Burung Enggang Badak atau Burung Enggang
Kenyalang (Rhinoceros Hornbill) merupakan ikon utama Sarawak Bumi Kenyalang.
Menurut istilah saintifiknya lebih dikenali sebagai Buceros Rhinoceros. Burung
Kenyalang mampu untuk membesar sehingga 110 – 127 cm dan beratnya boleh
mencecah sehingga 2 – 3 kg bagi burung kenyalang dewasa.
Dan kerana itulah Burung Kenyalang
dikategorikan sebagai spesis burung enggang terbesar di dunia. Burung Kenyalang
banyak terdapat di Kepulauan Borneo dan spesis ini merupakan spesis burung
terlindung dibawah undang-undang Perhilitan Malaysia. Ikon burung kenyalang ini
sudah sinonim dengan Sarawak Bumi Kenyalang sehinggakan Jata Negara bagi
Sarawak Bumi Kenyalang juga merupakan Burung Kenyalang.
Selain daripada itu burung kenyalang juga
merupakan salah satu burung suci bagi hampir kesemua masyarakat etnik Dayak di
bumi Sarawak. Sebagai ruang informasi bagi genre cerita legenda Sarawak kali
ini, Borneo Oracle akan mengetengahkan satu lagi cerita legenda di dalam etnik
Iban yang akan berkisar tentang burung suci ini.
Dihikayatkan bahawa beratus-ratus tahun
dahulu melalui cerita lisan dari satu generasi ke generasi masyarakat Iban
Sarawak terdapat seorang pemuda Iban bernama Ketupong yang dikatakan amat
handal berburu di dalam hutan lebih-lebih lagi menggunakan sumpit. Pada suatu
hari diceritakan Ketupong telah masuk ke hutan seperti biasa untuk memburu dan
dia sendiri begitu pelik kerana pada hari itu kawasan hutan seperti senyap
tanpa ada satu siulan daripada burung-burung seperti biasanya.
Namun kerana tidak mahu pulang dengan tangan
kosong, Ketupong tetap juga berjalan-jalan meredah denai-denai hujan mencari
hasil buruan. Hampir seharian dia merayau-rayau di dalam hutan akhirnya beliau
sampai ke satu anak sungai dan disitulah dia melepas lelah dan dahaga. Ketika
hendak menceduk air untuk mencuci muka tiba-tiba beliau terlihat satu kelibat
burung enggang yang memerhatinya daripada jauh.
Tanpa berlengah Ketupong pun cuba mengatur
langkahnya dengan berhati-hati kerana tidak mahu burung tersebut lepas lari.
Setelah memastikan keadaan semuanya siaga akhirnya beliau pun menyumpit burung
tersebut dan ternyata sumpitannya mengena lalu jatuhlah burung tersebut ke
tanah.
Apabila Ketupong pasti dimana tempat jatuhnya
burung enggang tersebut tanpa berlengah beliau pun berlari-lari anak ke tempat
tersebut namun apabila beliau tiba ternyata burung enggang tiada di situ.
Seribu persoalan bermain di fikiran Ketupong apakah benar dia sudah menyumpit
seekor burung enggang yang bersaiz agak besar dan mana mungkin boleh terlepas
daripada matanya.
Di dalam lamunan tersebut tiba-tiba daripada
arah belakangnya, Ketupong terdengar bunyi seperti seorang perempuan sedang
mengadu kesakitan. Ketupong menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya beliau
apabila ada seorang perempuan yang cantik rupa parasnya sedang mengaduh
kesakitan akibat disumpit. Ketupong pun mula mendekati perempuan tersebut dan
berasa amat kasihan melihat adanya makhluk yang lemah sedang mengerang
kesakitan. Dengan lagak seorang lelaki perkasa.
Ketupong pun mula mengambil daun-daunan di
sekitar hutan tersebut untuk mengurangkan kesakitan perempuan tersebut. Kerana
hari hampir senja akhirnya Ketupong membuat keputusan untuk membawa perempuan
itu pulang ke rumah panjangnya dengan izin perempuan tersebut. Di dalam
perjalanan pulang itulah perempuan itu meminta Ketupong untuk tidak bertanya
dari mana asal-usulnya dan sebagai gantinya perempuan itu sanggup mengikut apa
sahaja kemahuan Ketupong ke atasnya.
Setiba di rumah panjang tempat tinggal
Ketupong tanpa berlengah Ketupong pun memperkenalkan perempuan cantik yang
bernama Inchin ini kepada keluarganya yang juga merupakan keluarga Tuai Rumah
tersebut. Tanpa segan silu Ketupong juga mencurahkan rasa hatinya kepada
keluarganya untuk mengambil Inchin sebagai suri dalam penghidupannya.
Setelah mendapat persetujuan daripada keluarganya
maka bermulalah persiapan untuk majlis perkahwinan Ketupong dan Inchin yang
akan diadakan dengan penuh adat istiadat perkahwinan masyarakat Iban pada waktu
itu. Sebelum 2 hari majlis perkahwinan mereka telah diadakan Majlis Melah
Pinang bagi Ketupong dan Inchin dan selesai istiadat itu, Inchin secara
berbisik telah memberitahu Ketupong bahawa dia sudi menjadi isteri Ketupong
sepenuh hati asalkan Ketupong jangan sesekali mempersoalkan apa yang dilakukan dan
darimana asal keturunannya.
Ketupong yang sedang mabok cinta mengiyakan
sahaja sebarang syarat yang dikenakan. Akhirnya Ketupong dan Inchin dinikahkan
dengan penuh gilang gemilang. Kedua-duanya melayari bahtera penghidupan sebagai
suami isteri dengan penuh bahagia sehinggalah 9 bulan selepas itu, mereka
dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang comel yang juga merupakan pewaris
generasi Ketupong dan keluarganya.
Sesuatu yang pelik telah terjadi selepas
sahaja kelahiran anak lelaki mereka kerana Ketupong sering terserempak dengan
isterinya yang amat gemar mendongak ke langit apabila menyusukan anak mereka.
Perbuatan ini menimbulkan syak ke atas Ketupong sehingga membenarkan dia untuk
bertanya dengan isterinya. Seringkali jawapannya hanya dengan sekuntum senyuman
dan senyuman ini membuatkan Ketupong bertambah kehairanan.
Di ketika itu juga, Ketupong sering terlihat
isterinya menenun 2 pasang baju dan tenunan tersebut amat baik penghasilannya.
Sekali lagi Ketupong akan bertanya dengan isterinya soalan mengapa harus
membuat baju tersebut dan untuk siapa. Jawapannya tetap sama iaitu hanya dengan
sekuntum senyuman.
Akhirnya akibat tidak tahan sering
dilontarkan soalan demi soalan daripada suaminya maka pada suatu hari Inchin
mengajak Ketupong berbual-bual mesra suami isteri. Di dalam perbualan itu,
Inchin memperkenalkan dirinya sebagai Inchin Temaga iaitu anak perempuan kepada
Dewa Singalang Burong yang berasal daripada kayangan. Alangkah terkejutnya
Ketupong bahawa selama ini rupa-rupanya dia telah memperisterikan anak kepada
dewa masyarakat Iban yang amat dihormati dan suci.
Di kesempatan itu juga Inchin memohon kepada
Ketupong untuk dia pulang menjenguk ayahandanya Singalang Burong kerana beliau
amat merindui kampong halamannya dan keluarganya. Demi kasihnya kepada isteri
yang tercinta, Ketupong mengizinkan isterinya Inchin untuk pulang ke kayangan
dengan syarat tidak boleh membawa anak lelaki mereka.
Walaupun berat hatinya akhirnya Inchin
bersetuju dengan syarat sekiranya anak mereka dan Ketupong merinduinya
hendaklah mereka memakai baju tersebut dan mereka akan mudah sampai ke
kayangan. Maka tibalah harinya Inchin pun pulang ke kayangan setelah bertukar
menjadi seekor enggang yang besar.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan
Ketupong dengan setia menanti isterinya Inchin pulang ke pangkuannya namun hal
itu tidak juga menjadi dan di dalam kepayahan seorang ayah membesarkan seorang
anak atas kehendak keluarganya Ketupong telah berkahwin sekali lagi dengan
seorang wanita di dalam komuniti rumah panjangnya.
Disamping itu Ketupong juga sudah tidak boleh
menidakkan desakan daripada anak lelaki tunggalnya yang sering bertanyakan
ibunya, Inchin. Suatu hari, Ketupong pun memakaikan 2 helai baju yang
ditinggalkan oleh Inchin untuk dirinya dan anak lelakinya. Alangkah terkejutnya
Ketupong apabila tidak semena-mena beliau dan anaknya boleh bertukar menjadi 2
ekor burung enggang dan akhirnya mereka berjay terbang ke kayangan untuk
berjumpa dengan isterinya yang tercinta.
Apabila tiba di istana kayangan, Ketupong dan
anaknya telah disambut dengan penuh mesra oleh seorang yang begitu gagah
perkasa siap berpakaian pahlawan masyarakat Iban. Beliau telah memperkenalkan
dirinya sebagai Singalang Burong, dewa masyarakat Iban, ayahanda kepada Inchin
Temaga dan datuk kepada anak lelaki Ketupong.
Ketupong begitu gembira kerana akhirnya
beliau dapat bersua muka dengan seorang dewa yang hanya dikenalinya melalui
cerita orang tua masyarakat Iban. Ketibaan Ketupong dan anaknya akhirnya
disampaikan kepada Inchin Temaga dan alangkah bahagianya Inchin Temaga kerana
dapat bersatu kembali dengan anaknya namun begitu Inchin Temaga tidak mahu
menerima Ketupong memandangkan Ketupong, suaminya sudahpun mempunyai isteri
yang lain di bumi.
Dengan penuh hormat, Inchin Temaga meminta
suaminya Ketupong kembali ke bumi iaitu ke pangkuan keluarganya dan biarlah dia
dan ayahandanya yang menjaga dan membesarkan anak lelaki mereka. Akur dengan
permintaan tersebut Ketupong kembali ke bumi dengan meninggalkan anak lelakinya
bersama ibunya.
Hendak dijadikan cerita, sebelum Ketupong
pulang ke bumi, Singalang Burong telah meminta Ketupong untuk mengadapnya di
istananya di kayangan. Di dalam pertemuan itu, Singalang Burong telah meminta
Ketupong supaya jangan risau tentang anak lelakinya kerana anak lelakinya yang
juga cucu Singalang Burong akan diajar segalanya tentang kepakaran ilmu perang
dan sakti-sakti warisan Singalang Burong.
Singalang Burong juga meminta Ketupong untuk
memperjelaskan kepada masyarakat Iban di bumi agar jangan khuatir sekiranya ada
sesuatu yang berlaku kerana sekiranya diseru Singalang Burung akan turun ke
bumi menyelamatkan masyarakat Iban di bumi nanti. Setelah segala persiapan
dibuat untuk Ketupong kembali ke bumi siap akhirnya Ketupong pun kembali
terbang ke bumi dengan meninggalkan anak lelakinya bersama ibunya.
Apabila beliau tiba di rumah panjangnya
beliau juga telah memanjangkan pesanan daripada Singalang Burung kepada semua
masyarakat Iban di bumi. Dan sejak daripada itu diceritakan bahawa masyarakat
Iban di bumi sering memohon semangat Singalang Burong mengungkai permasalahan
mereka dan seperti dijanjikan Singalang Burong sentiasa memberikan keutamaannya
kepada masyarakat Iban di bumi.
Inilah satu cerita legenda tentang satu
burung suci iaitu Burung Kenyalang di dalam masyarakat Iban yang merupakan
salah satu kaum yang dominan di Sarawak Bumi Kenyalang. Mungkin versi cerita
legenda ini mempunyai banyak penceritaannya memandangkan ianya merupakan
sastera lisan komuniti dayak Sarawak yang pelbagai dan ianya diperturunkan dari
satu generasi ke generasi yang lain dan hikayat ini merupakan salah satu
daripada versi ceriteranya.
Burung Kenyalang sememangnya ikon kepada
Sarawak Bumi Kenyalang sehingga memungkinkan ianya menjadi ikon burung
kebangsaan untuk Sarawak dan banyak motif-motif burung kenyalang terdapat pada
hasil kraftangan serta tenenun masyarakat Sarawak dari dulu sehinggalah
sekarang.
Kita sebagai Orang Sarawak tidak kira apa
bangsa dan agama sekalipun harus memartabatkan dan menjaga keunikan dan daya
mampu hidup bagi spesis burung enggang kenyalang ini daripada tiada lagi
habitatnya di dunia ini memandangkan musuh utama burung enggang kenyalang
adalah sikap dan kerakusan manusia memusnahkan habitatnya serta membunuhnya
untuk tujuan perhiasan terutama untuk paruh dan bulunya.
Sayangilah Burung Kenyalang kerana ianya
adalah ikon burung kebangsaan Orang Sarawak. Sesungguhnya Sarawak Bumi
Kenyalang tidak pernah kurang dengan sastera rakyatnya yang seharusnya
dimartabatkan buat pengetahuan dan pedoman generasi yang mendatang.
Burung Kenyalang terbang melayang,
Terbang melayang di tepi kali,
Tiada salah sayang menyayang,
Semoga hidup terus diberkati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan