendengarnya dengan volume yang kuat, kira satu bilik boleh dengar. Kakak sepupu ada bagi nasihat agar tak dengar secara kuat, skeptik seperti biasa tak berapa dengar. 

Dipendekkan cerita, selesai sahaja rancangan MJ12 menutup tirainya. Tanpa berfikir panjang dengan memati apps MeRadio dan bersiap diri untuk tidur. Agak sukar sekali nak lelapkan mata dan dalam keadaan mamai, saya membuka mata melihat. Dengan tiba-tiba saya terlihat satu lembaga putih menjenguk masuk daripada tingkap bilik hotel dan ia terus memandang ke arah saya. Jantung dekat nak gugur dan tergopoh-gapah membaca ayat-ayat suci yang terlintas di fikiran saya. Gangguan bukan itu sahaja malah saya terlihat satu lembaga putih dengan rambut serba hitam yang panjang bertenggek di atas almari tv. Ia memandang ke arah saya juga. Saya tutup muka saya dengan selimut dan membaca apa yang terlintas di fikiran sampai tertidur. 

Pada keeseokkan harinya saya ceritakan kepada kakak sepupu saya apa yang terjadi kepada saya semalam. Semestinya kamu kena, dah bagi nasihat tak nak dengar. Maka benarlah apabila kita bercerita cerita seram, ia menarik benda halus untuk datang bersama kita.Sebaiknya janganlah dengar terutamanya di tempat yang baru mahupun asing kepada kita dan mendengarnya kira membuka pintu untuk memanggil makhluk halus untuk datang. Sampai disini sahaja cerita buat malam ni dan Salam Malam Jumaat semua.