Khamis, 24 Mac 2016

LEGENDA KELING & KUMANG DI DALAM MASYARAKAT IBAN SARAWAK


Salam Malam Jumaat 

Bila ada pertandingan Keling Dan Kumang Gawai apabila tiba Perayaan Pesta Gawai di Sarawak sudah tentu ramai yang akan tersenyum-senyum membayangkan betapa cantik dan gagah perkasanya peserta-peserta pertandingan tersebut. Namun begitu kita mungkin tidak mengetahui bahawa ada legenda bagi pertandingan yang telah dicatatkan di dalam kalendar pelancongan ini. Cerita ini dikenali sebagai Legenda Keling dan Kumang di dalam masyarakat Iban, Sarawak.

Menurut cerita lisan orang-orang tua di dalam masyarakat Iban, Keling ialah nama seorang pahlawan Iban yang tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Keling ini diceritakan sebagai seorang yang berpesonaliti idaman setiap lelaki berbangsa Iban pada waktu itu. Keling digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah, berani, berbadan tegap dan mempunyai wajah yang tampan. Keling telahpun berkahwin dengan seorang gadis Iban yang bernama Kumang. Kumang diceritakan berasal daripada rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Sesuai dengan ketampanan Keling, Kumang pula diceritakan sebagai seorang wanita Iban yang cantik, lemah lembut dan pandai di dalam serba-serbi untuk menjadi seorang isteri dambaan suami pada ketika itu. Bolehlah digambarkan bahawa perkahwinan Keling dan Kumang umpama bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.

Pada satu ketika diceritakan bahawa isteri Keling, Kumang telah diculik bersama-sama dengan Lulong, isteri kepada sahabat baik Keling iaitu Laja. Kejadian ini berlaku apabila Kumang dan Lulong sedang mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Sedang mereka asyik mencari ikan itu tanpa mereka sedari mereka telah melencong jauh sehingga ke kawasan sempadan yang dijaga oleh Apai Sabit Berkait. Kerana melihat kepada kecantikan kedua-dua wanita ini terutamanya Kumang, Apai Sabit Berkait telah bertindak menyimpan mereka di dalam sangkar besi di rumahnya. Keling dan Laja yang gundah gulana kerana risau memikirkan kehilangan isteri-isteri mereka akhirnya mendapat berita bahawa Apai Sabit Berkait yang empunya kerja itu. Keling bertemankan Laja terus pergi ke kawasan Apai Sabit Berkait dan sebelum dia sampai ke kawasan dimana tempat isterinya disembunyikan, Keling telah menggunakan kuasa ghaibnya atau Tau Ajih. Kuasa ghaib ini akan membolehkan beliau menghilangkan diri daripada penglihatan musuh. Dengan mudahnya Keling dapat melepaskan isterinya Kumang dan Lulong tanpa disedari oleh Apai Sabit Berkait.

Kerana kesaktian pahlawan Keling ini maka dikatakan bahawa selepas pemergian beliau barang siapa yang mendapat mimpi didatangi beliau akan menjadi seorang yang berani dan menjadi pahlawan atau dipanggil Raja Berani. Di dalam cerita lisan orang-orang tua masyarakat Iban ada mengatakan bahawa beberapa pahlawan Iban seperti Dana Bersumbar Bayang, Orang Kaya Pemancha Nanang dan Unggang Lebor Menua menjadi pahlawan yang berani dan tidak takut berani serta gagah yang amat sangat sehingga sukar untuk dikalahkan adalah kerana telah mendapat “bantuan” secara batin melalui mimpi oleh Keling.

Walau bagaimanapun bentuk penceritaan legenda Keling dan Kumang ini yang diperturunkan dari zaman berzaman melalui penceritaan dari mulut ke mulut, namun Keling dan Kumang sememangnya amat dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat dan tradisi masyarakat Iban. Keling dan Kumang bolehlah diistilahkan sebagai “role models” di dalam masyarakat Iban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan