Khamis, 30 Mac 2023

Locker Duit Siling

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Coin Locker / Locker duit siling.

Ada seorang wanita muda sedang sarat mengandung. Dia terlalu muda untuk menjadi seorang ibu mahupun mampu menjaga seorang anak, dia mengambil keputusan untuk keputusan untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkannya ke dalam salah satu locker duit siling di sebuah station. 

Selepas itu, dia cuba mengelak dirinya mendekati locker berkenaan. Akan tetapi pada suatu hari dia mempunyai urusan berdekatan dengan kawasan tersebut dan agak mustahil untuk dielakkan.

Semasa dia lalu di sana, dia kena lalu melintasi locker tersebut. Tiba-tiba dia bertembung dengan seorang budak lelaki yang sedang menangis di depannya.

"Kenapa? Kamu sesat ke?" soal wanita tersebut, akan tetapi budak lelaki itu terus menangis tanpa berkata apa-apa.

"Dimana ibu kamu?" tanya wanita berkenaan, serta-merta budak lelaki itu berhenti menangis. Lalu budak lelaki itu menyambar pakaian wanita itu dengan genggaman yang kuat sekali, lalu memandang ke arahnya.

"Kamu adalah ibu saya!"

Beberapa tahun selepas itu, penemuan satu rangka manusia iaitu seorang wanita muda bersama seorang bayi ditemui di dalam locker duit siling.

* * * * *

Nama lain untuk tajuk urban legend ini adalah Coin Locker Baby atau Bayi Locker Duit Siling. 

Kejadian ini sering berlaku jikalau anak itu di luar nikah atau sebab kemampuan diri khas buat pasangan muda mahupun wanita muda yang ditinggalkan pasangan yang tak bertanggungjawab. Dengan harapan anak yang disimpan di dalam locker diselamatkan oleh pegawai station dan dihantar ke rumah kebajikan. Akan tetapi tak semuanya, kebiasaannya ditemui dah tidak bernafas lagi. 

Menyebabkan kita meragui kemanusiaan sesetengah orang ini. Terutamanya buat bayi yang tak bersalah yang nak merasai peluang untuk hidup serta kasih sayang daripada ibubapanya. 

Agak terkilan juga dengan cerita urban legend ini dan berasa sedih juga. Sekian sahaja buat malam ini. 

Khamis, 23 Mac 2023

Salam Malam Jumaat semua

 


Ingin mengucapkan Salam Ramadan Kareem buat pembaca yang beragama islam dari blogspot Salam Malam Jumaat. 

Harap pada bulan yang penuh dengan baraqah ini, kita mampu beribadat dan puasa penuh. 

Pengongsian cerita urban legend daripada Jepun akan diteruskan apabila saya telah sediakan beberapa cerita yang bertahan dekat 2 bulan. Ia adalah bukti pencarian saya dalam berkongsi cerita urban legend daripada Jepun, tak kisah kamu pernah dengar atau baca serta sebaliknya. Cerita yang panjang mengambil masa nak taip, ia akan dikongsikan pada masa akan datang. 

Teruskan nantikan kemunculan cerita urban legend ini dan terus memberikan sokongan kepada blogspot ini. Ia adalah pembawa semangat untuk terus menulis dan berkongsi. 

Akamanto



Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Akamanto atau dikenali sebagai Red Cloak / Jubah Merah. 

Ia mengenai sejenis hantu yang sering kali mengenakan jubah merah yang menghantui tandas wanita. Ia serin berjubah merah serta mengenakan topeng putih menyembunyikan wajahnya. Malah terdapat versi lain yang mengatakan dia adalah seorang lelaki berwajah tampan sambil mengenakan jubah merah, oleh kerana wajahnya agak menawan. Mustahil buat mangsanya untuk melawan mahupun menidakkannya. 

Kebiasaannya dia akan bersembunyi di kubikal tandas wanita yang paling terakhir, semasa mangsanya masuk untuk melegakan diri. Barulah dia akan memunculkan dirinya sambil mengungkapkan pertanyaan "Nak kertas merah atau kertas biru?"

Jikalau kamu memilih kertas merah, kamu akan di kerat pada leher sebelum kepala kamu dipenggal. Dimana kematian kamu adalah daripada pendarahan. 

Jikalau kamu memilih kertas biru, kamu akan di cekik pada leher. Sehinggakan wajah kamu menjadi kebiruan. Dimana kematian kamu adalah daripada mati lemas. 

Jikalau kamu memilih warna lain daripada dua pilihan yang diberikan, ada kemungkinan tinggi kamu bakal ditarik ke neraka oleh beberapa tangan putih melalui lubang tandas ataupun kemalangan luar biasa bakal menimpa buat si mangsa. 

Terdapat sebuah cerita seram berlaku di sebuah sekolah yang diceritakan oleh seorang pelajar perempuan. Ketika dia menggunakan tandas, kedengaran dari kubikal sebelah. "Nak kita pakaikan jubah merah tak?". Dengan ketakutan, dia berlari keluar lalu memberitahu gurunya dengan kejadian yang dia alami di tandas tadi lalu polis dipanggil datang. 

Seorang Pegawai Polis wanita memasuki tandas berkenan manakala teman sepasukannya seorang pegawai polis lelaki menunggu di luar tandas. Dia terdengar pertanyaan yang sama. "Nak kita pakaikan jubah merah tak?" soal suara berkenaan. Lalu pegawai wanita itu menjawab "Ok, pakaikan!" 

Tiba-tiba kedengaran bunyi jeritan, sebelum kedengaran seperti benda berat terhempas di lantai. Tanpa membuang masa pegawai polis lelaki terus memasuki ke tandas berkenaan, dia menemui pegawai polis wanita terbaring kaku di lantai. Kepalanya dipenggal dan darahnya membasahi keseluruhan pakaiannya seakan-akan ria mengenakan jubah merah. 

Di dalam bahasa Jepun, hantu pembunuh ini dikenali pelbagai nama seperti "Aka manto", "Ao Manto", "Aka hanten" atau "Ao hanten". Cerita asal-usulnya pada zaman dahulu, Jubah merah adalah seorang lelaki berwajah tampan yang mampu memikat setiap gadis dimana membuat mereka jatuh cinta pada pandangan mata pertama. Pandangannya mampu membuat gadis yang melihatnya jatuh pengsan, oleh kerana itu dia terpaksa menyembunyikan ketampanan di sebalik topeng putih. Sehinggakan pada satu waktu dia mulai menculik gadis cantik dan mangsanya tidak kembali lagi. 

Manakala terdapat versi lain, dia dikenali sebagai "Jubah Merah" atau "Mantel Merah". Dia sering kali akan mengintai mangsanya di tandas lalu bertanya kepada kamu jikalau nak jubah merah. Jikalau ya, dia akan mengoyakkan isi dada dan menyiatkan kulit belakang kamu. 

Terdapat juga versi lain mengenai lagenda ini, dia dikenali sebagai "Kertas Merah, Kertas Biru" (Akai Kami, Aoi Kami). Gadis yang memasuki tandas akan kedengaran suara di kubikal terakhir. Soalnya, "Kamu nak kertas merah atau kertas biru?" Jikalau kertas merah bermaksud kematian dimana kamu akan di siat hidup-hidup. Kertas biru pula bermaksud darah kamu akan disalurkan keluar sehinggakan kering dari tubuh badan. 

Terdapat juga versi yang mengatakan bahawa tangan berdarah akan keluar dari mangkuk tandas dan cuba menarik kamu masuk sambil hujan darah turun daripada siling tandas sebelum kamu dilemaskan dengan darah, kehadiran tangan tak bertubuh datang memegang kamu sebelum mencekik kamu sehinggakan kamu menghembuskan nafas yang terakhir. 

Versi terakhir yang agak sedikit lawak dan menjijikkan, jikalau kamu menjadi kreatif dan memilih selain daripada dua pilihan seperti kertas kuning. Dia akan memasukkan kepala kamu ke dalam lubang tandas dan menyebabkan kamu berbau hancing atau mati dalam kematian yang memalukan dengan mati lemas di dalam air kencing. Eew.. 

Huraian terdapat banyak sangat versi mengenai urban legend ini dan banyak persamaan sama ada ia adalah kertas mahupun jubah digunakan. Tempat selalunya tandas perempuan tak kisah di sekolah mahupun di tandas awam sekali, ia akan mencari mangsanya. 

Malah cerita urban legend ini boleh di dapati di Korea Selatan apabila mereka pun ada versi tersendiri mengenai urban legend ini. Hanya penceritaan sama akan tetapi mangsanya tidak memilih jantina.

Oleh kerana urban legend Akamanto ini agak popular, malah ia mendapat adaptasi dari manga, anime dan ke layar perak. 

Sekian dahulu informasi mengenai urban legend yang terkenal di Jepun, Akamanto. 





Khamis, 16 Mac 2023

Harionago



Salam Malam Jumaat semua,

Pada malam ini saya akan berkongsi lagi sebuah cerita urban legend daripada Jepun mengenai Harionago atau "Wanita berambut panjang) adalah sejenis hantu yang gemar menyerang kaum lelaki terutamanya lelaki muda menggunakan rambutnya. Dia juga dikenali sebagai Hari-Onna (wanita cangkuk, wanita jarum). Manakala dibahagian lain Jepun, ada yang memanggilnya sebagai Nure-onago (wanita yang tersenyum) atau Wasai-onago (gadis yang tersenyum).

Harionago adalah hantu Jepun yang kelihatan seperti seorang wanita yang teramat cantik dan mempunyai rambut yang teramat panjang sekali. Dia mempunyai kebolehan untuk mengawal rambutnya, ia boleh menjalar dan melilit seperti sesungut sotong. Pada penghujung rambutnya adalah cangkuk. 

Pada waktu malam, dia akan mengintai dan mencari mangsanya di lorong, jalan sepi dan jalan belakang yang ada di Jepun. Apabila dia menemui mangsanya yang dia tertarik, dia akan memberikan senyuman kepada mangsanya. Jikalau lelaki muda itu membalas senyumannya, Harionago akan melepaskan rambut bercangkuk dan menyerang mangsanya.

Cangkuk yang tajam pada hujung rambutnya akan melekat pada pakaian serta kulit mangsa, serta dia akan memerangkap mangsanya dari terlepas daripada jeratannya. Jikalau mangsanya tak mampu bergerak, Harionago akan merobek serta mencarik mangsanya keseluruhannya. 

Di ceritakan di satu perkampungan di Jepun, terdapat beberapa laporan dimana ramai lelaki muda diserang oleh Harionago. Pada satu malam, terdapat seorang budak lelaki dari perkampungan Yamada, dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri. Dia mengambil keputusan untuk melalui satu jalan yang sepi dan sempit. Di dalam perjalanannya kelihatan seorang gadis cantik sedang berjalan menuju ke arahnya. 

Sebaik sahaja gadis berkenaan mendekatinya, dia perasan bahawa gadis itu sedang tersenyum padanya. Dia menjadi musykil dengan tindakan gadis berkenaan apabila merasakan ada sesuatu yang aneh mengenainya, akan tetapi dia sudah terpesona dengan kecantikan gadis tersebut lalu dia mengukirkan senyuman kepada gadis itu. Sebaik sahaja dia berbuat demikian, rambut pada gadis mulai mengembang dan mulai menyerangnya.

Dalam keadaan terkejut, dia cuba melepaskan dirinya daripada cengkaman gadis berkenaan. Rambut gadis itu menjalar dan melilit pada tubuh badannya manakala cangkuk pula menembusi pakaiannya dan merobek belakangnya. Entah bagaimana, dia berjaya melepaskan dirinya dan berlari sekuat hatinya ke rumahnya. Dengan serta-merta dia mengunci pintu hadapan rumahnya sebaiknya dia tiba ke rumahnya, di dalam ketakutan yang teramat sekali dia menjadi kaku dan terduduk di hadapan muka pintu sehingga fajar terbit datang.

Pada paginya, dia memberanikan dirinya untuk membuka pintu dan menemui ratusan kesan cakar pada tepi pintu. 

Maka pengajaran dia, jikalau kamu berjalan pada waktu malam di jalanan yang sepi dan kamu menemui seorang wanita atau gadis yang aneh yang sedang mengukir senyuman di kawasan gelap. Kamu kena fikir beberapa kali sama ada kamu nak balas balik senyuman atau tidak. 





Khamis, 9 Mac 2023

Nombor Telefon ☎️📱

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini, saya akan berkongsi beberapa cerita urban legend dunia mengenai nombor telefon. Kita berehat dahulu daripada urban legend daripada Jepun buat masa ini. 

Sama ada ia berpuaka seperti sumpahan, kemalangan tragik mahupun kebetulan. Semestinya ada cerita urban legend dari nombor ini, maka tak disarankan untuk cuba menghubungi nombor-nombor telefon ini sama ada ia benar mahupun tidak.


666-666-6666 / 1-666-666-6666

Agak bertahun orang di seluruh dunia telah menerima mesej seram dari nombor telefon ini. Ada yang mengatakan ia adalah panggilan daripada syaitan. Dimana tiada sebarang rekod nombor ini akan muncul semula dalam rekod panggilan serta dalam bil telefon. 

" Ia menceritakan ada sekumpulan kawan balik menggunakan kereta pada lewat malam. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menerima panggilan telefon dari (666) 6666-6666. Dia tak berani mengangkatnya sebab ia adalah nombor yang tidak dikenali. Maka kawannya membuat lawak mengatakan ia adalah panggilan daripada syaitan dari neraka. Tak sampai beberapa minit, dia menerima mesej suara. Dengan berhati-hati dia mulai mendengar mesej suara itu bersama kawan-kawannya. Kedengaran suara garau bersertakan suara persekitaran seperti di dalam gua. Selepas itu mesej suara itu lesap dengan sendirinya dan tiada sebarang rekod mengenai nombor panggilan telefon di bil telefonnya.


999-9999

Cerita urban legend dari Thailand, ia adalah nombor sumpahan. Jikalau kamu telefon nombor ini dan membuat hajat, hajat itu akan ditunaikan. Akan tetapi sebaik sahaja hajat itu ditunaikan, kamy bakal meninggal dunia dalam kemalangan jiwa. 


Red number / nombor merah

Di Pakistan, orang ramai diingati dan diberi amaran kepada satu sama lain untuk tidak mengangkat atau menerima panggilan daripada skrin berwarna merah dan terpancar nombor padanya. Ia didakwa "nombor telefon sumpahan" atau "panggilan maut". Jikalau kamu menjawab panggilan ini, kamu akan mendengar bunyi frekuensi tinggi yang boleh menyebabkan pendarahan pada otak, yang mampu membunuh kamu serta-merta. Terdapat banyak laporan mengatakan ramai telah menemui ajar sebaik sahaja mereka menerima dari panggilan puaka ini. 


0888 888 888

Di Bulgaria, dikatakan sesiapa sahaja yang memiliki nombor ini bakal terkena sumpahan yang membawa maut kepada empunya diri. 

Orang pertama meninggal dunia sebab kanser tahap terakhir. 

Orang kedua maut ditembak mati di jalanan. 

Orang ketiga pun maut ditembak mati di jalanan. 

Oleh itu tiada berani untuk memiliki nombor atau berkait dengannya, sehinggakan syarikat penyalur perkhidmatan telefon bimbit (Mobitel) menggantungkan nombor tersebut daripada rangkaian. Sehingga hari ini, sebarang jenis cubaan untuk menelefon pada nombor ini akan menerima pemberitahuan terakam yang mengatakan "nombor itu di luar rangkaian liputan". 


1-000-000-0000

Di setengah negara di Asia, ada yang mendakwa bahawa nombor ini disumpah. Jikalau kamu menghubungi nombor ini, kamu akan mendengar suara lelaki mengatakan kepada kamu harus memberitahu kepada 15 orang dan lebih mengenai nombor sumpahan ini, jikalau tidak kamu akan menemui ajal. 

Ia wujud pada era surat atau telefon berantai. Cerita dia hampir sama dengan kes budak-budak dan remaja mengambil nyawa mereka selepas menghantar mesej di wasap kepada Momo. 


666

Di USA, terdapat urban legend mengenai nombor telefon 666. Jikalau kamu menelefon nombor ini, kamu akan menghubungi syaitan. Terdapat banyak sangat versi mengatakan ia adalah benar dengan keputusan yang berbeza dan ada yang mengatakan tiada apa-apa yang berlaku. Ada yang mengatakan terdengar bunyian seram, lagu seram, bunyi jeritan dan bunyian satanic. 


1(207)404-2604

Nombor ini disediakan untuk pelancaran promosi filem seram Carrie. Apabila pada penghujung trailer filem ini, terpapar "nombor telefon Carrie". 

Apabila kamu menghubungi nombor ini, terdapat beberapa nombor lain akan hubungi 3 kali bersamaan dengan mesej seram. 

Yang pertama suara jeritan yang menyeramkan, kedua adalah nyanyian seram dan terakhir suara bisikan yang menyeramkan. 


Panggilan Orang Mati

Ia adalah urban legend atau cerita seram yang sebenarnya daripada UK. 

Ramai kanak-kanak pada tahun 1970an, percaya dengan satu misteri nombor telefon yang boleh di dail dari pondok telefon secara percuma. Apabila dihubungi, kedengaran suara wanita berkata berulang-ulang kali, "Tolong saya, Tolong saya, Susie sedang nazak".


+81 090-4444-4444

Di Jepun, ia adalah nombor telefon yang agak menyeramkan. Apabila kamu menghubungi nombor ini, kedengaran bunyian yang menyeramkan di luar duniawi. Sebaik sahaja kamu meletakkan telefon, panggilan dari nombor ini  akan terus-menerus menghubungi dengan sendirinya berulang kali seperti filem Sadako. 


Terdapat banyak lagi mengenai nombor telefon puaka, berhantu dan sumpahan ini di dunia. Tak semua nombor berkenan dikongsikan kepada khalayak ramai apabila ini tahu dalam diri ingin menelefon nombor berkenaan. Tanpa memikirkan risiko sama ia sekadar khabar angin atau memakan empunya diri. 

Malah di Malaysia pun mempunyai nombor yang berkenaan, dengan peredaran masa nombor berkenaan hilang. Dari era surat berantai, panggilan berantai, email berantai hingga kepada SMS berantai. Kesemuanya untuk menyebarkan sama ada benda ataupun pembohongan semata-mata. 

Ingat saya sekadar berkongsi sahaja, nak percaya atau tidak itu terpulang apabila tiada sesiapa ada hak untuk memaksa kamu untuk mempercayainya. Semuanya sekadar hiburan semata-mata. 





Khamis, 2 Mac 2023

Teke-teke

 


Salam Malam Jumaat semua, 

Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Teke-teke. Ia merupakan salah satu urban legend yang agak terkenal di Jepun. Kisah ia mengenai seorang pelajar perempuan, gadis kepada seorang wanita yang terjatuh ke landasan kereta api dan tubuh badannya terhiris menjadi 2. Kematiannya agak menyayat hati apabila dia mati dalam keadaan terseksa dan kematian yang lama. Sekarang rohnya bergentayangan di seluruh Jepun, dengan menarik tubuh bahagian atas dengan tangannya sambil membawa cangkuk atau sabit. Semasa dia bergerak, bunyi seakan "Teke-teke" akan kedengaran dan dari situ namanya datang.

Terdapat banyak sangat versi mengenai asal-usul cerita urban legend ini dan sukar dipastikan cerita yang sebenarnya mahupun dimana permulaannya. Dari kemalangan tragik kepada pembunuhan dan cubaan bunuh diri yang gagal. Akan tetapi hanya 1 persamaan adalah mengenai seorang gadis mahupun wanita dari Hokkaido yang bernama Kashima Reiko.

Ketika Perang Dunia Kedua, seorang pekerja am / pelajar dari Muroran, Hokkaido telah diserang dan dirogol oleh seorang anggota tentera US. Pada malam itu dia mengambil tindakan untuk lompat dari jambatan ke landasan kereta api, tiba-tiba dia dilanggar oleh sebuah kereta api yang kebetulan lalu. Impaknya menyebabkan tubuh badannya terbelah menjadi 2 dari bahagian pinggang. Cuaca pada malam itu agak sejuk menyebabkan pendarahannya membeku tapi darah mengalir agak lambat keluar.

Sebaliknya dia terpaksa menggeliat dan bergelut untuk meminta bantuan. Sebaik sahaja dia tiba ke Station kereta api dengan merangkak, sebalik daripada mendapat bantuan daripada atendan. Mereka sekadar meletakkan tarp plastik padanya dan tak berbuat apa-apa. Ini membuat dia mati dalam keadaan mati lambat serta menyeksakan.

Menurut lagenda, selepas 3 hari kamu mendengar cerita ini. Kamu akan melihat kehadiran hantu wanita tanpa tubuh bahagian bawah. Dia adalah hantu wanita di dalam cerita ini. Sebarang jenis cubaan untuk mencarikan diri dalam perbuatan yang sia-sia walaupun menggunakan kereta sekalipun, kerana dia mampu merangkak laju sehingga kelajuan 150km sejam sekadar nak menangkap kamu.

Ada yang mengatakan hantu ini sedang mencari bahagian tubuh badan bawah iaitu kakinya. Yang dihiris pada malam kejadian. 

Manakala ada yang mengatakan dia sedang marah terhadap kemanusiaan apabila dia tidak menerima sebarang pertolongan ketika dia sedang nazak dan ini adalah alasan buatnya untuk menyembelih orang sebanyak dia mahu untuk memuaskan dendamnya. Sebaik sahaja dia menangkap kamu, dia akan membelah menggunakan sabit yang dia sentiasa bawa menjadi dua kemudian mengambil bahagian bawah tubuh badan kamu.

Selepas mendengar lagenda ini, dia akan menyoal kamu 1 teka-teki, secara dalam mimpi atau dari 1 panggilan telefon misteri. Hanya cara untuk terlepas dari ambang kematian dengan menjawabnya dengan betul.

"Kamu masih memerlukan kaki kamu?" soal dia.

"Saya masih memerlukannya sekarang" jawab kamu.

"Siapa yang menceritakan cerita saya" soalnya.

"Kashima Reiko" (Mask Death Demon Ghost Accident)

Jangan sesekali mengatakan cerita itu kamu dengar daripadanya, sebab itu adalah salah satu jawapan yang salah. Dia akan terus membunuh kamu sepantas kilat. Jikalau kamu menjawabnya dengan cara betul, ada kemungkinan kamu akan dilepaskan (kalau).

Terdapat sebuah cerita mengenai seorang pelajar lelaki yang baru keluar dari sekolahnta pada waktu senja. Lalu kedengaran bunyi di belakangnya, sebaik sahaja dia menoleh ke belakang. Kelihatan seorang gadis cantik sedang bersandar pada tingkap dan sedang memerhatikannya. Dia mulai tertanya-tanya siapa gadis ini apabila sekolahnya adalah sekolah menengah lelaki.

Sebaik sahaja gadis itu perasan dia sedang diperhatikan semula, gadis itu tersenyum lalu memeluk tubuh terutamanya bahagian sikunya. Tiba-tiba gadis tersebut melompat keluar tingkap dan mendarat di tanah. Pelajar lelaki itu dalam ketakutan yang teramat sangat apabila dia perasan gadis tersebut tak mempunyai bahagian bawah tubuh badannya.

Gadis itu mulai merangkak laju ke arahnya menggunakan sikunya sambil kedengaran bunyi teke-teke-teke-teke-teke-teke. Pelajar lelaki menjadi kaku dan tak mampu mengerakkan kakinya dengan ketakutan yang teramat sekali. Dalam beberapa saat, gadis itu mendekatinya lalu mengeluarkan sabitnya dan membelahnya menjadi 2, menjadikan keadaannya seperti dia.

Oleh kerana itu, ia menjadi amaran dan larangan terutamanya buat budak-budak kecil untuk balik sebelum tibanya waktu senjanya matahari jikalau tak ingin menjadi mangsa Teke-teke.

Sekian dahulu informasi mengenai urban legend terkenal ini dari negara matahari terbit ini. Jikalau ada kesempatan saya akan berkongsi lagi pada hari yang lain.