Khamis, 25 Februari 2016

Lagenda Puteri Santubong & Sejenjang


Salam Malam Jumaat,

Cerita mengenai lagenda Sarawak ini mempunyai beberapa versi, pada malam ini saya ingin kongsikan versi ini. Sila layan di bawah ini. 

Puteri Santubong & Puteri Sejinjang adalah merupakan puteri-puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama 7 orang saudara lelaki mereka kerana ayahanda mereka (Sultan Brunei) telah dibunuh oleh satu komplot sekitar abad ke-18.

Memandangkan 9 orang putera & puteri ini dalam pelarian ingin menuju ke Tanah Melayu yang memaksa mereka menyeberangi Laut China Selatan, maka saudara-saudara lelaki mereka telah bersepakat untuk meninggalkan 2 orang saudara perempuan mereka, Puteri Santubong & Puteri Sejinjang di satu kawasan yg kini terletak di Kuching.

Kedua-dua puteri tersebut akhirnya mencari tempat perlindungan di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Santubong. Dan kerana berlaku perbalahan di antara dua beradik tersebut, maka Puteri Sejinjang telah mencari tempat perlindungan lain di sebuah gunung yg bertentangan dengan Gunung Santubong iaitu Gunung Sejinjang.

Bagi orang-orang Dayak di Sarawak yang selalu ke kawasan dua gunung tersebut mula berasa hairan. Mereka berfikir akan dari mana datangnya kedua-dua gadis tersebut yang mereka tidak pernah temui sebelum itu di kawasan tersebut. Mereka menganggap kedua-dua puteri tersebut telah 'Turun Dari Kayangan' (seperti yang terdapat di dalam lirik lagu Puteri Santubong - "anak dak dewa turun kayangan".

Sementara itu, 7 orang bersaudara (putera-putera Sultan Brunei) itu pula dikatakan meneruskan pelayaran mereka sehingga ke Pulau Pinang. Setelah mendarat dan berjalan untuk mencari tempat tinggal, sesampainya di suatu kawasan di Pulau Pinang, burung bayan yang mereka bawa dari Brunei telah terlepas. Maka dari situlah kawasan di mana burung bayan mereka terlepas mula dikenali sebagai Bayan Lepas.

Kini, keturunan dari 7 orang putera Sultan Brunei itu masih menetap di kawasan tersebut dan sebahagiannya telah berhijrah ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia ini. Cuma keturunan mereka ini tidak lagi memakai sebarang gelaran atau panggilan di depan nama mereka seperti Pengiran atau Datu. Mungkin 7 orang Putera tersebut tidak mahu lagi mengunakan gelaran tersebut agar kumpulan komplot yang membunuh ayahanda mereka itu tidak akan dapat menjejaki mereka dan keturunan mereka lagi. Namun, keturunan 7 orang putera tersebut kini masih percaya yang mereka sememangnya adalah dari keturunan Sultan Brunei. Cuma apa yang mereka hairan dan musykilkan ialah mengapakah nenek-moyang mereka terpaksa melarikan diri dari Brunei hingga sejauh ke Pulau Pinang?!.

Kedua dua puteri ini pada mulanya hidup aman tetapi lama kelamaan menjadi musuh kerana masing masing mempertahankan kecantikan mereka dan mengaku mereka paling cantik di dunia. Kerana bergaduh, seorang daripada mereka telah berpindah ke sebuah bukit lain diberi nama Bukit Sejenjang.

Perbalahan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya membawa kepada kematian apabila kedua duanya saling berbunuhan antara satu sama lain. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.

Lirik lagu Puteri Santubong Puteri Sejenjang (memang saya suka betul lagu ni. Tak tahu kenapa RTM berhenti siarkan di televisyen sekarang):

Oh……
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.

Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.

Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.

Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.

Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.

Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.

Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan 2 puteri dari Kayangan. Ayahandanya raja Kayangan telah menurunkan titah agar kedua-dua puteri tersebut turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Namun sebelum mereka turun ke bumi, ayahandanya berpesan sekiranya terjadi pertelingkahan kedua-dua puteri maka mereka akan terkena sumpahan kayangan dan tinggallah mereka di bumi. Pada asalnya kedua-dua puteri tersebut merupakan sepupu. Ketika turunnya kedua-dua puteri ke bumi. Penduduk kampung kehairanan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri di dua buah kampung. Kejelitaan dan sifat kewanitaan terserlah diraut wajah kedua-dua puteri.

Puteri Santubong menetap di sebuah kampung Pantai Biru dan mengajar menenun kain manakala Puteri Sejinjang di kampung Pasir Kuning mengajar mengasing sekam padi dengan aluk. Dengan kemahiran ini kedua-dua kampung tersebut menjadi aman tanpa pertelingkahan. Selama ini pertelingkahan terjadi kerana sistem pertukaran barang antara kampung tidak setara dengan barangan yang dibawa.

Kemakmuran di kedua-dua kampung tidak berkekalan. Kehadiran Putera Serapi datang berkunjung untuk melihat kehebatan dan kejelitaan kedua-dua puteri. Mengetahui Putera Serapi hendak datang mengadap kedua-dua puteri berhias-hias untuk mengadap Putera Serapi. Kedua-dua Puteri berasa sangat kagum dan tertawan dengan kekacakan Putera Serapi, yang sasa dan terserlah kewibawaannya, begitu juga Putera Serapi yang sudah terpikat dengan kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri tersebut.

Saban hari selepas pertemuan itu. Puteri Santubong dan Sejinjang bertemu hendak menyatakan hasrat hati masing-masing. Namun hasrat yang dinyatakan adalah sama iaitu, kedua-duanya mencintai Putera Serapi. Sejak itu mereka bermusuhan dan bercemburuan antara satu sama lain. Dengan kesaktian kedua-dua puteri mereka bergaduh berhari-hari tanpa henti. Sejinjang mengatakan bahawa dia lebih cantik, manakala Santubong menyatakan dia lebih jelita. Dengan marahnya Sejinjang lalu mencapai aluk, lalu di hayun di pipi Puteri Santubong yang kini kita dapat lihat lengkuk di gunung. Hanya kekuatan terakhir Santubong lalu menikam belida di kepala Sejinjang. Akhirnya kedua-dua puteri tersungkur kesakitan. Kemudian kilat sambung menyambung serta guruh berdentuman, lalu cahaya terang dari langit mengangkat kedua-dua puteri. Sumpahan kayangan terus menjadikan Puteri Santubong menjadi gunung manakala Sejinjang menjadi Pulau Kera yang berteraburan. Putera Serapi pulang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi..

Infomasi ini saya copy daripada link (maaflah saya tak ingat dimana). 

Khamis, 18 Februari 2016

Lagenda Gua Gomantong Sandakan Sabah


Salam Malam Jumaat,

HUJAN yang turun sejak beberapa hari lalu setelah kemarau lebih tiga purnama menumbuhkan pucuk muda kegemaran rusa dan binatang liar lain yang menghuni rimba raya. Raja Tua Batulong yang tinggal di Kampung Kuala Kuamut, Ulu Sungai Kinabatangan merasakan masa untuk berburu telah tiba, apatah lagi tuaian padi musim ini amat berhasil.

Maka bertolaklah Raja Tua Batulong ke dalam hutan rimba yang tebal bersama anjing kesayangan dan sebilah lembing yang tajam. Oleh kerana terlalu asyik melihat tapak kaki rusa dan tembadau, Raja Tua Batulong tersesat jauh ke dalam hutan dan tidak tahu di mana berada.

Pada hematnya mungkin roh jahat, Anturut, telah meresap ke tubuhnya dan kini di bawah kendalian roh tersebut. Anjingnya tidak kelihatan lagi walaupun berkali-kali dipanggilnya.
Namun Raja Tua Batulong menguatkan semangat dan mene-ruskan perjalanan. Apabila lapar, dia mengambil pucuk, umbut kayu dan buah-buahan hutan untuk mengisi perutnya yang berkeroncong.

Selama seminggu lebih Raja Tua Batulong melangkah di dalam hutan tebal, tidur di atas pokok kayu dengan mengikat dirinya pada dahan kayu di waktu malam dan meneruskan perjalanan ketika masih kabus.

Tiba-tiba kelihatan sebuah gua besar di sebuah bukit batu kapur yang tinggi di hadapannya. Raja Tua Batulong melemparkan beberapa ketul batu ke dalam gua berkenaan sehingga kelawar dan burung layang-layang bercempera terkejut dengan bunyi yang dihasilkan dari lantunan batu yang dilemparkan ke dalam gua berkenaan.

Raja Tua Batulong memasuki gua dan mendapati banyak sarang burung di dalam gua berkenaan lalu menanda dan menamakan gua tersebut sebagai Agup Tagarang.
Ketika sedang melepaskan lelah selepas dua hari perjalanan meninggalkan Agup Tagarang, dia terdengar sayup-sayup suara anjingnya tidak jauh di hadapan lalu terbetik kegembiraan yang amat sangat, apatah lagi anjingnya sedang mengejar binatang hutan, mungkin rusa, tembadau atau babi.

Tanpa melengahkan masa Raja Tua Batulong melompat ke hadapan bersama lembing mengejar binatang buruan untuk mengisi perutnya yang selama lebih seminggu hanya disumbat daun kayu dan buah-buahan hutan kerana tidak menemui sebarang binatang selain burung layang-layang dan kelawar yang sukar ditangkap.

Setelah mengejar kesegenap arah, akhirnya Raja Tua Batulong dapat membunuh babi yang dikejar anjingnya hampir separuh daripada hari tersebut dengan lembing tajam yang menembusi jantung babi berkenaan.

Ketika sedang membersihkan babi tersebut Raja Tua Batulong kehairanan kerana mendapati banyak sarang burung di dalam perut babi berkenaan. Babi tersebut dipanggang dan dihabiskan oleh Raja Tua Batulong dan anjingnya.

Akibat keletihan dan kekenyangan, Raja Tua Batulong tertidur agak awal pada malam itu di sebuah gua batu bersama anjingnya. Suasana di hutan itu semakin sunyi dan hanya sekali sekala bunyi cangkerik dan bunyi dengkuran Raja Tua Batulong yang diselang seli dengan bunyi dengusan nafas anjingnya.

Tiba-tiba asap berkepul-kepul di hadapannya. Angin sejuk mengelus lembut. Muncul tujuh orang puteri jelita berpakaian serba biru yang bercahaya bagai bidadari dari syurga. Raja Tua Batulong terkejut bimbang kalau-kalau ketujuh puteri jelita itu hanya roh jahat yang cuba menggodanya, namun menguatkan semangatnya kerana kaki ketujuh puteri tersebut memijak lantai gua.

Kata orang tua-tua, kalau puteri jelita hanya berdiri di atas angin dan tidak menjejak lantai atau tanah, maka perlu dihindari bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.

"Kenapa saudara berada di sini?" tanya puteri yang berselendang biru laut dengan senyuman dan suara merdu yang boleh meruntuhkan kejantanan Raja Tua Batulong.

"Saya sesat. Saya tidak dapat cari jalan pulang," kata Raja Tua Batulong dengan nada tersekat-sekat namun bersungguh-sungguh memohon ihsan ketujuh puteri menunjukkan jalan pulang.

"Saudara jangan bimbang. Saudara teruskan perjalanan ke arah kanan, kemudian saudara akan jumpa sebuah gua yang banyak sarang burung, lebih besar dari gua yang saudara jumpa di Kuamut, nama gua itu Gomantong. Saudara gantung baju saudara di sana sebagai tanda supaya saudara boleh datang lagi. Lepas itu teruskan perjalanan ikut rasa hati saudara," kata puteri berselendang biru sementara yang lainnya melambai-lambaikan tangan kemudian kesemua mereka hilang secara tiba-tiba di celah kepulan asap dan angin yang berhelus lembut.

Raja Tua Batulong terkejut lalu terjaga dari tidur ketika hari hampir pagi. Dia tidak melihat sesiapa di sisinya selain anjingnya yang menggeliat seketika. Raja Tua Batulong mentakwilkan mimpinya dan yakin ketujuh puteri dalam mimpinya berkata benar. Dia mengalas perutnya dengan baki daging babi yang diperolehi kelmarin lalu meneruskan perjalanan sebagaimana panduan yang diberikan oleh puteri jelita berselendang biru laut melalui mimpinya.

Tidak lama kemudian tersergam di hadapannya sebuah bukit batu kapur yang agak tinggi dan bergua besar. Raja Tua Batu-long memasuki gua berkenaan untuk memastikan itulah gua yang dimaskudkan oleh puteri berselendang biru laut. Terdapat banyak sarang burung, hitam dan putih dalam gua berkenaan, lalu Raja Tua Batulong memetik beberapa sarang burung berkenaan untuk di bawa balik kerana memikirkan sedangkan babi memakan sarang, apatah lagi manusia. Sudah pasti sarang tersebut amat bernilai, bisik hati kecilnya.
Selepas menggantungkan baju yang dipakainya di mulut gua sebagaimana yang diarahkan oleh puteri berselendang biru laut, Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan mengikut rasa hatinya dengan diekori oleh anjingnya.

Tidak lama kemudian dia menemui sebatang sungai lalu menghilir sungai tersebut sehingga pada petang itu dia terlihat dua orang lelaki sedang mendayung sampan memudeki sungai. Hatinya terbetik kegembiraan.

"Hai kawan, saya sesat, boleh saya tumpang," pinta Raja Tua Batulong kepada dua orang lelaki tersebut yang tidak keberatan menumpangkannya.

" Saudara dari mana?" tanya seorang lelaki yang berkumis tebal yang mendayung di belakang.

"Saya dari Kuamut," balas Raja Tua Batulong yang menceritakan serba sedikit bagaimana dia boleh berada di tebing sungai ketika kedua lelaki berkenaan mendayung sampan.

Walaupun pergerakan sampan tersebut terlalu perlahan, namun Raja Tua Batulong gembira kerana dapat keluar dari hutan tebal berkenaan. Hampir tengah malam barulah mereka tiba di kampung dua orang lelaki tersebut, Kampung Melapi berdekatan dengan Kuala Menungal. Mereka bermalam di rumah kedua lelaki tersebut.

Keesokan paginya kedua lelaki tersebut membawa Raja Tua Batulong berjumpa dengan ketua kampung mereka, Pangeran Digadong Sama lalu menceritakan serba sedikit bagaimana mereka berjumpa dengan Raja Tua Batulong.

Pangeran hanya tersenyum mendengar penjelasan anak buahnya kerana beliau ada mendengar kisah seorang lelaki dari Kuamut hilang di dalam hutan tanpa jejak ketika berburu. Pangeran mengalu-alukan kedatangan Raja Tua Batulong dan melayannya dengan baik sebagai tetamu kehormat ke kampungnya.

"Saudara tinggallah di sini barang sehari dua untuk melepaskan lelah," ujar Pangeran sambil menyerahkan persalinan dan mengarahkan keluarganya menyediakan makanan yang enak-enak untuk Raja Tua Batulong.

"Terima kasih," jawab Raja Tua Batulong yang merasakan terhutang budi kepada kedua lelaki yang menumpangkannya dan Pangeran yang memberikan layanan yang begitu istimewa sekali.

Setelah kesihatan Raja Tua Batulong pulih seperti sediakala kerana diberi makanan yang berzat, maka dia menceritakan kisah sebenar bagaimana boleh sesat sehinggalah tiba di kampung tersebut kepada Pangeran.

"Inilah sarang burung itu," kata Raja Tua Batulong seraya mengunjukkan beberapa sarang burung yang sempat dipetiknya dari Gua Gomantong yang dijumpai dengan bantuan puteri berselendang biru laut yang mendatangi mimpinya.

"Saudara boleh ingatkah jalan ke sana?" tanya Pangeran yang begitu gembira kerana sering dikunjungi pedagang China dan Suluk yang ingin membeli sarang burung, namun Pangeran tidak mengetahui bagaimana mahu mendapatkan sarang berkenaan.

"Rasa-rasa saya boleh ingat, saya ada kasi tinggal baju saya di sana sebagai tanda," balas Raja Tua Batulong berterus terang.

Pangeran mengarahkan beberapa orang pemuda kepercayaannya menemani Raja Tua Batulong kembali ke Gua Gomantong menghilir sungai dan mengikut jalan yang dilalui oleh Raja Tua Batulong sehingga menemui gua tersebut.

Mereka sampai ke Gua Simud Hitam yang diserahkan kepada Raja Tua Batulong kerana bajunya tertanda di pintu gua berkenaan.

Manakala gua-gua lain telah menjadi hak milik Pangeran Digadong Sama yang mengarahkan pengikutnya mendirikan beberapa pondok di pintu gua berkenaan sementara dua orang pemuda pulang memberitahu ketua mereka tugas mereka telah selesai.

Raja Tua Batulong tidak lagi kembali ke Kuamut, sebaliknya menetap di Gua Gomantong menjaga sarang burungnya ber-sama-sama para pengikut Pangeran Digadong Sama kerana sarang burung mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar yang berurus niaga dengan mereka di Melapi.

Gua Gomantong menjadi warisan turun temurun Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama sehinggalah kedatangan British ke Sabah yang meletakkan Gua Gomantong milik kerajaan, namun masih membenarkan keturunan Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama memungut sarang dengan membayar cukai sepuluh peratus sehinggalah hak pemungutan sarang terlepas daripada keturunan mereka pada tahun 1994 apabila Kerajaan Barisan Nasional memerintah Sabah.


Khamis, 11 Februari 2016

Legenda Buaya dari Sabah


Salam Malam Jumaat,

Apabila kita mendengar nama bujang senang disebut, di fikiran kita akan tergambarlah Sarawak, di mana Sarawak dan bujang senang tidak dapat dipisahkan. ada banyak versi mengenai bujang senang. Tetapi jarang bagi kita mendengar legenda sang buaya dari negeri lain, kecualilah dogeng sang kancil mempermainkan buaya. Kali ini saya ingin berkongsi cerita legenda mengenai buaya di sungai Kinabatangan, Sabah.

Pada masa dahulu dikatakan di sungai kinabatangan, buaya boleh berkomunikasi dengan manusia dan pada waktu tersebut juga wujud keharmonian diantara buaya dan manusia. Cerita ini bermula bila mana seekor buaya putih air tawar yang bernama Terrunggari telah menarik seorang budak ke dalam sungai dan dibawanya budak itu ke muara sungai kinabatangan. Tujuan Terrunggari menaik budak tersebut ialah untuk menjadikan budak tersebut sebagai saksi antara pertarunganya (Terrunggari) dengan seekor buaya dari laut yang besar yang bernama Berlintang. Berlintang ialah buaya yang memerintah laut pada masa tersebut.

Berlintang bukan sahaja memerintah laut, tetapi ingin merampas kuasa di sungai yang pada masa itu dikuasai oleh Terrunggari. Jadi sebelum Berlintang berhasrat mengusai sungai, dia perlu berdepan dengan Terrunggari. Terunggari tidak mahu membiarkan Berlintang mengusai sungai disebabkan Berlintang seekor buaya yang ganas dan akan menyerang haiwan dan manusia di sungai Kinabatangan.

Sebelum bertarung, Terrunggari memberitahu budak tersebut, kalau darah putih muncul dari dasar sungai semasa pertarungan tersebut berakhir, itu bermaksud dia kalah dan dia mahu budak tersebut memberikan amaran pada orang kampung supaya berpindah dari sungai Kinabatangan bagi menjamin keselamatan mereka dari diserang oleh Berlintang. Jika darah merah yang muncul dari dasar sungai pula, ini bermaksud Terrunggari menang dan orang kampung tidak perlu takut kerana keamannan antara buaya dan manusia akan terus terjamin.

Kemudian, berlakulah pergaduhan diantara Terrunggari dan Berlintang di mana di akhir pertarungan tersebut, darah merah telah muncul dari dasar sungai. Jadi ini bermaksud Terrungari menang dan manusia tidak perlu takut kerana Terunggari tidak akan menyerang manusia.

Tapi ini adalah lagenda dan cerita dogeng semata-mata kerana mengikut statistik, setiap tahun, akan ada orang menjadi mangsa kepada buaya di sungai tersebut.

Khamis, 4 Februari 2016

Pengait


Salam Malam Jumaat,

Pada zaman dahulu tengkorak manusia juga dikaitkan dengan cerita " pengait " atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai " head hunter " satu panggilan kepada pemburu kepala manusia untuk dijadikan berian kahwin ataupun sebagai tanda kepahlawanan. Kesahihan cerita pengait ini sukar dipastikan kerana tidak ada bukti kukuh tentangnya, mungkinkah itu hanya sebagai lagenda ataupun cuma sebagai cerita di antara cerita-cerita penglipurlara semata-mata.

Cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu kini kian tenggelam ditelan zaman, cerita " pengait " dan kisah-kisah pemburu kepala jarang kedengaran lagi di mana-mana di negeri ini.  
      
Cerita " Pengait " pada zaman dahulu telah diakui sebagai budaya kuno yang pernah diamalkan di oleh suku kaum Rungus walaupun tidak sehebat cerita kaum Murut di Sabah pada abad ke-16 hingga ke-17. Ramai yang percaya dengan sumber-sumber daripada cerita lisan itu yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, malah pada zaman moden inipun ada yang masih percaya dengan cerita pengambilan kepala manusia konon untuk tujuan membayar tebusan kepada penunggu di tempat diadakan pembangunan, terutama sekali jambatan.

Kononnya pada zaman dahulu kegiatan memburu kepala dilakukan untuk dijadikan bukti kegagahan seseorang lelaki ataupun dijadiakan berian kahwin. Kononnya seorang lelaki tidak akan dapat memiliki isteri sekiranya ia gagal menyumbangkan sekurang-kurangnya satu kepala manusia yang dia penggal sendiri.

Namun pada hakikatnya fakta kajian telah menyatakan, perolehan tengkorak manusia sebenarnya dikatakan hasil dari usaha mempertahankan diri, si gagah menang dalam pertempuran setelah berjaya mempertahankan diri ataupun berjaya membalas dendam. Kegiatan ini kononnya pernah berlaku di kalangan suku kaum Murut dan ia dipercayai pernah menular kepada masyarakat Momogun Rungus .

Pada kira-kira abad ke-17 hingga abad ke-18 masyarakat Momogun dan Murut masih lagi mempunyai kepercayaan bahawa tengkorak manusia boleh membawa kebaikan kepada mereka lalu menggantung beberapa tengkorak manusia di atas Tangkob. Tangkob ialah peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira 3 hingga 4 kaki. Kepercayaan ini telah menyerap sebagai salah satu budaya dan kepercayaan yang abadi di kalangan suku kaum tersebut.

Tangkob diperbuat daripada kulit kayu digunakan sebagai tempat menyimpan padi. Ianya terdapat dalam berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tempat ianya disimpan. Tangkob biasanya ditempatkan di sulap Bangkawan, sulap yang mempunyai atap tetapi tidak berdinding.

Bagi mengelakkan semangat padi diganggu dan rezeki pemilik padi akan bertambah maka tengkorak manusia digantung di sebelah atas tangkob bersama-sama beberapa buah kerang gergasi, daun silad kering dan tulang binatang.

Apabila pengait menganas, sering kali menjadi mangsa adalah kanak-kanak, oleh kerana itu kanak-kanak itu dilarang tegas oleh ibubapa mereka agar tidak balik lewat mahupun keluar rumah. Kita tidak tahu bila pengait ini menganas kecuali projek pembinaan jambatan baru, maka perkhidmatan pergait diperlukan oleh memastikan jambatan itu teguh dan tidak akan runtuh dikalah banjir besar. Ada yang sanggup membayar kepada pengait ini semata-mata untuk memastikan jambatan itu tidak runtuh. Kepala kanak-kanak lebih diminati daripada mereka yang lebih dewasa tanpa mengira jantina sekalipun. Pernah satu kes berlaku apabila orang kampung bertindak drastik sekali dengan mengerjakan seseorang yang mereka sangkakan pengait sebaliknya bukan apabila di kampung mereka adanya pembinaan jambatan yang baru. Orang tidak bersalah itu terbunuh dan mereka yang membunuh itu ditangkap oleh pihak polis, semua gara-gara orang itu membawa sabit dan satu karung guni dimana dia gunakan mencari rumput untuk memberikan makanan kepada kambingnya.

Oleh kerana itu amalan meletakkan kepala itu sudah tidak diamalkan lagi sebaliknya digantikan kepada kepala kambing sebab pembayaran kepada penunggu dan memastikan jambatan itu kukuh daripada runtuh. Cerita mengenai pengait mulai ditelan zaman dan berita mengenainya jarang sekali didengari kecuali pada era 70’an – 90’an. Setiap kali ada jambatan baru dibina pada masa itu kena berjaga-jaga apabila pengait akan mencari mangsanya yang baru.


Khamis, 28 Januari 2016

Larangan


Salam Malam Jumaat, 

Pada satu ketika dahulu, orang tua-tua sering kali berpesan agar balik sebelum terbitnya matahari di waktu senja ataupun balik sebelum azan maghrib terutamanya yang tinggal di kampung. Mereka khuatir anak-anak kecil berlanggar dengan anak-anak jin mahupun mengelak daripada anak-anak ini dari disembunyikan oleh hantu yang sering kali dikaitkan dengan kehilangan iaitu Hantu Kopek serta dikenali sebagai Hantu Tetek.

Hantu Kopek ini adalah salah satu mahluk halus yang suka menganggu manusia dan hantu ini sering kali menyerupai seperti seorang wanita tua yang mempunyai kopek (buah dada, payudara) yang besar dimana ia menyembunyikan mangsa disebaliknya. Ia adalah hantu yang hidup dengan besar dan tidak bertuan.

Ada versi mengatakan hantu ini mempunyai rupa paras seperti seorang perempuan tua yang teramat hodoh, sangat tinggi, berbogel menunjukkan badannya yang berbelang hitam putih dan gemar bersembunyi di sebalik pokok-pokok di tepi jalan dikala malam hari.Ia mempunyai rambut yang mengerbang & panjang sehinggakan kakinya, kuku yang panjang & tajam dan di tangan kanannya memegang kain putih (kain kematian) yang dikenali sebagai kain kafan. Pakaiannya pula hanya menutupi kawasan dari pinggang ke lutut. Payudaranya bergayut sehinggakan mencecah ke pusat dan kelihatan seperti labu air yang besar. Ia suka duduk mencangkung disebalik  pokok sementara menanti mangsanya datang ke kawasan tersebut.

Apabila seseorang melalui kawasan itu, Hantu Kopek akan mengoncangkan pokok, lalu menghayunkan payudaranya untuk menolak mangsa tersebut sehinggakan terjatuh ke tanah. Apabila mangsanya bangun, hantu ini akan mengulangi perbuatannya sehingga mangsa melarikan diri. Mangsa yang disembunyikan oleh hantu ini, kebiasanya boleh melihat orang-orang yang sedang mencarinya akan tetapi tak mampu berkomunikasi dengan mereka.

Mangsa bagi hantu ini kebiasanya adalah remaja dan anak-anak kecil. Oleh itu tidak hairan mengapa orang tua-tua berpesan dan melarang anak-anak ini daripada balik lewat malah melarang mereka ini daripada bermain dikala cuaca berjerebu dan waktu maghrib dimana hantu ini paling aktif sekali dan mencari mangsanya.

Jika berlakunya anak-anak ataupun sesiapa sahaja yang  hilang dikala senja hari, ia menjadi adat bagi sesetengah pihak untuk mencari mereka yang hilang itu dengan cara membunyikan gong, loyang ataupun dulang tembaga. Perbuatan ini dikatakan akan menyebabkan hantu tersebut menari-nari sambil melompat-lompat dan ini akan menyebabkan mangsa yang tersembunyi di sebalik payudaranya, terjatuh ke tanah dan akan ditemui di tempat-tempat gelap, belakang pintu, di dalam semak, di bawah pokok mahupun tempat-tempat si mangsa hilang.

Selain daripada itu ada yang meminta pertolongan mereka yang pakar mahupun tok iman mencari mereka yang hilang itu selain daripada mengazankan kawasan dimana mangsa itu hilang selain daripada meminta pertolongan daripada Yang Maha Esa. Hantu ini akan lari meninggalkan mangsanya apabila tidak tahan dengan “panas” ataupun meninggalkan mangsanya pada masa tertentu.

Daripada pengalaman si mangsa, kebiasanya mereka melihat seorang wanita tua bersama mereka sentiasa dan memberikan mereka makanan & minuman. Akan sebaliknya ia hanyalah penipuan sahaja dimana Hantu Kopek itu memberikan mereka cacing, najis dan air kencing. Maka tidak hairanlah apabila mangsa yang ditemui kelihatan lemah sebalik sahaja dia diselamatkan. Si mangsa akan memuntahkan segala isi perutnya yang ternyata kotor sekali daripada apa yang diberikan oleh hantu ini. Si mangsa biasanya akan dipulihkan semangatnya dan diberikan air bacaan untuk diminum.

Ada versi lain yang mengatakan hantu yang berwarna kelabu yang gemarkan darah dan kanak-kanak dikaitkan dengan ahli sihir perempuan tua yang bernama Rangda (mengikut mitos orang Bali), dimana ia boleh dilihat menari-nari dengan keadaan payudaranya yang lanjut berjuntaian dan terhayun-hayun di dalam tarian yang dipersembahkan oleh pertunjukkan kebudayaan di Bali. Ia juga mempunyai versi yang lain daripada berlainan negara mahupun budaya seperti di dalam cerita rakyat Slavic (Rusia) iaitu Baba Yaga, dimana ia adalah ahli sihir perempuan dimana berusia tua yang terbang dengan menggunakan lesung kayu dan menumbuk lesung kayu sebagai menariknya dimana dipercayai menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.

Tahukan anda bahawa, Hantu Kopek mempunyai versi jantan yang dikenali sebagai Hantu Kangkang. Hantu ini akan menyerang mangsanya dengan mengunakan kemaluannya yang besar dan adakalanya akan menyembunyikan mangsanya disebalik kemaluannya juga. Cara menyelamatkan mangsanya pun sama dengan Hantu Kopek. Infomasi mengenai hantu ini tidak banyak diketahui.

Larangan ataupun petua orang tua-tua ini mempunyai maksudnya tersendiri dimana ia adalah untuk kebaikkan anak-anak mereka juga. Tiada satu ibubapa ingin anaknya hilang dan keselamatan anak-anak adalah tanggung-jawab mereka. Percaya mahupun tidak itu terpulanglah lagipun tiada sesiapa ada hak memaksa kamu untuk mempercayainya. Semua pun bermula daripada kita sendiri juga.

Sumber:
1.    33 Hantu oleh Kumpulan Seekers.
2.    The Malaysian Book of The Death by Danny Lim.
3.    Cerita-cerita yang saya pernah dengar.
4.    Wikipedia.org

Khamis, 21 Januari 2016

2 sentence horror

Salam Malam Jumaat, 

















Memberi Salam


Salam Malam Jumaat, 

Orang tua-tua sering kali berpesan untuk memberikan salam sama ada kita pergi ke rumah orang lain mahupun di rumah sendiri termasuk juga ditempat-tempat yang asing ataupun ditempat yang baru. Malah kita disuruh untuk memberikan salam sebelum memasuki hutan, kubur dan gua. Selain sahaja kita memberitahu kehadiran kita malah kita dikira berbudi bahasa daripada bersikap biadap.

Ada yang tidak sedar bahawa kita berkongsi di dunia ini dengan ciptaan Yang Maha Esa yang lain seperti tumbuhan, haiwan serta mahluk-mahluk dimana manusia terbatas daripada melihatnya dengan pancaindera kita kecuali mereka yang terpilih. Semestinya mereka ini mengerti apa yang diucapkan oleh kita manusia melalui caranya tersendiri.

Tanpa memberikan salam, kita boleh dilabelkan agak biadap mahupun mencerobohi rumah mahupun kawasan mereka ini tanpa diundang secara tak langsung mereka membuat tindakan untuk menyedarkan dan mengingatkan tempat kita berada di mana. Apabila gangguan dimulakan oleh kita manusia dahulu maka mereka akan membalas dengan gangguan yang sama.

Memberikan salam sebelum  memasuki rumah kita memang digalakkan sekali, apabila diluar sana ada banyak mahluk-mahluk halus yang berkeliaran. Jika ia berminat dengan kamu, ia akan mengekori mahupun mengikuti kamu balik dan terus tinggal di kamu itu terutamanya jika kamu baru balik daripada kubur, hutan, kawasan yang sunyi serta gelap dan tempat yang mempunyai sejarah hitam.

Dengan memberikan salam sekurang-kurangnya benda yang mengekori kamu balik dapat dihalang daripada terus memasuki rumah kamu, itu pun selepas membaca doa-doa tertentu (mengikut bacaan suci ataupun pelindung berdasarkan agama yang dianuti) untuk memastikan daripada ia ikut memasuki rumah kamu.

Selain daripada memberitahu kehadiran mahupun kepulangan kamu, memberikan salam itu adalah jalan terbaik sekali dan menghalang daripada berlakunya sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku tak mengira daripada bentuk fizikal mahupun yang ghaib. Percaya mahupun tidak itu terpulanglah, apa-apa pun semua bermula daripada kita juga dan lebih baik berhati-hati sahaja daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.