Khamis, 16 Mac 2023

Harionago



Salam Malam Jumaat semua,

Pada malam ini saya akan berkongsi lagi sebuah cerita urban legend daripada Jepun mengenai Harionago atau "Wanita berambut panjang) adalah sejenis hantu yang gemar menyerang kaum lelaki terutamanya lelaki muda menggunakan rambutnya. Dia juga dikenali sebagai Hari-Onna (wanita cangkuk, wanita jarum). Manakala dibahagian lain Jepun, ada yang memanggilnya sebagai Nure-onago (wanita yang tersenyum) atau Wasai-onago (gadis yang tersenyum).

Harionago adalah hantu Jepun yang kelihatan seperti seorang wanita yang teramat cantik dan mempunyai rambut yang teramat panjang sekali. Dia mempunyai kebolehan untuk mengawal rambutnya, ia boleh menjalar dan melilit seperti sesungut sotong. Pada penghujung rambutnya adalah cangkuk. 

Pada waktu malam, dia akan mengintai dan mencari mangsanya di lorong, jalan sepi dan jalan belakang yang ada di Jepun. Apabila dia menemui mangsanya yang dia tertarik, dia akan memberikan senyuman kepada mangsanya. Jikalau lelaki muda itu membalas senyumannya, Harionago akan melepaskan rambut bercangkuk dan menyerang mangsanya.

Cangkuk yang tajam pada hujung rambutnya akan melekat pada pakaian serta kulit mangsa, serta dia akan memerangkap mangsanya dari terlepas daripada jeratannya. Jikalau mangsanya tak mampu bergerak, Harionago akan merobek serta mencarik mangsanya keseluruhannya. 

Di ceritakan di satu perkampungan di Jepun, terdapat beberapa laporan dimana ramai lelaki muda diserang oleh Harionago. Pada satu malam, terdapat seorang budak lelaki dari perkampungan Yamada, dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri. Dia mengambil keputusan untuk melalui satu jalan yang sepi dan sempit. Di dalam perjalanannya kelihatan seorang gadis cantik sedang berjalan menuju ke arahnya. 

Sebaik sahaja gadis berkenaan mendekatinya, dia perasan bahawa gadis itu sedang tersenyum padanya. Dia menjadi musykil dengan tindakan gadis berkenaan apabila merasakan ada sesuatu yang aneh mengenainya, akan tetapi dia sudah terpesona dengan kecantikan gadis tersebut lalu dia mengukirkan senyuman kepada gadis itu. Sebaik sahaja dia berbuat demikian, rambut pada gadis mulai mengembang dan mulai menyerangnya.

Dalam keadaan terkejut, dia cuba melepaskan dirinya daripada cengkaman gadis berkenaan. Rambut gadis itu menjalar dan melilit pada tubuh badannya manakala cangkuk pula menembusi pakaiannya dan merobek belakangnya. Entah bagaimana, dia berjaya melepaskan dirinya dan berlari sekuat hatinya ke rumahnya. Dengan serta-merta dia mengunci pintu hadapan rumahnya sebaiknya dia tiba ke rumahnya, di dalam ketakutan yang teramat sekali dia menjadi kaku dan terduduk di hadapan muka pintu sehingga fajar terbit datang.

Pada paginya, dia memberanikan dirinya untuk membuka pintu dan menemui ratusan kesan cakar pada tepi pintu. 

Maka pengajaran dia, jikalau kamu berjalan pada waktu malam di jalanan yang sepi dan kamu menemui seorang wanita atau gadis yang aneh yang sedang mengukir senyuman di kawasan gelap. Kamu kena fikir beberapa kali sama ada kamu nak balas balik senyuman atau tidak. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan