Khamis, 28 Januari 2016

Larangan


Salam Malam Jumaat, 

Pada satu ketika dahulu, orang tua-tua sering kali berpesan agar balik sebelum terbitnya matahari di waktu senja ataupun balik sebelum azan maghrib terutamanya yang tinggal di kampung. Mereka khuatir anak-anak kecil berlanggar dengan anak-anak jin mahupun mengelak daripada anak-anak ini dari disembunyikan oleh hantu yang sering kali dikaitkan dengan kehilangan iaitu Hantu Kopek serta dikenali sebagai Hantu Tetek.

Hantu Kopek ini adalah salah satu mahluk halus yang suka menganggu manusia dan hantu ini sering kali menyerupai seperti seorang wanita tua yang mempunyai kopek (buah dada, payudara) yang besar dimana ia menyembunyikan mangsa disebaliknya. Ia adalah hantu yang hidup dengan besar dan tidak bertuan.

Ada versi mengatakan hantu ini mempunyai rupa paras seperti seorang perempuan tua yang teramat hodoh, sangat tinggi, berbogel menunjukkan badannya yang berbelang hitam putih dan gemar bersembunyi di sebalik pokok-pokok di tepi jalan dikala malam hari.Ia mempunyai rambut yang mengerbang & panjang sehinggakan kakinya, kuku yang panjang & tajam dan di tangan kanannya memegang kain putih (kain kematian) yang dikenali sebagai kain kafan. Pakaiannya pula hanya menutupi kawasan dari pinggang ke lutut. Payudaranya bergayut sehinggakan mencecah ke pusat dan kelihatan seperti labu air yang besar. Ia suka duduk mencangkung disebalik  pokok sementara menanti mangsanya datang ke kawasan tersebut.

Apabila seseorang melalui kawasan itu, Hantu Kopek akan mengoncangkan pokok, lalu menghayunkan payudaranya untuk menolak mangsa tersebut sehinggakan terjatuh ke tanah. Apabila mangsanya bangun, hantu ini akan mengulangi perbuatannya sehingga mangsa melarikan diri. Mangsa yang disembunyikan oleh hantu ini, kebiasanya boleh melihat orang-orang yang sedang mencarinya akan tetapi tak mampu berkomunikasi dengan mereka.

Mangsa bagi hantu ini kebiasanya adalah remaja dan anak-anak kecil. Oleh itu tidak hairan mengapa orang tua-tua berpesan dan melarang anak-anak ini daripada balik lewat malah melarang mereka ini daripada bermain dikala cuaca berjerebu dan waktu maghrib dimana hantu ini paling aktif sekali dan mencari mangsanya.

Jika berlakunya anak-anak ataupun sesiapa sahaja yang  hilang dikala senja hari, ia menjadi adat bagi sesetengah pihak untuk mencari mereka yang hilang itu dengan cara membunyikan gong, loyang ataupun dulang tembaga. Perbuatan ini dikatakan akan menyebabkan hantu tersebut menari-nari sambil melompat-lompat dan ini akan menyebabkan mangsa yang tersembunyi di sebalik payudaranya, terjatuh ke tanah dan akan ditemui di tempat-tempat gelap, belakang pintu, di dalam semak, di bawah pokok mahupun tempat-tempat si mangsa hilang.

Selain daripada itu ada yang meminta pertolongan mereka yang pakar mahupun tok iman mencari mereka yang hilang itu selain daripada mengazankan kawasan dimana mangsa itu hilang selain daripada meminta pertolongan daripada Yang Maha Esa. Hantu ini akan lari meninggalkan mangsanya apabila tidak tahan dengan “panas” ataupun meninggalkan mangsanya pada masa tertentu.

Daripada pengalaman si mangsa, kebiasanya mereka melihat seorang wanita tua bersama mereka sentiasa dan memberikan mereka makanan & minuman. Akan sebaliknya ia hanyalah penipuan sahaja dimana Hantu Kopek itu memberikan mereka cacing, najis dan air kencing. Maka tidak hairanlah apabila mangsa yang ditemui kelihatan lemah sebalik sahaja dia diselamatkan. Si mangsa akan memuntahkan segala isi perutnya yang ternyata kotor sekali daripada apa yang diberikan oleh hantu ini. Si mangsa biasanya akan dipulihkan semangatnya dan diberikan air bacaan untuk diminum.

Ada versi lain yang mengatakan hantu yang berwarna kelabu yang gemarkan darah dan kanak-kanak dikaitkan dengan ahli sihir perempuan tua yang bernama Rangda (mengikut mitos orang Bali), dimana ia boleh dilihat menari-nari dengan keadaan payudaranya yang lanjut berjuntaian dan terhayun-hayun di dalam tarian yang dipersembahkan oleh pertunjukkan kebudayaan di Bali. Ia juga mempunyai versi yang lain daripada berlainan negara mahupun budaya seperti di dalam cerita rakyat Slavic (Rusia) iaitu Baba Yaga, dimana ia adalah ahli sihir perempuan dimana berusia tua yang terbang dengan menggunakan lesung kayu dan menumbuk lesung kayu sebagai menariknya dimana dipercayai menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.

Tahukan anda bahawa, Hantu Kopek mempunyai versi jantan yang dikenali sebagai Hantu Kangkang. Hantu ini akan menyerang mangsanya dengan mengunakan kemaluannya yang besar dan adakalanya akan menyembunyikan mangsanya disebalik kemaluannya juga. Cara menyelamatkan mangsanya pun sama dengan Hantu Kopek. Infomasi mengenai hantu ini tidak banyak diketahui.

Larangan ataupun petua orang tua-tua ini mempunyai maksudnya tersendiri dimana ia adalah untuk kebaikkan anak-anak mereka juga. Tiada satu ibubapa ingin anaknya hilang dan keselamatan anak-anak adalah tanggung-jawab mereka. Percaya mahupun tidak itu terpulanglah lagipun tiada sesiapa ada hak memaksa kamu untuk mempercayainya. Semua pun bermula daripada kita sendiri juga.

Sumber:
1.    33 Hantu oleh Kumpulan Seekers.
2.    The Malaysian Book of The Death by Danny Lim.
3.    Cerita-cerita yang saya pernah dengar.
4.    Wikipedia.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan