Khamis, 8 Mac 2018

Salam Malam Jumaat

Salam Malam Jumaat semua, maaflah beberapa minggu menghilangkan diri apabila sibuk mencari rezeki dan sering kali saya akan sibuk pada malam Jumaat.

Pada malam ni saya akan berkongsi informasi yang menarik buat malam ni, malah buat masa ni saya mencari bahan yang mungkin saya kongsikan nanti. Bahan dimana jarang dikongsikan dan bahan dimana saya kena alih bahasa. Buat masa ni saya tengah mencari bahan dan mengumpul bahan. Ia mengenai kepercayaan orang Cina, dimana jarang sekali dikongsikan dalam bahasa Malaysia.

Malah saya juga bakal mengongsikan beberapa ritual ataupun permainan seram. Dimana saya dalam proses alih bahasa dan tak digalakkan untuk mencubanya.

Terima kasih buat mereka yang singgah ke blogspot ini, nak berkongsi cerita tu pm saya sahaja sama ada di Google+ mahupun di Facebook. Terima kasih atas kesabaran anda semua dan teruskan memberikan sokongan anda ke blog seram ini.

Khamis, 15 Februari 2018

Salam Malam Jumaat

Salam Malam Jumaat semua,

Saya ingin mengucapkan buat pembaca yang berbangsa Cina, Selamat menyambut Tahun Baru Cina 2018. Buat masa ni saya tak berkongsi sebarang jenis cerita dan informasi selama 2 minggu. Kira kepercayaan Cina, tak nak berkongsi cerita2 seram dan cerita tak baik. Kira Soil..

Saya akan berkongsi semula selepas 2 minggu, saya ada beberapa informasi menarik yang saya bakal kongsikan.

Sekali lagi Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Gong Hei Fatt Choi dan Jie Nie Ju E.


Khamis, 8 Februari 2018

Pengkebumian Tempayan Di Malaysia

Salam Malam Jumaat,


TEMPAYAN dijadikan salah satu medium untuk tujuan pengkebumian bukanlah sesuatu yang pelik kerana suatu waktu dahulu ianya adalah salah satu tradisi bagi masyarakat di seluruh dunia. Jika di Filipina, ianya cukup terkenal sehingga ada sesetengah tempat pengkebumiannnya menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Dan untuk konteks di Malaysia sebenarnya turut pernah ada dan bukan sahaja di dua negeri yang berada di Pulau Borneo iaitu Sarawak dan Sabah malah mencakupi sehingga ke Semenanjung Malaysia itu sendiri.

Pengkebumian tempayan atau Guri (Jar Burial) merupakan salah satu jenis pengkebumian yang diamalkan oleh masyarakat prasejarah di Malaysia. Jika dirujuk kepada rekod penemuannya, adat pengkebumian di dalam tempayan ini diamalkan oleh masyarakat zaman pra-sejarah akhir iaitu satu kelompok masyarakat yang mendiami kawasan pesisir pantai bagi Semenanjung Malaysia. Ini kerana pernah ada penemuannya di Kuala Terengganu manakala tapak perkuburan kuno pengkebumian tempayan pula ditemui di Pulau Tuba, Langkawi.

Bagi konteks Sabah dan Sarawak pula ianya tidak menyasar kepada masyarakat di pesisir pantai sebaliknya sehingga ke kawasan pedalaman kerana banyak penemuan lebih memperincikan kawasan gua-gua batu kapur terpencil seperti di Gua Niah dan Tanah Tinggi Kelabit. Adalah dipercayai bahawa masyarakat yang mengamalkannya adalah antara etnik-etnik pribumi Sabah dan Sarawak seperti Kelabit, Punan, Kenyah, Idahan, Sungai, Murut serta banyak lagi.

Antara ciri-ciri utama pengkebumian di dalam tempayan adalah tempayan akan digunakan sebagai tempat untuk menyimpan mayat atau tulang-tulang manusia. Tempayan-tempayan ini pula akan disimpan atau disorokkan di tempat-tempat yang terpencil seperti di gua-gua atau di celah-celah banir pohon yang besar di dalam hutan. Dan disekeliling tempayan-tempayan itu akan ditemui banyak objek-objek iringan seolah-olah menggambarkan pengembaraan mayat itu menuju ke persemadian kekal mengikut kepercayaan masyarakatnya.

Dan seperti mana proses pengkebumian keranda perahu, pengkebumian tempayan juga dilaksanakan dalam dua proses iaitu pengkebumian primer dan sekunder. Pengkebumian Primer merupakan satu proses pengkebumian yang dilakukan secara langsung iaitu apabila sudah mati maka mayat akan dimasukkan ke dalam tempayan. Selepas itu tempayan itu terus ditanam di dalam tanah mahupun diletakkan di dalam gua-gua atau tempat tinggi.

Manakala untuk pengkebumian sekunder pula mayat akan disimpan di satu tempat yang selamat. Setelah beberapa waktu maka apabila mayat sudah mereput, barulah segala tulang-tulang itu nanti akan dipindahkan dan dimasukkan ke dalam tempayan. Biar berbeza prosesnya namun persamaannya adalah akan ada objek iringan yang turut akan menemani tempayan seperti barang perhiasan, alat perkakas, tembikar tanah dan lain-lain. Adalah dipercayai bahawa setiap satu objek iringan ini sebenarnya boleh menggambarkan strata sosial si mati tersebut semasa hidupnya.

Bagi pemilihan tapak perkuburan pula, lazimnya akan mengambilkira banyak faktor kerana masyarakat zaman pra-sejarah juga mempercayai bahawa setiap yang berkaitan dengan mati itu adalah suci. Jadi antara yang akan diambil perhatian adalah ianya harus selamat dari gangguan binatang pemangsa, tidak ditenggelami air, tersembunyi serta berada jauh dari persinggahan manusia.
Sehingga ke hari ini masih tiada dokumen yang mengkhusus bilakah pentarikhan sebenar pengkebumian tempayan ini digunapakai di dunia. Ini kerana setiap lokasinya menunjukkan pentarikhan yang berbeza Jika di Filipina iaitu di Gua Manunggul, Palawan berdasarkan ujian hidrokarbon yang dijalankan ianya menunjukkan sekitar 701 hingga 890 sebelum masihi. Manakala untuk di Gua Uattam, Maluku Utara, Indonesia pula keputusan ujian hidrokarbonnya adalah sekitar 1 hingga 1200 masihi. Di Leang Buidane pula adalah sekitar abad ke-8 Masihi.

Itu adalah pentarikhan bagi negara-negara di Nusantara manakala untuk konteks Malaysia pula, bagi pengkebumian tempayan yang ditemui di Kampung Limbongan, Kuala Trengganu pula mempunyai cerita yang berbeza. Carigali yang dimulakan pada tahun 1985 menemui satu tempayan yang berbentuk labu air, berukuran 32 cm ukur lilitnya dengan ketinggian 1 meter yang mana menyaksikan ianya menjadi tempat untuk menyimpan mayat masyarakat zaman prasejarah.

Dan ujian juga menunjukkan ia pentarikhannya adalah sejak dari zaman logam iaitu sekitar 1000 tahun yang lalu. Adalah dipercayai penemuan pengkebumian tempayan di Kuala Terengganu ini adalah lebih kepada bercorak pengkebumian sekunder. Di samping itu turut ditemui berhampiran tempayan tersebut adalah tulang mawas, tembikar tanah dan manik-manik disamping beberapa senjata seperti tombak, lembing dan kapak bersadur permata.

Berlainan dengan satu penemuan yang secara tidak sengaja berlaku pada tahun 1924 di Gua Tuba, Pulau Tuba, Langkawi. Satu tempayan besar dengan didalamnya mempunyai tulang-tulang manusia ditemui di satu gua yang kecil. Walau tiada objek iringan seperti yang ditemui di Kuala Terengganu tetapi tempayan yang digunapakai mempunyai corak ukiran yang pelik. Menurut kajian adalah dipercayai berkemungkinan besar tempayan ini digunakan sebagai satu bentuk hukuman masyarakat zaman purba berdasarkan kepada cara ianya ditanam.

Untuk masyarakat di Pulau Borneo pula bukanlah sesuatu yang asing apabila berbicara soal pengkebumian tempayan kerana budaya dan tradisi masyarakat pribuminya yang unik. Tempayan yang ditemui di tapak perkuburan purba di Gua Niah menunjukkan pertarikhannya adalah sekitar penghujung Zaman Logam. Ini bermakna ianya berkaitan dengan manusia purba yang pernah hidup di sekitar Gua Niah tetapi untuk masyarakat seperti Punan, Kayan, Kenyah pula ianya masih diamalkan sehingga awal abad ke-20.

Ini kerana sehingga ke hari ini kewujudan seperti tiang-tiang “klirieng” atau dikenali sebagai pondok mayat “Salong” itu masih lagi dijaga di sesetengah kawasan oleh etnik-etnik tersebut. Perlulah diketahui bahawa di dalam “klirieng” ini turut ditempatkan tempayan berserta objek iringan bagi menyimpan tulang-tulang si mati. Selain itu setiap ukiran pada tiang dan pondok Salong juga sebenarnya mempunyai makna bagi menunjukkan srata sosial si mati. Adalah dipercayai bahawa “klirieng” hanya dikhaskan untuk golongan bangsawan atau raja di kalangan masyarakat mereka.
Bagi etnik Kelabit yang ramai mendiami kawasan tanah tinggi kelabit pula berlainan kerana mereka tidak meletakkan tempayan di binaan kayu seperti klirieng sebaliknya meletakkannya di struktur megalit yang dibina khas di satu kawasan hutan yang terpencil. Tempayan itu digunakan sebagai tempat untuk menyimpan tulang nenek moyang adalah kerana menurut kepercayaan mereka, tempayan itu merupakan simbolik kepada rahim wanita. Maka posisi mayat itu disimpan juga akan mengikut seakan-akan posisi bayi didalam perut ibunya.

Penemuan tempayan-tempayan yang menyimpan mayat-mayat masyarakat kuno juga turut ditemui di Pusu Lumut, Lembah Kinabatangan dan Hagop Bilo menunjukkan bahawa masyarakat Orang Sungai dan Idahan juga pernah mempunyai tradisi pengkebumian tersebut selain daripada keranda balak. Selain daripada objek-objek iringan yang ditemui bersama-sama tempayan yang disembunyikan di dalam gua-gua batu kapur turut ada lukisan-lukisan gua yang dipercayai mempunyai signifikasi dengan si mati sewaktu hidupnya.

Pengkebumian tempayan mempunyai keunikannya tersendiri berdasarkan kepada kepercayaan masyarakat suatu waktu dahulu. Malah setiap cara pengkebumian kekalnya juga turut mempunyai hubungan dengan alam semesta seperti kepercayaan manusia dahulukala.

Sumber: https://www.thepatriots.asia/pengkebumian-tempayan-di-malaysia/



Khamis, 25 Januari 2018

Kerana Mendengar


Salam malam Jumaat semua, pada malam ini saya akan berkongsi pengalaman seram dimana berlaku kepada saya sendiri semasa bermalam di sebuah hotel. Cerita ini berlaku di Kota Kinabalu, Sabah dan tujuan saya ke sana tak perlu diceritakan. Berbalik kepada cerita saya ini, selama beberapa kali saya bermalam di hotel ini baru pertama kali saya diganggu. 

Ia terjadi pada 2 hari sebelum saya balik semula ke Sandakan. Jikalau tak silap pada malam itu pada hari Isnin. Kebetulan pada tengah malam bersiarnya Misteri Jam 12 (buat yang tak tahu, ia adalah siaran radio Ria89.7fm yang bersiar daripada Singapura dimana boleh didengar secara online. Bersiaran daripada jam 12.30pagi sehingga jam 2pagi. Rancangan radio yang menceritakan pengalaman-pengalaman seram dari pendengar yang dihantar secara surat, sms, private message dan email ke Dj). Pada malam itu saya mengambil keputusan untuk mendengarnya dengan volume yang kuat, kira satu bilik boleh dengar. Kakak sepupu ada bagi nasihat agar tak dengar secara kuat, skeptik seperti biasa tak berapa dengar. 

Dipendekkan cerita, selesai sahaja rancangan MJ12 menutup tirainya. Tanpa berfikir panjang dengan memati apps MeRadio dan bersiap diri untuk tidur. Agak sukar sekali nak lelapkan mata dan dalam keadaan mamai, saya membuka mata melihat. Dengan tiba-tiba saya terlihat satu lembaga putih menjenguk masuk daripada tingkap bilik hotel dan ia terus memandang ke arah saya. Jantung dekat nak gugur dan tergopoh-gapah membaca ayat-ayat suci yang terlintas di fikiran saya. Gangguan bukan itu sahaja malah saya terlihat satu lembaga putih dengan rambut serba hitam yang panjang bertenggek di atas almari tv. Ia memandang ke arah saya juga. Saya tutup muka saya dengan selimut dan membaca apa yang terlintas di fikiran sampai tertidur. 

Pada keeseokkan harinya saya ceritakan kepada kakak sepupu saya apa yang terjadi kepada saya semalam. Semestinya kamu kena, dah bagi nasihat tak nak dengar. Maka benarlah apabila kita bercerita cerita seram, ia menarik benda halus untuk datang bersama kita.Sebaiknya janganlah dengar terutamanya di tempat yang baru mahupun asing kepada kita dan mendengarnya kira membuka pintu untuk memanggil makhluk halus untuk datang. Sampai disini sahaja cerita buat malam ni dan Salam Malam Jumaat semua. 

Khamis, 18 Januari 2018

Legenda Burung Kenyalang Dalam Komuniti Sarawak

Salam Malam Jumaat 


Burung Enggang Badak atau Burung Enggang Kenyalang (Rhinoceros Hornbill) merupakan ikon utama Sarawak Bumi Kenyalang. Menurut istilah saintifiknya lebih dikenali sebagai Buceros Rhinoceros. Burung Kenyalang mampu untuk membesar sehingga 110 – 127 cm dan beratnya boleh mencecah sehingga 2 – 3 kg bagi burung kenyalang dewasa.

Dan kerana itulah Burung Kenyalang dikategorikan sebagai spesis burung enggang terbesar di dunia. Burung Kenyalang banyak terdapat di Kepulauan Borneo dan spesis ini merupakan spesis burung terlindung dibawah undang-undang Perhilitan Malaysia. Ikon burung kenyalang ini sudah sinonim dengan Sarawak Bumi Kenyalang sehinggakan Jata Negara bagi Sarawak Bumi Kenyalang juga merupakan Burung Kenyalang.

Selain daripada itu burung kenyalang juga merupakan salah satu burung suci bagi hampir kesemua masyarakat etnik Dayak di bumi Sarawak. Sebagai ruang informasi bagi genre cerita legenda Sarawak kali ini, Borneo Oracle akan mengetengahkan satu lagi cerita legenda di dalam etnik Iban yang akan berkisar tentang burung suci ini.

Dihikayatkan bahawa beratus-ratus tahun dahulu melalui cerita lisan dari satu generasi ke generasi masyarakat Iban Sarawak terdapat seorang pemuda Iban bernama Ketupong yang dikatakan amat handal berburu di dalam hutan lebih-lebih lagi menggunakan sumpit. Pada suatu hari diceritakan Ketupong telah masuk ke hutan seperti biasa untuk memburu dan dia sendiri begitu pelik kerana pada hari itu kawasan hutan seperti senyap tanpa ada satu siulan daripada burung-burung seperti biasanya.

Namun kerana tidak mahu pulang dengan tangan kosong, Ketupong tetap juga berjalan-jalan meredah denai-denai hujan mencari hasil buruan. Hampir seharian dia merayau-rayau di dalam hutan akhirnya beliau sampai ke satu anak sungai dan disitulah dia melepas lelah dan dahaga. Ketika hendak menceduk air untuk mencuci muka tiba-tiba beliau terlihat satu kelibat burung enggang yang memerhatinya daripada jauh.

Tanpa berlengah Ketupong pun cuba mengatur langkahnya dengan berhati-hati kerana tidak mahu burung tersebut lepas lari. Setelah memastikan keadaan semuanya siaga akhirnya beliau pun menyumpit burung tersebut dan ternyata sumpitannya mengena lalu jatuhlah burung tersebut ke tanah.

Apabila Ketupong pasti dimana tempat jatuhnya burung enggang tersebut tanpa berlengah beliau pun berlari-lari anak ke tempat tersebut namun apabila beliau tiba ternyata burung enggang tiada di situ. Seribu persoalan bermain di fikiran Ketupong apakah benar dia sudah menyumpit seekor burung enggang yang bersaiz agak besar dan mana mungkin boleh terlepas daripada matanya.

Di dalam lamunan tersebut tiba-tiba daripada arah belakangnya, Ketupong terdengar bunyi seperti seorang perempuan sedang mengadu kesakitan. Ketupong menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya beliau apabila ada seorang perempuan yang cantik rupa parasnya sedang mengaduh kesakitan akibat disumpit. Ketupong pun mula mendekati perempuan tersebut dan berasa amat kasihan melihat adanya makhluk yang lemah sedang mengerang kesakitan. Dengan lagak seorang lelaki perkasa.

Ketupong pun mula mengambil daun-daunan di sekitar hutan tersebut untuk mengurangkan kesakitan perempuan tersebut. Kerana hari hampir senja akhirnya Ketupong membuat keputusan untuk membawa perempuan itu pulang ke rumah panjangnya dengan izin perempuan tersebut. Di dalam perjalanan pulang itulah perempuan itu meminta Ketupong untuk tidak bertanya dari mana asal-usulnya dan sebagai gantinya perempuan itu sanggup mengikut apa sahaja kemahuan Ketupong ke atasnya.

Setiba di rumah panjang tempat tinggal Ketupong tanpa berlengah Ketupong pun memperkenalkan perempuan cantik yang bernama Inchin ini kepada keluarganya yang juga merupakan keluarga Tuai Rumah tersebut. Tanpa segan silu Ketupong juga mencurahkan rasa hatinya kepada keluarganya untuk mengambil Inchin sebagai suri dalam penghidupannya.

Setelah mendapat persetujuan daripada keluarganya maka bermulalah persiapan untuk majlis perkahwinan Ketupong dan Inchin yang akan diadakan dengan penuh adat istiadat perkahwinan masyarakat Iban pada waktu itu. Sebelum 2 hari majlis perkahwinan mereka telah diadakan Majlis Melah Pinang bagi Ketupong dan Inchin dan selesai istiadat itu, Inchin secara berbisik telah memberitahu Ketupong bahawa dia sudi menjadi isteri Ketupong sepenuh hati asalkan Ketupong jangan sesekali mempersoalkan apa yang dilakukan dan darimana asal keturunannya.

Ketupong yang sedang mabok cinta mengiyakan sahaja sebarang syarat yang dikenakan. Akhirnya Ketupong dan Inchin dinikahkan dengan penuh gilang gemilang. Kedua-duanya melayari bahtera penghidupan sebagai suami isteri dengan penuh bahagia sehinggalah 9 bulan selepas itu, mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang comel yang juga merupakan pewaris generasi Ketupong dan keluarganya.

Sesuatu yang pelik telah terjadi selepas sahaja kelahiran anak lelaki mereka kerana Ketupong sering terserempak dengan isterinya yang amat gemar mendongak ke langit apabila menyusukan anak mereka. Perbuatan ini menimbulkan syak ke atas Ketupong sehingga membenarkan dia untuk bertanya dengan isterinya. Seringkali jawapannya hanya dengan sekuntum senyuman dan senyuman ini membuatkan Ketupong bertambah kehairanan.

Di ketika itu juga, Ketupong sering terlihat isterinya menenun 2 pasang baju dan tenunan tersebut amat baik penghasilannya. Sekali lagi Ketupong akan bertanya dengan isterinya soalan mengapa harus membuat baju tersebut dan untuk siapa. Jawapannya tetap sama iaitu hanya dengan sekuntum senyuman.

Akhirnya akibat tidak tahan sering dilontarkan soalan demi soalan daripada suaminya maka pada suatu hari Inchin mengajak Ketupong berbual-bual mesra suami isteri. Di dalam perbualan itu, Inchin memperkenalkan dirinya sebagai Inchin Temaga iaitu anak perempuan kepada Dewa Singalang Burong yang berasal daripada kayangan. Alangkah terkejutnya Ketupong bahawa selama ini rupa-rupanya dia telah memperisterikan anak kepada dewa masyarakat Iban yang amat dihormati dan suci.

Di kesempatan itu juga Inchin memohon kepada Ketupong untuk dia pulang menjenguk ayahandanya Singalang Burong kerana beliau amat merindui kampong halamannya dan keluarganya. Demi kasihnya kepada isteri yang tercinta, Ketupong mengizinkan isterinya Inchin untuk pulang ke kayangan dengan syarat tidak boleh membawa anak lelaki mereka.

Walaupun berat hatinya akhirnya Inchin bersetuju dengan syarat sekiranya anak mereka dan Ketupong merinduinya hendaklah mereka memakai baju tersebut dan mereka akan mudah sampai ke kayangan. Maka tibalah harinya Inchin pun pulang ke kayangan setelah bertukar menjadi seekor enggang yang besar.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan Ketupong dengan setia menanti isterinya Inchin pulang ke pangkuannya namun hal itu tidak juga menjadi dan di dalam kepayahan seorang ayah membesarkan seorang anak atas kehendak keluarganya Ketupong telah berkahwin sekali lagi dengan seorang wanita di dalam komuniti rumah panjangnya.

Disamping itu Ketupong juga sudah tidak boleh menidakkan desakan daripada anak lelaki tunggalnya yang sering bertanyakan ibunya, Inchin. Suatu hari, Ketupong pun memakaikan 2 helai baju yang ditinggalkan oleh Inchin untuk dirinya dan anak lelakinya. Alangkah terkejutnya Ketupong apabila tidak semena-mena beliau dan anaknya boleh bertukar menjadi 2 ekor burung enggang dan akhirnya mereka berjay terbang ke kayangan untuk berjumpa dengan isterinya yang tercinta.

Apabila tiba di istana kayangan, Ketupong dan anaknya telah disambut dengan penuh mesra oleh seorang yang begitu gagah perkasa siap berpakaian pahlawan masyarakat Iban. Beliau telah memperkenalkan dirinya sebagai Singalang Burong, dewa masyarakat Iban, ayahanda kepada Inchin Temaga dan datuk kepada anak lelaki Ketupong.

Ketupong begitu gembira kerana akhirnya beliau dapat bersua muka dengan seorang dewa yang hanya dikenalinya melalui cerita orang tua masyarakat Iban. Ketibaan Ketupong dan anaknya akhirnya disampaikan kepada Inchin Temaga dan alangkah bahagianya Inchin Temaga kerana dapat bersatu kembali dengan anaknya namun begitu Inchin Temaga tidak mahu menerima Ketupong memandangkan Ketupong, suaminya sudahpun mempunyai isteri yang lain di bumi.

Dengan penuh hormat, Inchin Temaga meminta suaminya Ketupong kembali ke bumi iaitu ke pangkuan keluarganya dan biarlah dia dan ayahandanya yang menjaga dan membesarkan anak lelaki mereka. Akur dengan permintaan tersebut Ketupong kembali ke bumi dengan meninggalkan anak lelakinya bersama ibunya.

Hendak dijadikan cerita, sebelum Ketupong pulang ke bumi, Singalang Burong telah meminta Ketupong untuk mengadapnya di istananya di kayangan. Di dalam pertemuan itu, Singalang Burong telah meminta Ketupong supaya jangan risau tentang anak lelakinya kerana anak lelakinya yang juga cucu Singalang Burong akan diajar segalanya tentang kepakaran ilmu perang dan sakti-sakti warisan Singalang Burong.

Singalang Burong juga meminta Ketupong untuk memperjelaskan kepada masyarakat Iban di bumi agar jangan khuatir sekiranya ada sesuatu yang berlaku kerana sekiranya diseru Singalang Burung akan turun ke bumi menyelamatkan masyarakat Iban di bumi nanti. Setelah segala persiapan dibuat untuk Ketupong kembali ke bumi siap akhirnya Ketupong pun kembali terbang ke bumi dengan meninggalkan anak lelakinya bersama ibunya.

Apabila beliau tiba di rumah panjangnya beliau juga telah memanjangkan pesanan daripada Singalang Burung kepada semua masyarakat Iban di bumi. Dan sejak daripada itu diceritakan bahawa masyarakat Iban di bumi sering memohon semangat Singalang Burong mengungkai permasalahan mereka dan seperti dijanjikan Singalang Burong sentiasa memberikan keutamaannya kepada masyarakat Iban di bumi.

Inilah satu cerita legenda tentang satu burung suci iaitu Burung Kenyalang di dalam masyarakat Iban yang merupakan salah satu kaum yang dominan di Sarawak Bumi Kenyalang. Mungkin versi cerita legenda ini mempunyai banyak penceritaannya memandangkan ianya merupakan sastera lisan komuniti dayak Sarawak yang pelbagai dan ianya diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain dan hikayat ini merupakan salah satu daripada versi ceriteranya.

Burung Kenyalang sememangnya ikon kepada Sarawak Bumi Kenyalang sehingga memungkinkan ianya menjadi ikon burung kebangsaan untuk Sarawak dan banyak motif-motif burung kenyalang terdapat pada hasil kraftangan serta tenenun masyarakat Sarawak dari dulu sehinggalah sekarang.

Kita sebagai Orang Sarawak tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun harus memartabatkan dan menjaga keunikan dan daya mampu hidup bagi spesis burung enggang kenyalang ini daripada tiada lagi habitatnya di dunia ini memandangkan musuh utama burung enggang kenyalang adalah sikap dan kerakusan manusia memusnahkan habitatnya serta membunuhnya untuk tujuan perhiasan terutama untuk paruh dan bulunya.

Sayangilah Burung Kenyalang kerana ianya adalah ikon burung kebangsaan Orang Sarawak. Sesungguhnya Sarawak Bumi Kenyalang tidak pernah kurang dengan sastera rakyatnya yang seharusnya dimartabatkan buat pengetahuan dan pedoman generasi yang mendatang.

Burung Kenyalang terbang melayang,
Terbang melayang di tepi kali,
Tiada salah sayang menyayang,
Semoga hidup terus diberkati.


Khamis, 11 Januari 2018

Sihir


Salam Malam Jumaat semua, walaupun keadaan dah serba moden akan tetapi sihir masih lagi digunakan baik untuk perniagaan, hubungan, dan dendam. Budaya yang tak akan hilang mahupun ditelan zaman, selagi ada mereka yang sanggup menggunakan cara halus (cara pengecut) untuk membalas dendam. Selagi dendam itu tak terbalas, selagi itu hati mereka tak akan tenang.

Dosa dan pahala, buang ke laut semata-mata untuk mendapatkan sesuatu yang bukan hak dan juga melunaskan dendam. Apabila perniagaan lain lebih maju daripada perniagaan dimana yang menjual dan memberikan service yang sama, oleh kerana tak ingin mempunyai persaingan dari peniagaan. Sihir digunakan untuk memusnahkan persaingan dalam perniagaan.

Bukan sahaja perniagaan dimana sihir digunakan, selalu kes dimana berkaitan dengan perhubungan. Jika cinta ditolak, hati dibatu api oleh syaitan untuk membalas dengan dengan cara halus sama ada membuat mangsa sengsara ataupun membuat mangsa bergila-gila kepada perlaku. Keadaan si mangsa akan dalam tak terurus dan sering kali nampak senyum serta bercakap seorang diri. Hanya perlaku sahaja boleh menarik semula sihir yang dikena, secara terpaksa ibubapa si mangsa mengkahwinkan anak kepada perlaku sebab tak sanggup melihat anak mereka terus sengsara. Jika ada mereka yang pakar dapat mengubati, sihir itu dipulangkan kepada perlaku. Dimana Tuhan sahaja yang tahu apa yang terjadi kepada perlaku.

Satu lagi jenis sihir untuk meruntuhkan ataupun merampas rumah tangga, kebiasanya berlaku kepada si suami. Diberikan sihir terutamanya di makanan agar membuat si suami lupa kepada isterinya dan keluarga ini, semata-mata nakkan wang dan harta yang ada pada si suami. Sehinggakan berlakunya perceraian. Sihir-sihir yang kita sering kali dengar adalah nasi kangkang, digunakan untuk menundukkan si suami dan si suami akan menjadi setia hanya kepada si isteri sehinggakan sanggup memulaukan kawan, saudara dan ibubapa sendiri. Sihir dimana sukar untuk diubati akan tetapi dengan bantuan perubatan alternatif, mampu mengubatinya.

Dengan keadaan serba moden, perbuatan sihir menjadi kerja yang mudah apabila ia menjadi budaya untuk berkongsi keseluruhan mengenai perihal peribadi di dunia media sosial. Gambar lengkap tak kisah nampak keseluruhan tubuh badan ataupun wajah, kepada nama lengkap serta nama ibubapa. Ia memudahkan mereka yang nak sihir dengan kerja syirik ini. Pada zaman dahulu ia adalah kerja yang sukar tapi dengan peredaran masa ia menjadi kerja paling mudah. Nak mencari penyihir pun kena masuk kampung dan jauh terpencil. Tapi dengan adanya internet, dari santau kepada ilmu pengasih boleh didapati dengan mudah sekali pada hujung jari sahaja. Malah mantera-mantera pada sihir dan memanggil pun ada, dengan menaip pada bahagian Google search.

Akhir Zaman, manusia dah mulai tak pedulikan perihal dosa dan pahala. Tak ingin ada persaingan mahupun tak dapat menerima Qada dan Qadar ketentuan Ilahi. Dengan rakusan nafsu, sihir digunakan untuk memuaskan hati. Karma itu ada tapi kita tahu bila Tuhan akan membalas perbuatan dosa besar ini, mahupun di dunia ataupun di kubur.


Sampai disini sahaja pendapat saya mengenai Sihir. Sejarah mengenai Sihir ini agak panjang dan jika ada masa saya akan kongsikan. Salam Malam Jumaat.

Salam Malam Jumaat semua,

Salam Malam Jumaat semua,

Saya ingin ucapkan Selamat Tahun baru walaupun dah lepas beberapa minggu yang lalu apabila saya sering kali sibuk pada malam Jumaat (mencari rezeki).

Teruskan memberikan masa dan sokongan kepada blogspot ini, apabila saya akan berusaha mencari bahan yang menarik dan juga info. Saya tetap mencari bahan mengenai lagenda di Nusantara ini walaupun agak sukar sekali, sanggup demi nak update blog ini. 

Jika saya terlepas cakap ataupun terdapatnya perbuatan saya yang silap, saya memohon maaflah.

Teruskan memberikan sokongan anda ke group ini. 

Selamat Tahun Baru 2018.