Khamis, 21 April 2016

Datuk Gong



Salam Malam Jumaat,

Ingat tak lagi, orang tua-tua selalu berpesan jika nak membuang air kecil di pokok ataupun batu harus meminta kebenaran terlebih dahulu. Petua ini dipercayai bermula daripada kepercayaan mengenai semangat / penunggu Datuk Gong. Kepercayaan ini hanya ada di Malaysia, Singapura dan beberapa tempat di Indonesia. Kepercayaan mengenai Datuk Gong merupakan sesuatu yang unnik dimana ia adalah gabungan kepercayaan masyarakat Melayu dan kepercayaan masyarakat Cina. Kepercayaan Datuk Gong memang mempunyai kaitan dengan kepercayaan Datuk Keramat.

Menurut kepada lagenda tempatan, Datuk ini pada asalnya adalah manusia yang mempunyai pangkat mahupun darjat serta mereka yang banyak menyumbangkan kepada masyarakat. Kebiasaanya adalah pemimpin, mereka yang warak, pengamal perubatan traditional, panglima silat ataupun dukun. Selepas sahaja mereka meninggal dunia, penduduk akan berdoa di kubur dimana yang meninggal ini bersemadi malah diletakkan kain kuning pada batu nisan (konsep yang sama dengan keramat).

Kepercayaan ini diamalkan sebelum kedatangan agama Islam ke Nusantara, ia dipercayai untuk menyembah mahupun menghormati semangat ataupun penunggu yang tinggal di pokok, batu dan tempat-tempat yang mempunyai keganjilannya tersendiri.

Ketika kedatangan masyarakat Cina, mereka membawa kepercayaan mereka dari tanah besar China dengan kepercayaan Confucian dan Tao iaitu kepercayaan untuk menyembah nenek moyang dengan secara kepercayaan itu bergabung menjadi kepercayaan yang baru. Dimana kita boleh lihat sekarang ini.

Datuk Gong bagi masyarakat Cina dikenali sebagai “Na Tuk Kong” (semangat tanah) yang dianggap sebagai dewa tempatan yang dianggap semangat tanah bersama-sama dengan “Tu Di Gong”.


Kepercayaan terhadap Datuk Gong terutamanya masyarakat Melayu dan India Islam mulai menurun dengan mendadak apabila fatwa dan mufti mengharamkan serta melarang amalan tersebut daripada berluasa atas sebab Syirik dan Khurafat. Maka kepercayaan Datuk Gong terus bertapak dan masih diamalkan hanyalah buat masyarakat Cina sebagai salah satu kepercayaan dewa-dewi tempatan.

Definasi daripada masyarakat Cina Malaysia

Kepada masyarakat  Cina Malaysia, Datuk Gong merupakan semangat ataupun penunggu tempatan yang tinggal di pokok besar, besut anai-anai, gua, tebing sungai dan tempat-tempat yang mempunyai kelainan terutamanya susunan batu (contohnya berbentuk seperti binatang mahupun corak pada batu berkenaan).

Penyembahan ataupun sembahyang kepada Datuk hanyalah bermula apabila seseorang diberikan bayangan ataupun visi  daripada Datuk di dalam bentuk rohani. Diantaranya bentuk seperti harimau putih dan seorang lelaki tua berpakai serba putih. Kebiasanya kuil unutk Datuk Gong kebiasanya diletakkan di luar rumah bukan di dalam rumah sebabnya ia mampu memberikan perlindungan secara rohani dan dapat memberikan tuah yang baik.

Datuk Gong dijadikan simbol dengan pelbagai jenis diantaranya patung ataupun berhala yang merupainya, tulisan nama pada papan ataupun tablet, songkok, timbunan setanggi dan bendera-bendera yang melambangkan kehadiran semangat berkenaan. Kuil kebiasanya dihiasi dengan barang yang mempunyai kaitan dengan Datuk Gong dan kedudukkan sebagai penunggu Melayu yang beragama Islam seperti Kain Sarong, Songkok, Keris, Tongkat Rotan dan Baju Melayu dimana akan diletakkan berdekatan dengan patung ataupun berhala. Adakalanya patung ataupun berhala ini mempunyai apa yang dinyatakan tadi, boleh dikatakan lengkap yang boleh dilihat pada patung berkenaan.

Bagi kawasan bandar, Datuk Gong kebiasanya pada kuilnya hanya meletakkan satu tablet yang tertera nama dan gelaran sebagai “Datuk Gong .... (nama kawasan tersebut) dimana ia ditulis di dalam bahasa Cina.

Kebanyakkan orang Malaysia menanggap bahawa Datuk Gong hanyalah salah satu daripada dewa-dewi di dalam kepercayaan Confucian dan Tao, hanyalah dewa biasa sahaja. Akan tetapi ia hanyalah tanggapan yang salah, pada faktanya Datuk Gong merupakan semangat ataupun penunggu Melayu Islam. Walaupun terdapat vversi yang berlainan bagi masyarakat kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli dimana ternyatanya berbeza sama sekali dan ia tak termasuk dengan kepercayaan dewa-dewi Cina. Fungsi dan kedudukkan Datuk Gong teramat  berbeza  mengikut komuniti di sebuah tempat, apa yang utamanya kedudukkan Datuk Gong sebagai semangat tanah itu kekal apabila ia sudah menjadi tulang belakang pada kepercayaan tersebut.

Dalam kebanyakkan kuil Cina, kuil Datuk Gong selalunya diletakkan diluar bangunan utama kuil dimana terdapatnya mezbah kecil di dalam kuil Datuk Gong. Sebabnya kuil tersebut hanya khas kepada Datuk Gong sahaja dimana jauh berbeza daripada patung-patung ataupun berhala yang lain yang ditempatkan di bangunan kuil utama.

Kelainan

Struktur kuil Datuk Gong ini pelbagai mengikut kawasan yang berkenaan. Sebagai contoh di kawasan lama Georgetown, Kehadiran 7 Beradik adalah perkara biasa manakala di bandar diraja Klang di Selangor sebahagian besar semangat ataupun roh-roh yang disembah diperrcayai daripada dikalangan golongan diraja mahupun berkhidmat ahli diraja (Sultan, pegawai, pahlawan dan lain-lain) dimana masing-masing dengan identitinya tersendiri.

Terdapat sesetengah Datuk ini mempunyai nama ataupun gelaran peribadi yang tersendiri, yang akan disebut mahupun dipanggil buat penyembah semasa sesi menurun yang dibuat oleh pengantara.

Datuk Gong mempunyai nama Melayu, yang kebiasaannya nama yang berkaitan dengan warna seperti Datuk Merah, Datuk Kuning dan Datuk Putih. Sebab ia mempunyai kaitan dengan tradisi orang Melayu, dimana semangat tersebut dikategori kepada nama yang khusus. Warna itu dipercayai melambangkan setiap keperibadian Datuk Gong. Hijau merupakan keramat timur yang berkuasa memastikan pertumbuhan flora dan fauna; Merah melambangkan keramat selatan yang berkuasa mengawal kemarau, api dan tuaian; Putih melambangkan keramat barat yang berkuasa mengawal nasib baik dan malang; Hitam melambangkan keramat utara yang berkuasa mengawal keseimbangan dan kesejateraan bagi setiap wakil keramat pada setiap warna.

Terdapat juga versi wanita buat Datuk Gong, yang dikenali sebagai Datuk Nenek (Na Du Nai Nai). Cara penyembahan kepada Datuk Nenek dengan memberikannya minyak wangi dan alat solek. Ia melambangkan kepercayaan masyarakat Cina mengenai dunia balka / akhirat dan sifat kemanusian bagi dewa-dewi berkenaan.

Seluruh Malaysia, terdapatnya sebuah kuil kecil yang berwarna merah di tepi jalan ataupun di bawah pokok dimana ia digunakanoleh masyarakat Cina yang berada disana untuk kuil yang lebih tua mempunyai seni bina dengan elemen unsur-unsur Islam seperti bulan sabit dan tulisan jawi. Di dalam kuil terdapat satu ruang yang ringkas, patung ataupun berhala Datuk Gong didalamnya. Barang-barang ataupun juadah diletakkan pada mezbah kecil dihadapan berhala. Terdapat juga kuil lebih besar boleh didapati di kuil-kuil utama yang khas unutk Datuk Gong, kebiasaannya kesemua kuil yang ada hanyalah bersaiz kecil.

Penyembahan

Penyembahan biasanya diletakkan pada mezbah ataupun kuil sekali pada waktu peang, ketika matahari terbit dan waktu matahari senja.

Masyarakat Cina menyembah Datuk Gong dimana mereka percaya bahawa Datuk Gong mempunyai kuasa unutk memastikan keamanan, keharmonian dan keselamatan di kawasan rumah dan kilang. Maka tidak hairanlah kuil Datuk Gong didirikan di kilang milik orang Cina yang dibina pada tanah baru dibuka ataupun bekas sebuah hutan.

Penyembahan diberikan adalah sepasang lilin putih, 3 setanggi dan kemenyan yang dibakar. Mereka yang menyembah Datuk Gong akan menyediakan persembahan khas pada setiap petang hari khamis dengan satu set daun serih bersama kapur, hirisan pinang, tembakau jawa dan rokok daun; akan disajikan bersama-sama buah-buahan serta penyembahan yang biasa.

Setiap Datuk hanyalah satu individu maka hari jadinya akan disambut oleh penyembah dengan besar-besaran. Di utara tanah air (Perlis, Kedah dan Penang), penyembah akan menyediakan ayam yang disembelih dan kadang-kadang kambing akan dijadikan juadah utama dalam kenduri. Paling penting sekali makanan yang disediakan haruslah halal termasuk juga binatang yang disembelih. Maka khinzir itu tidak bersih maka ia dilarang sama sekali di kuil Datuk Gong. Daging tersebut dimasak menjadi kari dan disembahkan kepada Datuk Gong bersama-sama dengan nasi kunyit, seperti mana disajikan dalam budaya Melayu. Oleh kerana penyembah ini daripada komuniti Cina, kenduri yang ada sekarang ini juga memasukkan makanan Cina dimana turut disembah kepada dewa-dewi Taoist.

Penyembah Datuk Gong tidak dibenarkan untuk bersembahyang jika mereka ada memakan khinzir sebelum mereka membuat penyembahan. Jika terdapatnya wanita ynag datang bulan, mereka dilarang sama sekali untuk menyentuh patung ataupun berhala Datuk Gong terutamanya di kepala.

Terdapat juga jika penjaganya orang Melayu, penyembah orang Cina boleh meminta penjaga itu berdoa mengikut cara Islam dan memberikan derma selepas selesainya perkhidmatan (kubur-kubur keramat).

Penyembah menyembah Datuk Gong dengan bantuan terutamanya dalam nombor ekor serta meminta bantuan jika dirasuk oleh hantu-hantu Melayu mahupun disihir dengan cara sihir Melayu. Ia dikirakan Datuk Gong boleh mengawal mahupun melawan semangat atau hantu Melayu.

Datuk dan keramat dianggap sebagai kuasa alternatif untuk membantu didalam perubatan kerohaian dan perlindungan. Pengantara (bomoh) menjadi pengantara diantara penyembah dan semangat ini. Apabila semangat ini datang, pengantara akan menurun dan dirasuk oleh semangat Datuk Gong serta keperibadiannya. Dia akan menjalankan upacara dan masa sesi konsultasi bermula. Semasa sesi penyembah akan beratur untuk mendapat rahmat, menyembuhkan penyankit luaran serta dalaman termasuk juga yang ghaib, ramalan, nombor ekor dan panduan mengatasi halangan dalam kehidupan seharian. Kebiasannya sesi konsultasi akan dilakukan pada hari pertama ataupun hari ke 15 dalam 1 bulan mengikut kalender bulan.

Datuk yang dikenali dalam sejarah

Panglima Ah Chong
Asalnya datang daripada keluarga Kantonis Hakka, yang bernama So Ah Chong. Beliau merupakan ketua kepada Ghee Hin ialah sebuah kongsi gelap yang ditubuhkan lebih 16 penempatan lombong bijih timah. Majlis perbandaran Taiping, Perak menamakan sebuah jalan atas jasa dan sumbangan kepada ekonomi. Pada June 1865, beliau ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati oleh Ketua Melayu di Matang semasa Perang Larut semasa kumpulan kongsi gelap, namun Ketua Melayu berkenaan memberikan penghormatan kepadanya dengan memberikan gelaran “Panglima” Ah Chong. Selepas kematiannya, beliau diangkat menjadi dewa dan apa yang dihajati menjadi. Mala masyarakat Cina di Matang mulai membina kuil semata-mata unutk menyembah beliau.

Dato Haji Keramat
Didalam istilah Melayu, Datuk keramat bermakna penuggu kuil yang dialih bahasa dalam Cina sebagai Na Tuk Kong dimana penggunaan “Kong” adalah istilah hormat. Dato Haji Keramat dipercayai sebagai penunggu tanah yang teramat berkuasa, dimana membantu sesiapa sahaja yang ikhlas berdoa kepadanya. Dato Haji Keramat teramat bencikan alkohol / arak. Terdapat pelbagai versi Na Tuk Kong. Di dalam kepercayaan sistem Tao Cina, Na Tuk Kong mempunyai gelaran rasmi di dalam skrip Cina sebagai Datuk Zunwang.

Pemahaman

Kepercayaan mengenai datuk Gong bermula dengan kepercayaan keramat. Ia adalah kepercayaan wujudnya entiti berkuasa ataupun penunggu yang harus dihormati. Dengan memberikan hormat, penunggu berkenaan dipercayai akan memberikan perlindungan dan mengelak daripada kejadian yang tak diingini berlaku.

Kepercayaan ini diamalkan sebelum kedatangannya agama Islam ke nusantara. Oa merupakan kepercayaan Melayu kuno sebelum diadaptasi oleh masyarakat Cina ke dalam kepercayaan mereka.

Kepercayaan ini tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu dengan ilmu agama melarang pengamalnya (walaupun ada masih yang mengamalnya) akan tetapi masih lagi diamalkan oleh masyarakat Cina. Dengan peredaran masa, kebanyakkan terutamanya orang muda masyarakat Cina ini berani dikatakan tidak beragama mahupun mempunyai sebarang pegangan agama sekalipun. Malah ada sekalipun tidak akan langsung pedulikan amalan ini.

Yang membuat kita terkilan sekali apabila ada individu yang tak bertanggungjawab sanggup dan mencuba menabur fitnah dan memecah belahkan perpaduan diantara kaum dengan alasan agama. Mereka ini tak langsung membuat apa-apa jenis bacaan ataupun kaji selidik, dengan terus menaburkan fitnah mahupun batu api semata-mata nak memprovokasi dengan alasan dia ini lebih alim mahupun warak. Kebiasaannya mereka ini daripada golongan minda yang sempit, racist dan extremist agama.

Itulah yang apa saya jumpa semasa saya mmebuat kajian mengenai Datuk Gong. Sumber-sumber internet yang saya cari mengenai Datuk Gong tiada yang di dalam bahasa, apabila kebanyakkannya di dalam bahasa Inggeris.

Infomasi yang dikongsikan ini sekurang-kurangnya dapat memberikan serba sedikit kefahaman mengenai kepercayaan Datuk Gong. Sekurangnya kita boleh memahami kepercayaan dan adat masyarakat Cina.

Saya ini berdarah campur, sepanjang saya membesar saya sudah dilihatkan pengaruh serta kepercayaan adat bagi kedua-dua pihak. Walaupun adat ini saya ikut akan tetapi ada beberapa terutamanya di dalam bab upacara sembahyang itu saya tak dapat ikuti apabila ia bercanggah dengan fahaman agama Islam. Apa yang harus kita buat hanya buat cara apa yang agama yang kita anuti bukan cara mereka ini.

Jika kamu nak tahu, di perkuburan Cina. Selalunya terdapatnya tablet ataupun gambar kecil berdekatan dengan kubur tersebut adalah Datuk Gong. Dipercayai Datuk Gong menjaga kubur tersebut termasuk juga penghuni kubur tersebut. Maka semasa Qing Ming seperti mana saya pernah jelaskan dahulu turut menyembah Datuk Gong sekali dengan sembahnyang kubur.

Apa yang baik itu diamalkan dan apa yang jahat itu dihindari. Asalkan kita tahu menghormati kepercayaan dan adat masyarakat kaum lain. Sebabnya kita adalah orang Malaysia dan perpaduan itu utama dan jangan sesekali nak menghancurnya. Adat dan budaya itu harus dijaga agar golongan masa depan dapat menghayatinya dan ia patut di lindungi apabila ia gabungan 2 budaya.

Sumber:
7.    The Malaysian Book of The Undead, compiled by Danny Lim.


Tokong kecil yang  sering kelihatan di tepi jalan.

Seorang medium menjalankan upacara selepas dirasuk oleh semangat Datuk Gong.



Khamis, 14 April 2016

Lagenda di Kuala Penyu, Sabah


Salam Malam Jumaat,

Misteri Lada dan Perigi Ajaib

Pulau tiga bukan sahaja terkenal sebagai sebuah destinasi perlancongan yang terkenal, bahkan juga menyimpan banyak misteri masa lampau.

Menurut cerita orang tua-tua, pada zaman dahulu terdapat sepohon lada padi yang ajaib di pulau tersebut. Batang sehaja sebesar pokok kelapa yang sudah berbuah. Jika ingin memetik buahnya anda terpaksalah memanjat. Walaubagaimanapun tidak pula diketahui lokasi sebenar, tumbuhnya pokok tersebut.

Dalam pada itu terdapat juga cerita tentang kewujudan sebuah Perigi Ajaib ditepi pantai pulau tersebut. Walaubagaimanapun tidak semua orang dapat melihat lada dan perigi ajaib tersebut. Kepada sesiapa sahaja yang membaca ruangan ini dan secara kebetulan berpeluang berkunjung ke Pulau Tiga, jangan lepaskan peluang anda untuk bersiar-siar diseluruh kawasan pulau tersebut. Siapa tahu mungkin anda berpeluang melihat lada ataupun perigi ajaib tersebut. Tetapi awas, jika anda gagal menemuinya jangan menangis, dan seandainya pula anda berjaya melihatnya jangan lupa bertanya nombor Empat Ekot kerana andalah orang yang "bertuah".

Batu Nousung

Mengikut cerita nenek moyang kita, kononnya dahulukala ada seorang perempuan tua dan seorang anak lelakinya. Mereka dua anak beranak ini bolehlah dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila anak lelaki itu sudah dewasa maka mengembaralah ia seorang diri untuk mencari rezeki serta kemewahan. Selang beberapa tahun menjadilah ia kaya daripada isternya yang didatangkan daripada orang berada. Si pemuda tadi bersama isterinya serta pengikut-pengikutnya belayar dengan sebuah kapal.

Apabila si ibu tadi sedar akan kepulangan anaknya dengan gembira dan terharu ia menyambut kedatangan yang dinanti-nantikan. Alangkah terkejut si ibu apabila si anak tadi tidak mengakui bahawa ia adalah ibunya. Dengan hati yang hancur lebur maka si ibu pun menyumpah anaknya. lalu dengan serta merta kapal yang dinaiki oleh anknya tadi bersama pengikut-pengikutnya pun telah menjadi batu. Bentuk kapal ataupun batu tersebut masih kelihatan berdiri megah juga di persisiran tanjung pantai sawangan Kuala Penyu.

Batu Payau, Batu Kuyuk (Anjing)

Kononnya pada zaman dahulu, ada seorang pemburu. Pemburu ini sedang memburu rusa dengan menggunakan dua ekor anjing. Oleh kerana binatang rusa ini terlalu laju maka ketinggalanlah pemburu berkenaan di belakang. Lalu rusa tadipun menuju ke laut dengan disusuli oleh anjing-anjing tadi. Tidak berapa lama maka sampailah pemburu tadi ketempat dimana rusa itu berada. Alangkah terkejutnya pemburu tadi apabila mendapati rusa dan anjing-anjing telah bertukar menjadi batu. Sehingga sekarang batu-batu berkenaan masih kelihatan dipersisiran tanjung Pantai Sawangan, Kuala Penyu.

Peristiwa Sedih di Sebuah Gua di Batu Luang

Peristiwa sedih ini berlaku dizaman dahulu. Ketika itu ada sepasang pengantin yang baru saja melansungkan perkahwinan mereka di rumah pangantin perempuan. Setelah beberapa hari mereka menaiki pelamin, maka tibalah pula masanya mereka pulang ke rumah pengantin lelaki (maya wagu kata orang tatana). Dengan diringi oleh keluarga masing-masing maka berangkatlah kedua pengantin siduatu pagi yang indah. Ketika mereka hampir di batu Luang, tiba-tiba angin bertiup kencang, awan manjadi gelap dan diikuti oleh hujan dengan lebatnya.

Menyedari situasi tersebut mereka pun bergegas untuk berlindung didalam sebuah gua yang kini dikenali Gua Batu Luang. Setelah hujan berhenti maka mereka mulalah keluar dari gua tersebut. Pengantin lelaki merupakan orang yang kedua terakhir keluar. Orang yang terakhir masih didalam gua tersebut ialah pengantin perempuan. Sebaik sahaja pengantin perempuan tersebut menghulurkan kedua tangannya untuk ditarik oleh suaminya, tiba-tiba tanah didalam gua itu mendak/turun. Sisuami cuba menyelamatkan isterinya sedaya upaya namun isterinya hanya sempat menghulurkan cincin perkahwinan mereka lalu lesap ditelan bumi. Sejauh mana kebenaran cerita ini sukar untuk dibuktikan. yang nyata gua tersebut masih wujud hingga kehari ini.

Khamis, 7 April 2016

Qing Ming


Salam Malam Jumaat

Nama yang dkenali ramai sebagai Qing Ming mahupun Ching Ming manakala ia lebih dikenali sebagai Qing Ming Jie yang bermaksud Hari Menyapu Kubur ataupun dikenali sebagai Perayaan Qing Ming.

Perayaan yang diadakan pada hari ke-104 selepas solstis musim sejuk (atau hari ke-15 selepas ekuinoks musim bunga) dan lazimnya diadakan pada sekitar 5 April dalam kalender Gregorian. Pada setiap tahun lompat pula, perayaan ini diadakan pada 4 April. Dari segi istilah astronomi, perayaan ini merupakan “Jieqi”. Dalam “Jieqi”, perayaan Qing Ming jatuh pada hari pertama jieqi ke-5 yang dipanggil Qing Ming.

Namanya menandakan masa bagi orang ramai untuk keluar dari rumah dan menikmati kehijauan musim bunga (“Taqing” iaitu “memijakkan kaki di atas tanah kehijauan) dan juga menziarahi kubur orang tersayang yang sudah meninggal dunia. Kepentingan adalah memperingati nenek moyang serta keluarga yang sudah meninggal dunia.

Amalan yang sering kali diadakan dengan keluarga menuju ke kubur dengan membersihkan dan menyapu kubur, menghormati roh nenek moyang, memberikan makanan kepada roh dan membakar wang neraka.

Daripada kefahaman saya sendiri.

Perayaan Qing Ming adalah masanya keluarga akan berkumpul di kubur keluarga yang tersayang dengan membersihkan kubur tersebut sebelum upacara sembahyang kubur dijalankan. Makanan dan Minuman disediakan bagi memberikan jamuan kepada roh. Wang Neraka, pakaian, barang keperluan, kenderaan, barang kemas, passport, rumah dan sebagainya diberikan untuk keperluan roh di kehidupan di neraka. Apabila ia selesai, ahli keluarga akan memakan makanan yang sudah disembah sebelum mengemas dan balik.

Ia boleh dikatakan tahun baru buat alam kubur.  Ia bagaikan seperti perayaan Tahun Baru Cina, hanya bezanya yang hidup kunjungi “rumah” ahli tersayang nie. Maka tidak hairanlah jika ada yang membakar mercun, “minum-minum” dan berjudi.

Membakar mercun di kubur hanya dilakukan pada etnik yang tertentu di dalam masyarakat cina termasuk juga etnik yang banyak menyediakan juadah untuk roh tersebut. Sembahyang Kubur diadakan bukan pada satu kubur sahaja malah jika ada kubur ahli keluarga mahupun kenalan yang lain, maka "hiong" ataupun colok tu akan diberikan pada kubur tersebut dengan sedikit doa. Jika ada ramai ahli keluarga di perkuburan tersebut maka lama la berada di sana sekitar 3-5 jam digunakan. Barang-barang yang ingin dibakar pula kebiasanya ada yang membeli apa yang termampu dan ada yang berkongsi beli. Kesmuanya untuk kegunaan "mereka" di neraka kelak. Roh tersebut sering kali dibawa bercakap seperti si dia masih hidup lagi walaupun dia tak mungkin menjawab (kecuali  mereka yang ada kelebihan deria ke-6).

Pasti ada yang menanya mengapa ada buah-buahan dan makanan ditinggalkan selepas upacara sembahyang kubur bukan? Sebabnya ia bagi memberikan makanan selebihnya bagi roh yang disembahyangkan, selain daripada memberikan semula kepada alam semula jadi. Ada berpendapat bahawa ia bagi memberikan sedekah kepada roh-roh yang lain yang tiada keluarga mahupun yang tidak dijalankan upacara sembahyang kubur.
Disini saya ingin kongsikan kepada kamu semua sebuah kisah yang pernah berlaku pada masa perayaan nie. Kisah nie berlaku dahulu lagi dimana berlaku kepada keluarga saya sendiri apabila pada masa itu kami membawa anak buah saya yang masih kecil lagi (sekitar 5 tahun agaknya) ke tanah perkuburan pada hari Qing Ming. Pada masa itu kami datang lebih awal ke tanah perkuburan dan ahli keluarga kami yang lain masih dalam perjalanan. Anak buah lelaki saya nie ikut kami jadi kira kami tiba dahulu. Pada masa itu adik dan ibu saya dahulu berjalan ke kubur nenek saya dahulu manakala saya pergi mengambil barang yang digunakan untuk membersihkan kubur. Anak buah saya ini terus lari menuju ke ibu sahaja dan bersembunyi di belakang seperti dalam ketakutan. Apabila ibu saya menanya dia, dia hanya bagi tahu “mereka datang” ia kelihatan tinggi sangat malah banyak lagi. Apabila kami sampai ke kubur nenek kami, anak buah saya ini bersembunyi di belakang ibu saya sambil melihat benda tu lalu dalam ketakutan. Selepas itu keadaan kembali normal sedikit apabila sepupu saya datang dan menenangkan anak saudara saya nie. Terlupa nak nyatakan bahawa dia adalah anak buah lelaki.

Akan tetapi adat ini mulai menerima tempiasnya dan mulai dilupakan oleh golongan muda (yang tak mempuanyai sebarang pegangan agama dan tidak pedulikannya) serta mereka yang sudah memeluk agama lain secara langsung terus meninggalkan adat tersebut. Walaupun berlainan agama mahupun kepercayaan, adat itu menunjukkan jati diri. Hanya lakukan ataupun terus mengamalnya dengan berlandaskan kepada agama yang dianuti terutamanya bahagian sembahyang.

Apa-apa pun ia adalah adat yang harus dipertahankan untuk generasi yang akan datang dan ia harus dikekalkan walaupun berlainan agama sekali mahupun kepercayaan. Ia merupakan salah satu darah daging kita yang akan terus mengalir di tubuh kita. 

Saudara - mara dari jauh dan dekat akan balik, semata-mata meraihkan perayaan ini. tak kira ia dilaksanakan pada hari kemuncaknya ataupun di dalam bulan Qing Ming.

Ia menjadi adat, ia sudah lama mengalir dalam tubuh saya. Walaupun berlainan agama ia bukan alasan nak membuang adat itu, hanya perlu buat jangan ikut cara keagamaan mereka sebaliknya laksanakan dengan cara agama yang dianuti. Setiap tahun akan mengambil bahagian dan gambar tu  saya akan gambar sebab keluarga jauh yang dapat datang, dapat mengetahuinya. Jadi jangan kecam, saya pantang jika dihina mahupun tak menghormati masyarakat lain. Siaplah kamu dengar ataupun baca perkataan-perkataan pedas. 

Khamis, 31 Mac 2016

LEGENDA IKAN PATIN DAN MENGAPA RAMAI MASYARAKAT MELAYU SARAWAK TIDAK MEMAKANNYA


Salam Malam Jumaat, 

Ikan patin adalah salah satu jenis ikan sungai atau ikan air tawar. Ikan jenis ini memiliki bentuk yang unik. Badannya panjang sedikit memipih, berwana putih perak dengan punggung berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil, memiliki sesungut berjumlah 2-4 pasang yang berfungsi sebagai alat peraba. Ikan patin termasuk ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak mencari makan pada waktu malam. Diceritakan keenakan memakan ikan patin jika kena dengan menu masakan kelazatannya sehingga menjilat jari tetap walau seenak mana atau senikmat mana ikan patin mengapa ramai Melayu Sarawak tidak memakannya. Sudah tentu ada cerita legenda disebalik mengapa dan kenapa masyarakat Melayu Sarawak mahupun Melayu di nusantara tidak menjadikannya hidangan pembuka selera. Inilah paparan Borneo Oracle buat kali ini iaitu Legenda Ikan Patin Dan Mengapa Ramai Masyarakat Melayu Sarawak Tidak Memakannya.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat. Sebenarnya ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang memancing. Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah. Selama dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti luhur. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.

Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop telah melewati rumah orangtua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya. Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya. Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.

Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut. Para undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan saling menyayangi.

Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar. Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada “ayahnya”. Ia pun kembali bahagia hidup bersama suami dan kelima-kelima anaknya.

Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka. Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah. Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak. Akhirnya ia pun menuruti keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang. Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air. Pada masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.

Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.

Inilah cerita legenda ikan patin dan mengapa ramai masyarakat Melayu Sarawak tidak memakan ikan patin. Tidak diketahui samada kebenaran sumpahan ini ke atas semua keturunan Melayu Sarawak namun yang pasti ada sesetengah masyarakat Melayu Sarawak sememangnya tidak memakan ikan patin. Sesungguhnya setiap hal yang berlaku di dunia ini ada ceritanya dan cerita legenda adalah satu cerita yang digembar gemburkan untuk mencantikkan jalan ceritanya. Sejauh mana kebenarannya hanya Yang Maha Kuasa yang lebih mengetahuinya.



Khamis, 24 Mac 2016

LEGENDA KELING & KUMANG DI DALAM MASYARAKAT IBAN SARAWAK


Salam Malam Jumaat 

Bila ada pertandingan Keling Dan Kumang Gawai apabila tiba Perayaan Pesta Gawai di Sarawak sudah tentu ramai yang akan tersenyum-senyum membayangkan betapa cantik dan gagah perkasanya peserta-peserta pertandingan tersebut. Namun begitu kita mungkin tidak mengetahui bahawa ada legenda bagi pertandingan yang telah dicatatkan di dalam kalendar pelancongan ini. Cerita ini dikenali sebagai Legenda Keling dan Kumang di dalam masyarakat Iban, Sarawak.

Menurut cerita lisan orang-orang tua di dalam masyarakat Iban, Keling ialah nama seorang pahlawan Iban yang tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Keling ini diceritakan sebagai seorang yang berpesonaliti idaman setiap lelaki berbangsa Iban pada waktu itu. Keling digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah, berani, berbadan tegap dan mempunyai wajah yang tampan. Keling telahpun berkahwin dengan seorang gadis Iban yang bernama Kumang. Kumang diceritakan berasal daripada rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Sesuai dengan ketampanan Keling, Kumang pula diceritakan sebagai seorang wanita Iban yang cantik, lemah lembut dan pandai di dalam serba-serbi untuk menjadi seorang isteri dambaan suami pada ketika itu. Bolehlah digambarkan bahawa perkahwinan Keling dan Kumang umpama bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.

Pada satu ketika diceritakan bahawa isteri Keling, Kumang telah diculik bersama-sama dengan Lulong, isteri kepada sahabat baik Keling iaitu Laja. Kejadian ini berlaku apabila Kumang dan Lulong sedang mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Sedang mereka asyik mencari ikan itu tanpa mereka sedari mereka telah melencong jauh sehingga ke kawasan sempadan yang dijaga oleh Apai Sabit Berkait. Kerana melihat kepada kecantikan kedua-dua wanita ini terutamanya Kumang, Apai Sabit Berkait telah bertindak menyimpan mereka di dalam sangkar besi di rumahnya. Keling dan Laja yang gundah gulana kerana risau memikirkan kehilangan isteri-isteri mereka akhirnya mendapat berita bahawa Apai Sabit Berkait yang empunya kerja itu. Keling bertemankan Laja terus pergi ke kawasan Apai Sabit Berkait dan sebelum dia sampai ke kawasan dimana tempat isterinya disembunyikan, Keling telah menggunakan kuasa ghaibnya atau Tau Ajih. Kuasa ghaib ini akan membolehkan beliau menghilangkan diri daripada penglihatan musuh. Dengan mudahnya Keling dapat melepaskan isterinya Kumang dan Lulong tanpa disedari oleh Apai Sabit Berkait.

Kerana kesaktian pahlawan Keling ini maka dikatakan bahawa selepas pemergian beliau barang siapa yang mendapat mimpi didatangi beliau akan menjadi seorang yang berani dan menjadi pahlawan atau dipanggil Raja Berani. Di dalam cerita lisan orang-orang tua masyarakat Iban ada mengatakan bahawa beberapa pahlawan Iban seperti Dana Bersumbar Bayang, Orang Kaya Pemancha Nanang dan Unggang Lebor Menua menjadi pahlawan yang berani dan tidak takut berani serta gagah yang amat sangat sehingga sukar untuk dikalahkan adalah kerana telah mendapat “bantuan” secara batin melalui mimpi oleh Keling.

Walau bagaimanapun bentuk penceritaan legenda Keling dan Kumang ini yang diperturunkan dari zaman berzaman melalui penceritaan dari mulut ke mulut, namun Keling dan Kumang sememangnya amat dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat dan tradisi masyarakat Iban. Keling dan Kumang bolehlah diistilahkan sebagai “role models” di dalam masyarakat Iban.

Khamis, 17 Mac 2016

Tarian Sumazau


Salam Malam Jumaat,

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.

Tarian Sumazau merupakan salah satu daripada tarian dimana Sabahan (yang original) harus tahu menarikannya walaupun tak sempurna, sebab ia adalah budaya bagi Sabahan. "Bikin Malu Saja" yang tidak tahu bagaimana nak tarikan tarian traditional ini. 

Sekian. 



Khamis, 10 Mac 2016

CERITA PUYAU EMAS GUA MADAI

Payau Emas


Salam Malam Jumaat, 

Pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang Ketua Kaum Idahan yang mempunyai kekuasaan yang sangat besar bermula dari Sungai Kinabatangan sehinggalah ke perairan Pulau Temburung di Daerah Semporna. Beliau bernama " Nenek Apoi" yang bermaksud " Api " dalam Bahasa Idahan. Nenek Apoi juga merupakan seorang Wira ataupun Pahlawan dikalangan Suku Kaum Idahan ketika itu.

Nenek Apoi mempunyai seorang isteri yang Bernama Liungayoh yang bermaksud 'Perempuan Besar" dalam Bahasa Suku Kaum Idahan dan menurut cerita ia mempunyai Tiga Orang Anak yang tinggal di Sungai Segama, Sungai Tungku dan juga Sapagaya. Ini bererti Nenek Apoi tidak menetap di suatu kawasan, ia sering pergi ke tempat tinggal anak-anaknya.

Pada suatu hari isteri Nenek Apoi yang tengah sarat mengandung telah mengidam ingin memakan Hati Payau. "Apoi, aku mahulah makan Hati Payau, kata isterinya Liungayoh". Nenek Apoi pun bersetuju. " Kalau begitu kenalah aku pergi memburu Payau tu Liun" kata Nenek Apoi. Pada keesokan harinya Nenek Apoi bersama anjing kesayangannya yang bernama Siyud Rapot bertolak dengan berbekal sebilah Tombak dan makanan serta minuman yang dibekalkan oleh isterinya Liungayoh.

Nenek Apoi pun pergilah berburu, sehari suntuk Nenek Apoi berjalan namun tidak terlihat olehnya kalibat seekor pun Payau padahal dia tahu binatang ini muda dicari. Siang bertukar malam, malam bertukar siang, Nenek Apoi mengira hari. " Aduh, sudah lima hari aku berburu, mana payau ni, hairan juga tidak nampak seekor pun. Bisik Nenek Apoi, anjing kesayanag Siyud Rapot pun keletihan.

Pada hari yang ketujuh, Nenek Apoi begitu letih. Nenek Apoi sungguh hairan kenapa tidak ada seekor pun Payau yang dia temui. Ketika asyik berfikir, Nenek Apoi tertidur. Tiba-tiba anjing Nenek Apoi, Siyud Rapot menyalak tidak berhenti-henti. Nenek Apoi terkejut, lalu melihat apa yang disalak oleh Siyud Rapot. Percaya dengan tidak, Nenek Apoi tergamam seketika kerana bersama dengan Siyud Rapot adalah seekor Payau tetapi yang menghairankan Nenek Apoi kenapa warna kulit Payau tersebut berwarna Emas. Dengan segera Nenek Apoi pun berlari ke arah Payau Emas tersebut. Kejar mengejar pun berlaku. Payau Emas tersebut sungguh pantas, namun Nenek Apoi lebih pantas bersama anjingnya Siyud Rapot.

Tiba-tiba, Payau Emas tersebut berhenti tiba-tiba, apa lagi Nenek Apoi pun membaling Tombaknya ke arah payau Emas tersebut dengan kepakaran dan ketangkasan Nenek Apoi, lembing tepat terkena payau Emas tersebut. Nenek Apoi pun mencabut parangnya lalu ingin memotong Payau Emas tersebut.

Belum sempat Nenek Apoi mahu menyembelih leher Payau Emas tersbut tiba-tiba Payau Emas itu berkata " Tolong, jangan bunuh aku, tolonglah aku", Payau Emas itu merayu. Apa lagi, Nenek Apoi pun melompat, "kau kah yang bercakap?, tanya Nenek Apoi. "Ya, aku" tolong lepaskan aku, jawap Payau Emas itu. Nenek Apoi berfikir sejenak. " Tapi, kalau aku tak bunuh kau, macam mana aku hendak membawa pulang hati kau, kerana isteri aku ingin memakan hati Payau, sudah tujuh hari tujuh malam aku berburu, sudah dapat, mana boleh aku lepaskan", kata Nenek Apoi.

Payau Emas merayu lagi, " baiklah, kalau kau lepaskan aku, aku akan berikan kau harta yang amat berharga untuk selama-lamanya sehingga anak cucu kau, ia tidak akan habis", jawab Payau Emas tersebut. "Harta!, aku tidak mahu harta, aku mahu hati kau untuk isteri aku yang mengidam" kata Nenek Apoi. "Harta itu ada didalam Gua ini, kau masuklah lihat sendiri" balas Payau Emas itu.

Nenek Apoi pun melangkah masuk, belum sempat Nenek Apoi melangkah seterusnya, bila Nenek Apoi mahu bertanya kepada Payau Emas, Payau Emas itu telah lenyap, tiada kesan darah kalaupun Payau Emas itu melarikan dirinya. Nenek Apoi pun masuk ke dalam Gua tersebut.

Sejak hari itu, harta yang dimaksudkan oleh Payau Emas itu adalah Sarang Burung Layang-Layang yang mendiami Gua tersebut, nama Gua itu ialah Gua Madai terletak di daerah Lahad Datu yang terkenal dengan penghasilan Sarang Burung sehingga keperingkat antarabangsa sehinggalah hari ini kesan darah daripada percikan darah Payau Emas terkena tombak Nenek Apoi masih kelihatan dan kesan tapak kaki serta tangan Nenek Apoi masih lagi dapat dilihat.

Begitulah cerita rakyat Daerah Lahad Datu bagaimana Nenek Apoi berjumpa dengan Payau Emas dan bertemu dengan Gua yang bernama Gua Madai.

Sekian.

Muka pintu masuk ke Gua Madai.

Permandangan daripada jauh ke Gua Madai.