Salam Malam Jumaat,
Ikan patin adalah salah satu jenis ikan sungai atau ikan air tawar. Ikan
jenis ini memiliki bentuk yang unik. Badannya panjang sedikit memipih, berwana
putih perak dengan punggung berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya
kecil, memiliki sesungut berjumlah 2-4 pasang yang berfungsi sebagai alat
peraba. Ikan patin termasuk ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak
mencari makan pada waktu malam. Diceritakan keenakan memakan ikan patin jika
kena dengan menu masakan kelazatannya sehingga menjilat jari tetap walau seenak
mana atau senikmat mana ikan patin mengapa ramai Melayu Sarawak tidak
memakannya. Sudah tentu ada cerita legenda disebalik mengapa dan kenapa
masyarakat Melayu Sarawak mahupun Melayu di nusantara tidak menjadikannya
hidangan pembuka selera. Inilah paparan Borneo Oracle buat kali ini iaitu
Legenda Ikan Patin Dan Mengapa Ramai Masyarakat Melayu Sarawak Tidak
Memakannya.
Umum mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya
adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih
spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat. Sebenarnya
ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak
beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan
yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu
di tepi sungai saat ia pulang memancing. Konon, bayi itu adalah keturunan raja
ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa
bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang
lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah. Selama dalam asuhannya, si
nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi
pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik,
bijak dan berbudi pekerti luhur. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan
terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop
telah melewati rumah orangtua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang
menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang
Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya. Beberapa
hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya.
Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia
memenuhi syaratnya. Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop
adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat
yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah
syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya
seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan
yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua
mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut. Para
undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua
sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan
Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia,
saling mencintai dan saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah
mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana
sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah
yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah
kandungnya yang sebenar. Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah
diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan
kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah
menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada “ayahnya”. Ia pun kembali bahagia hidup
bersama suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak
mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu
petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka.
Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota
keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah. Kerana keinginan
yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang
Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak. Akhirnya ia pun menuruti
keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di
mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai.
Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang.
Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma
menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air. Pada masa itu Awang Usop pun
baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka
hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat
dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya
Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan
tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan
patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan
sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa
kepada kematian. Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang
Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji
dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini
diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.
Inilah cerita legenda ikan patin dan mengapa ramai masyarakat Melayu
Sarawak tidak memakan ikan patin. Tidak diketahui samada kebenaran sumpahan ini
ke atas semua keturunan Melayu Sarawak namun yang pasti ada sesetengah
masyarakat Melayu Sarawak sememangnya tidak memakan ikan patin. Sesungguhnya
setiap hal yang berlaku di dunia ini ada ceritanya dan cerita legenda adalah
satu cerita yang digembar gemburkan untuk mencantikkan jalan ceritanya. Sejauh mana
kebenarannya hanya Yang Maha Kuasa yang lebih mengetahuinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan