Khamis, 31 Mac 2016

LEGENDA IKAN PATIN DAN MENGAPA RAMAI MASYARAKAT MELAYU SARAWAK TIDAK MEMAKANNYA


Salam Malam Jumaat, 

Ikan patin adalah salah satu jenis ikan sungai atau ikan air tawar. Ikan jenis ini memiliki bentuk yang unik. Badannya panjang sedikit memipih, berwana putih perak dengan punggung berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil, memiliki sesungut berjumlah 2-4 pasang yang berfungsi sebagai alat peraba. Ikan patin termasuk ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih banyak mencari makan pada waktu malam. Diceritakan keenakan memakan ikan patin jika kena dengan menu masakan kelazatannya sehingga menjilat jari tetap walau seenak mana atau senikmat mana ikan patin mengapa ramai Melayu Sarawak tidak memakannya. Sudah tentu ada cerita legenda disebalik mengapa dan kenapa masyarakat Melayu Sarawak mahupun Melayu di nusantara tidak menjadikannya hidangan pembuka selera. Inilah paparan Borneo Oracle buat kali ini iaitu Legenda Ikan Patin Dan Mengapa Ramai Masyarakat Melayu Sarawak Tidak Memakannya.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat. Sebenarnya ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang memancing. Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah. Selama dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti luhur. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.

Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop telah melewati rumah orangtua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya. Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya. Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.

Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut. Para undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan saling menyayangi.

Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar. Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada “ayahnya”. Ia pun kembali bahagia hidup bersama suami dan kelima-kelima anaknya.

Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka. Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah. Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak. Akhirnya ia pun menuruti keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang. Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air. Pada masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.

Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.

Inilah cerita legenda ikan patin dan mengapa ramai masyarakat Melayu Sarawak tidak memakan ikan patin. Tidak diketahui samada kebenaran sumpahan ini ke atas semua keturunan Melayu Sarawak namun yang pasti ada sesetengah masyarakat Melayu Sarawak sememangnya tidak memakan ikan patin. Sesungguhnya setiap hal yang berlaku di dunia ini ada ceritanya dan cerita legenda adalah satu cerita yang digembar gemburkan untuk mencantikkan jalan ceritanya. Sejauh mana kebenarannya hanya Yang Maha Kuasa yang lebih mengetahuinya.



Khamis, 24 Mac 2016

LEGENDA KELING & KUMANG DI DALAM MASYARAKAT IBAN SARAWAK


Salam Malam Jumaat 

Bila ada pertandingan Keling Dan Kumang Gawai apabila tiba Perayaan Pesta Gawai di Sarawak sudah tentu ramai yang akan tersenyum-senyum membayangkan betapa cantik dan gagah perkasanya peserta-peserta pertandingan tersebut. Namun begitu kita mungkin tidak mengetahui bahawa ada legenda bagi pertandingan yang telah dicatatkan di dalam kalendar pelancongan ini. Cerita ini dikenali sebagai Legenda Keling dan Kumang di dalam masyarakat Iban, Sarawak.

Menurut cerita lisan orang-orang tua di dalam masyarakat Iban, Keling ialah nama seorang pahlawan Iban yang tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Keling ini diceritakan sebagai seorang yang berpesonaliti idaman setiap lelaki berbangsa Iban pada waktu itu. Keling digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah, berani, berbadan tegap dan mempunyai wajah yang tampan. Keling telahpun berkahwin dengan seorang gadis Iban yang bernama Kumang. Kumang diceritakan berasal daripada rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Sesuai dengan ketampanan Keling, Kumang pula diceritakan sebagai seorang wanita Iban yang cantik, lemah lembut dan pandai di dalam serba-serbi untuk menjadi seorang isteri dambaan suami pada ketika itu. Bolehlah digambarkan bahawa perkahwinan Keling dan Kumang umpama bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.

Pada satu ketika diceritakan bahawa isteri Keling, Kumang telah diculik bersama-sama dengan Lulong, isteri kepada sahabat baik Keling iaitu Laja. Kejadian ini berlaku apabila Kumang dan Lulong sedang mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Sedang mereka asyik mencari ikan itu tanpa mereka sedari mereka telah melencong jauh sehingga ke kawasan sempadan yang dijaga oleh Apai Sabit Berkait. Kerana melihat kepada kecantikan kedua-dua wanita ini terutamanya Kumang, Apai Sabit Berkait telah bertindak menyimpan mereka di dalam sangkar besi di rumahnya. Keling dan Laja yang gundah gulana kerana risau memikirkan kehilangan isteri-isteri mereka akhirnya mendapat berita bahawa Apai Sabit Berkait yang empunya kerja itu. Keling bertemankan Laja terus pergi ke kawasan Apai Sabit Berkait dan sebelum dia sampai ke kawasan dimana tempat isterinya disembunyikan, Keling telah menggunakan kuasa ghaibnya atau Tau Ajih. Kuasa ghaib ini akan membolehkan beliau menghilangkan diri daripada penglihatan musuh. Dengan mudahnya Keling dapat melepaskan isterinya Kumang dan Lulong tanpa disedari oleh Apai Sabit Berkait.

Kerana kesaktian pahlawan Keling ini maka dikatakan bahawa selepas pemergian beliau barang siapa yang mendapat mimpi didatangi beliau akan menjadi seorang yang berani dan menjadi pahlawan atau dipanggil Raja Berani. Di dalam cerita lisan orang-orang tua masyarakat Iban ada mengatakan bahawa beberapa pahlawan Iban seperti Dana Bersumbar Bayang, Orang Kaya Pemancha Nanang dan Unggang Lebor Menua menjadi pahlawan yang berani dan tidak takut berani serta gagah yang amat sangat sehingga sukar untuk dikalahkan adalah kerana telah mendapat “bantuan” secara batin melalui mimpi oleh Keling.

Walau bagaimanapun bentuk penceritaan legenda Keling dan Kumang ini yang diperturunkan dari zaman berzaman melalui penceritaan dari mulut ke mulut, namun Keling dan Kumang sememangnya amat dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat dan tradisi masyarakat Iban. Keling dan Kumang bolehlah diistilahkan sebagai “role models” di dalam masyarakat Iban.

Khamis, 17 Mac 2016

Tarian Sumazau


Salam Malam Jumaat,

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.

Tarian Sumazau merupakan salah satu daripada tarian dimana Sabahan (yang original) harus tahu menarikannya walaupun tak sempurna, sebab ia adalah budaya bagi Sabahan. "Bikin Malu Saja" yang tidak tahu bagaimana nak tarikan tarian traditional ini. 

Sekian. 



Khamis, 10 Mac 2016

CERITA PUYAU EMAS GUA MADAI

Payau Emas


Salam Malam Jumaat, 

Pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang Ketua Kaum Idahan yang mempunyai kekuasaan yang sangat besar bermula dari Sungai Kinabatangan sehinggalah ke perairan Pulau Temburung di Daerah Semporna. Beliau bernama " Nenek Apoi" yang bermaksud " Api " dalam Bahasa Idahan. Nenek Apoi juga merupakan seorang Wira ataupun Pahlawan dikalangan Suku Kaum Idahan ketika itu.

Nenek Apoi mempunyai seorang isteri yang Bernama Liungayoh yang bermaksud 'Perempuan Besar" dalam Bahasa Suku Kaum Idahan dan menurut cerita ia mempunyai Tiga Orang Anak yang tinggal di Sungai Segama, Sungai Tungku dan juga Sapagaya. Ini bererti Nenek Apoi tidak menetap di suatu kawasan, ia sering pergi ke tempat tinggal anak-anaknya.

Pada suatu hari isteri Nenek Apoi yang tengah sarat mengandung telah mengidam ingin memakan Hati Payau. "Apoi, aku mahulah makan Hati Payau, kata isterinya Liungayoh". Nenek Apoi pun bersetuju. " Kalau begitu kenalah aku pergi memburu Payau tu Liun" kata Nenek Apoi. Pada keesokan harinya Nenek Apoi bersama anjing kesayangannya yang bernama Siyud Rapot bertolak dengan berbekal sebilah Tombak dan makanan serta minuman yang dibekalkan oleh isterinya Liungayoh.

Nenek Apoi pun pergilah berburu, sehari suntuk Nenek Apoi berjalan namun tidak terlihat olehnya kalibat seekor pun Payau padahal dia tahu binatang ini muda dicari. Siang bertukar malam, malam bertukar siang, Nenek Apoi mengira hari. " Aduh, sudah lima hari aku berburu, mana payau ni, hairan juga tidak nampak seekor pun. Bisik Nenek Apoi, anjing kesayanag Siyud Rapot pun keletihan.

Pada hari yang ketujuh, Nenek Apoi begitu letih. Nenek Apoi sungguh hairan kenapa tidak ada seekor pun Payau yang dia temui. Ketika asyik berfikir, Nenek Apoi tertidur. Tiba-tiba anjing Nenek Apoi, Siyud Rapot menyalak tidak berhenti-henti. Nenek Apoi terkejut, lalu melihat apa yang disalak oleh Siyud Rapot. Percaya dengan tidak, Nenek Apoi tergamam seketika kerana bersama dengan Siyud Rapot adalah seekor Payau tetapi yang menghairankan Nenek Apoi kenapa warna kulit Payau tersebut berwarna Emas. Dengan segera Nenek Apoi pun berlari ke arah Payau Emas tersebut. Kejar mengejar pun berlaku. Payau Emas tersebut sungguh pantas, namun Nenek Apoi lebih pantas bersama anjingnya Siyud Rapot.

Tiba-tiba, Payau Emas tersebut berhenti tiba-tiba, apa lagi Nenek Apoi pun membaling Tombaknya ke arah payau Emas tersebut dengan kepakaran dan ketangkasan Nenek Apoi, lembing tepat terkena payau Emas tersebut. Nenek Apoi pun mencabut parangnya lalu ingin memotong Payau Emas tersebut.

Belum sempat Nenek Apoi mahu menyembelih leher Payau Emas tersbut tiba-tiba Payau Emas itu berkata " Tolong, jangan bunuh aku, tolonglah aku", Payau Emas itu merayu. Apa lagi, Nenek Apoi pun melompat, "kau kah yang bercakap?, tanya Nenek Apoi. "Ya, aku" tolong lepaskan aku, jawap Payau Emas itu. Nenek Apoi berfikir sejenak. " Tapi, kalau aku tak bunuh kau, macam mana aku hendak membawa pulang hati kau, kerana isteri aku ingin memakan hati Payau, sudah tujuh hari tujuh malam aku berburu, sudah dapat, mana boleh aku lepaskan", kata Nenek Apoi.

Payau Emas merayu lagi, " baiklah, kalau kau lepaskan aku, aku akan berikan kau harta yang amat berharga untuk selama-lamanya sehingga anak cucu kau, ia tidak akan habis", jawab Payau Emas tersebut. "Harta!, aku tidak mahu harta, aku mahu hati kau untuk isteri aku yang mengidam" kata Nenek Apoi. "Harta itu ada didalam Gua ini, kau masuklah lihat sendiri" balas Payau Emas itu.

Nenek Apoi pun melangkah masuk, belum sempat Nenek Apoi melangkah seterusnya, bila Nenek Apoi mahu bertanya kepada Payau Emas, Payau Emas itu telah lenyap, tiada kesan darah kalaupun Payau Emas itu melarikan dirinya. Nenek Apoi pun masuk ke dalam Gua tersebut.

Sejak hari itu, harta yang dimaksudkan oleh Payau Emas itu adalah Sarang Burung Layang-Layang yang mendiami Gua tersebut, nama Gua itu ialah Gua Madai terletak di daerah Lahad Datu yang terkenal dengan penghasilan Sarang Burung sehingga keperingkat antarabangsa sehinggalah hari ini kesan darah daripada percikan darah Payau Emas terkena tombak Nenek Apoi masih kelihatan dan kesan tapak kaki serta tangan Nenek Apoi masih lagi dapat dilihat.

Begitulah cerita rakyat Daerah Lahad Datu bagaimana Nenek Apoi berjumpa dengan Payau Emas dan bertemu dengan Gua yang bernama Gua Madai.

Sekian.

Muka pintu masuk ke Gua Madai.

Permandangan daripada jauh ke Gua Madai.

Khamis, 3 Mac 2016

Lagenda Tambuakar Di Sabah

Gambaran kununnya macam Tambuakar

Salam Malam Jumaat,

Lagenda pasal TAMBUAKAR, yang cukup popular di sesetengah kawasan di Sabah. Ianya juga boleh dikatakan sebagai cerita dongeng masyarakat di persisiran pantai dan sungai Sabah terutama daerah Sungai Papar sehingga ke Daerah Beaufort dan Pulau Penyu.

Apakah Tambuakar, mengikut penceritaan mulut ke mulut peribumi Sabah ianya adalah seekor raksasa sungai yang besar serupa raksasa Loch Ness, berwarna hitam dan mempunyai leher yang panjang. Cerita mengenainya sudah lama tersebar terutama selepas pembukaan tapak-tapak baru akibat penjajahan Brunei ke atas pantai barat Sabah, yang mana ramai peribumi dan orang brunei mendiami persisir pantai dan sungai untuk bekalan air. Mengikut penceritaan dari mulut ke mulut, pelbagai bentuk di dakwa selain seperti Loch Ness yang mempunyai kaki seupa sirip, ada mengatakan ia seperti seekor ular besar yang menyerupai naga..

Versi lain pula oleh orang bangsa Dusun di Sabah, mereka percaya yang Tambuakar ini berasal dari sejenis ikan belut iaitu raja ikan Sinsilog. Ada mengatakan ianya adalah raja segala hidupan di sungai menyebabkan ia perlu hidup beratus tahun dan ada mengatakan beribu tahun untuk menjaga kerajaannya dan ia terus membesar dan membesar sehingga mencapai size seperti seekor naga..

Berbalik pada cerita pribumi dan bangsa Brunei yang menghuni persisir pantai pula, Tambuakar ini tidak diketahui mana asal usulnya sebab semasa penempatan baru dibuka memang dan kecoh mengenai Tambuakar ni dari penceritaan penduduk pribumi disitu masa tu. Daripada penceritaan dan pengalaman orang-orang tua, ada 2 bentuk digambarkan mengenai tambuakar ini :

1. Bentuk raksasa Loch Ness – berleher panjang berbadan besar dan mempunyai 4 kaki serupa sirip dan mempunyai ekor sepanjang kepalanya, tapi ada saksi pula mengatakan Tambuakar ni mempunyai 2 kepala dan dibelakangnya bukanlah ekor.

2. Bentuk naga / ular – ada saksi yang mengatakan ia seperti seekor ular tedung yang mendongakkan / mendirikan kepalanya ditengah-tengah sungai, mereka mendakwa tidak pernah melihat badannya dah hanya melihat kepalanya yang besar dan sedikit kembang..

Banyak cerita-cerita direkodkan sepanjang taun 30-60’an sebab masa tu ramai mula membuat rumah disekitar sungai Papar, sungai Bongawan dan sungai Beaufort.. tempat paling famous orang ramai menceritakan mengenai munculnya Tambuakar ni adalah di persisir sungai Kg Surati, Papar, kampung ini berada di tepi sungai. Tapi mengenai Tambuakar ini berbentuk ular atau naga lagi famous berbanding bentuknya seakan Loch Ness.

Bila ditanya mengapa sekarang ini tiada penemuan terbaru mengenai kemunculannya, ramai mengatakan yang ia sudah mati dan tidak kurang mengatakan ia masih muncul sesekali tapi disebabkan pengangkutan air dah tidak digunakan lagi maka penceritaan mengenainya pun jarang didengari, tapi sesekali ada juga cerita-cerita mengenainya melalui kaki pancing dan nelayan disekitar sungai tersebut, alasan diorang tak nak ceritakan sebab takut dikatakan gila dan sekarang ni ada kamera dan hp yang boleh tangkap gambar makhluk ini.

Ramai percaya haiwan lagenda masih hidup sampai ke hari ini disebabkan penemuan lubang-lubang besar di bawah tanah sepanjang sungai tersebut semasa kerja mencucuk cerucuk membina jambatan masa membaiki jambatan Papar yang roboh pada tahun 2000 dulu selain di tempat-tempat lain sepanjang sungai tersebut. Dikatakan ianya mengunakan kepalanya untuk membina lubang di bawah sungai tersebut dan membina laluannya sendiri di bawah sungai untuk keselamatannya, tapi ada juga versi lain mengatakan ia ada 4 tangan yang digunakan untuk menggorek tanah untuk membina laluannya..

Ikan belut yang bersaiz besar ataupun nama tempatan dia ikan Sinsilog.