Salam Malam Jumaat,
Pada satu ketika dahulu, orang tua-tua sering kali berpesan agar balik
sebelum terbitnya matahari di waktu senja ataupun balik sebelum azan maghrib
terutamanya yang tinggal di kampung. Mereka khuatir anak-anak kecil berlanggar
dengan anak-anak jin mahupun mengelak daripada anak-anak ini dari disembunyikan
oleh hantu yang sering kali dikaitkan dengan kehilangan iaitu Hantu Kopek serta
dikenali sebagai Hantu Tetek.
Hantu Kopek ini adalah salah satu mahluk halus yang suka menganggu manusia
dan hantu ini sering kali menyerupai seperti seorang wanita tua yang mempunyai
kopek (buah dada, payudara) yang besar dimana ia menyembunyikan mangsa
disebaliknya. Ia adalah hantu yang hidup dengan besar dan tidak bertuan.
Ada versi mengatakan hantu ini mempunyai rupa paras seperti seorang
perempuan tua yang teramat hodoh, sangat tinggi, berbogel menunjukkan badannya
yang berbelang hitam putih dan gemar bersembunyi di sebalik pokok-pokok di tepi
jalan dikala malam hari.Ia mempunyai rambut yang mengerbang & panjang
sehinggakan kakinya, kuku yang panjang & tajam dan di tangan kanannya
memegang kain putih (kain kematian) yang dikenali sebagai kain kafan.
Pakaiannya pula hanya menutupi kawasan dari pinggang ke lutut. Payudaranya
bergayut sehinggakan mencecah ke pusat dan kelihatan seperti labu air yang
besar. Ia suka duduk mencangkung disebalik
pokok sementara menanti mangsanya datang ke kawasan tersebut.
Apabila seseorang melalui kawasan itu, Hantu Kopek akan mengoncangkan
pokok, lalu menghayunkan payudaranya untuk menolak mangsa tersebut sehinggakan
terjatuh ke tanah. Apabila mangsanya bangun, hantu ini akan mengulangi
perbuatannya sehingga mangsa melarikan diri. Mangsa yang disembunyikan oleh
hantu ini, kebiasanya boleh melihat orang-orang yang sedang mencarinya akan
tetapi tak mampu berkomunikasi dengan mereka.
Mangsa bagi hantu ini kebiasanya adalah remaja dan anak-anak kecil. Oleh
itu tidak hairan mengapa orang tua-tua berpesan dan melarang anak-anak ini
daripada balik lewat malah melarang mereka ini daripada bermain dikala cuaca
berjerebu dan waktu maghrib dimana hantu ini paling aktif sekali dan mencari
mangsanya.
Jika berlakunya anak-anak ataupun sesiapa sahaja yang hilang dikala senja hari, ia menjadi adat
bagi sesetengah pihak untuk mencari mereka yang hilang itu dengan cara
membunyikan gong, loyang ataupun dulang tembaga. Perbuatan ini dikatakan akan
menyebabkan hantu tersebut menari-nari sambil melompat-lompat dan ini akan
menyebabkan mangsa yang tersembunyi di sebalik payudaranya, terjatuh ke tanah
dan akan ditemui di tempat-tempat gelap, belakang pintu, di dalam semak, di
bawah pokok mahupun tempat-tempat si mangsa hilang.
Selain daripada itu ada yang meminta pertolongan mereka yang pakar mahupun
tok iman mencari mereka yang hilang itu selain daripada mengazankan kawasan
dimana mangsa itu hilang selain daripada meminta pertolongan daripada Yang Maha
Esa. Hantu ini akan lari meninggalkan mangsanya apabila tidak tahan dengan
“panas” ataupun meninggalkan mangsanya pada masa tertentu.
Daripada pengalaman si mangsa, kebiasanya mereka melihat seorang wanita tua
bersama mereka sentiasa dan memberikan mereka makanan & minuman. Akan
sebaliknya ia hanyalah penipuan sahaja dimana Hantu Kopek itu memberikan mereka
cacing, najis dan air kencing. Maka tidak hairanlah apabila mangsa yang ditemui
kelihatan lemah sebalik sahaja dia diselamatkan. Si mangsa akan memuntahkan
segala isi perutnya yang ternyata kotor sekali daripada apa yang diberikan oleh
hantu ini. Si mangsa biasanya akan dipulihkan semangatnya dan diberikan air
bacaan untuk diminum.
Ada versi lain yang mengatakan hantu yang berwarna kelabu yang gemarkan
darah dan kanak-kanak dikaitkan dengan ahli sihir perempuan tua yang bernama
Rangda (mengikut mitos orang Bali), dimana ia boleh dilihat menari-nari dengan
keadaan payudaranya yang lanjut berjuntaian dan terhayun-hayun di dalam tarian
yang dipersembahkan oleh pertunjukkan kebudayaan di Bali. Ia juga mempunyai
versi yang lain daripada berlainan negara mahupun budaya seperti di dalam
cerita rakyat Slavic (Rusia) iaitu Baba Yaga, dimana ia adalah ahli sihir
perempuan dimana berusia tua yang terbang dengan menggunakan lesung kayu dan
menumbuk lesung kayu sebagai menariknya dimana dipercayai menjadikan
kanak-kanak sebagai mangsanya.
Tahukan anda bahawa, Hantu Kopek mempunyai versi jantan yang dikenali
sebagai Hantu Kangkang. Hantu ini akan menyerang mangsanya dengan mengunakan
kemaluannya yang besar dan adakalanya akan menyembunyikan mangsanya disebalik
kemaluannya juga. Cara menyelamatkan mangsanya pun sama dengan Hantu Kopek.
Infomasi mengenai hantu ini tidak banyak diketahui.
Larangan ataupun petua orang tua-tua ini mempunyai maksudnya tersendiri
dimana ia adalah untuk kebaikkan anak-anak mereka juga. Tiada satu ibubapa
ingin anaknya hilang dan keselamatan anak-anak adalah tanggung-jawab mereka.
Percaya mahupun tidak itu terpulanglah lagipun tiada sesiapa ada hak memaksa
kamu untuk mempercayainya. Semua pun bermula daripada kita sendiri juga.
Sumber:
1. 33 Hantu oleh Kumpulan Seekers.
2. The Malaysian Book of The Death by Danny Lim.
3. Cerita-cerita yang saya pernah dengar.
4. Wikipedia.org