Khamis, 15 Mac 2018

Pengebumian Keranda Perahu Di Sarawak

Salam Malam Jumaat



Apabila berbicara sahaja mengenai keranda sudah tentu ramai yang belum apa-apa sudah meremang bulu tengkok mendengarnya. Menyelusuri sejarah keranda ini juga, Sarawak tidak kurang uniknya mengenai cara pengebumian dulu-dulu.

Kiliereng bagi kaum Orang Ulu, Jerunei bagi Melanau, Tajau atau Tempayan bagi Iban dan seterusnya yang paling terawal sekali adalah pengebumian perahu keranda yang menjadi amalan masyarakat purba di Borneo iaitu yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam iaitu di Niah.

Perlulah diketahui suatu waktu dahulu terdapat 2 proses pengebumian yang dijalankan oleh masyarakat dahulu kala iaitu pengebumian “primer” dan “sekunder”. Pengebumian primer adalah satu proses pengebumian mayat secara terus iaitu apabila berlaku kematian, mayat akan terus disimpan di dalam tempayan tanah.

Untuk sekunder pula adalah pengebumian yang mempunyai 2 prosesnya sendiri iaitu mayat akan disimpan di dalam tempayan dan kemudian setelah mengalami proses pereputan akan dikumpulkan sisa tulangnya untuk dikuburkan di tempat yang lain.

Eksplorasi yang dilakukan pada tahun 1950an di Gua Niah telah menjumpai tapak perkuburan yang sangat unik. Iaitu ianya terletak di Gua Liang Kain Hitam yang mana pada ketika itu telah menjumpai hampir 45 keranda lama yang berbentuk perahu. Turut ditemui beberapa seramik dan artifak-artifak purba yang lain. Ianya lebih merujuk kepada pengebumian perahu keranda ini telah diamalkan di Sarawak ketika zaman pra-sejarah.

Jika kita menyelidiki apa yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam ini mungkin juga bersamaan dengan cara pengebumian kuno masyarakat Dayak Ngaju, Maanyam dan Banuaq di Kalimantan yang mana mereka juga mempunyai satu corak pengebumian berbentuk perahu keranda.

Cuma bezanya di setiap perahu mempunyai hiasan berupa naga, ular, matahari dan bulan bintang. Dinyatakan perahu keranda bagi masyarakat Dayak ini diamalkan lebih 1,800 tahun dahulu iaitu terkemudian daripada apa yang ditemui di Gua Liang Kain Hitam. (Rampai, 1983; Hartatik, 2004 : 43-55; 2007 : 61-77).

Untuk di Gua Liang Kain Hitam, Niah pula dinyatakan bahawa perahu keranda tidak mempunyai ukiran yang mengkhusus namun begitu di setiap sisi keranda iaitu di bahagian dinding gua pula mempunyai beberapa lukisan kuno yang dipercayai mempunyai perkaitan dengan mayat di dalam perahu keranda tersebut.

Ianya merupakan simbol penghidupan si mati bersama-sama pengiringnya yang diukir di dinding gua untuk menunjukkan perjalanan si mati menuju ke alam akhirat.

Di atas perahu keranda itu juga selain diletakkan mayat ianya juga turut membawa bersama-samanya beberapa perhiasan diri si mati yang mana menurut kefahaman pihak pengkaji segalanya merujuk kepada stratatifikasi sosial atau darjah atau kelas si mati.

Dan ianya tidaklah menghairankan kerana suatu waktu dahulu masyarakat di Borneo sememangnya mengamalkan sistem stratifikasi sosial samada dari golongan bangsawan mahupun hamba. Memang menjadi budaya suatu waktu dahulu sekiranya ada ketua yang meninggal dunia, ada para hamba yang akan turut dikorbankan bersama untuk menyertainya tuannya.

Setakat ini masih tiada lagi pengkajian yang mampu mengatakan pengebumian perahu keranda yang ditemui di Gunung Liang Kain Hitam, Niah ini merujuk kepada mana-mana etnik di Sarawak yang mengamalkannya.

Cuma pihak pengkaji mengatakan bahawa pengebumian perahu keranda itu merupakan sejenis pengebumian sekunder. Iaitu hanya sisa-sisa tulang diletakkan di atas perahu yang kemudiannya akan disembunyikan di gua batu kapur yang terselindung.

Dan hasil dari ujian hidrokarbon keranda berdasarkan kayu padu yang digunakan dan juga artifak purba serta tulisan di dinding melalui arang merah (hematit) menunjukkan tapak pengebumian perahu keranda telahpun wujud sejak di tahun 200 Masihi lagi di Sarawak iaitu di Gua Liang Kain Hitam, Niah, Miri, Sarawak dan beberapa kawasan gua sekitarnya.

Sumber: https://www.thepatriots.asia/pengebumian-keranda-perahu-di-sarawak/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan