Sememangnya North Borneo atau lebih dikenali sebagai Sabah pada hari ini begitu kaya dengan kepelbagaian budaya daripada suku etniknya yang berbilang kaum.Seiring dengan keindahan alam semula jadinya yang mengasyikkan,pesona inilah yang sering menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan yang unggul setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia.Salah satu keunikan tradisi yang menjadi tinggalan sejarah North Borneo adalah tradisi pengkebumian masyarakat dahulu kala menggunakan keranda kayu balak.
Buat pengetahuan semua,sehingga hari ini,terdapat hampir 13 tapak yang dikenalpasti sebagai lokasi penyimpanan keranda kayu balak ini.Kesemuanya terletak di Pantai Timur,Sabah dengan kebanyakannya bertumpu di sekitar daerah Kinabatangan.Uniknya,keranda-keranda kayu balak yang lazim dibina menggunakan kayu belian,merbau dan pelbagai jenis kayu yang berkualiti lagi tidak ditanam seperti mana kebiasaannya.
Sebaliknya keranda-keranda berkenaan akan ditempatkan di dalam gua.Antara kawasan gua yang dikenalpasti sebagai lokasi penempatan keranda di Lembah Kinabatangan adalah seperti Gua Gomantong,Agop Batu Tulug,Batu Supu,Miasis Darat dan Agop Sarupi.Selain daerah Kinabatangan,keranda-keranda kayu balak ini juga turut dijumpai di gua-gua sekitar sungai Segama,Lahad Datu,Kunak dan Semporna.Kawasan-kawasan yang dinyatakan turut dihuni oleh sub etnik di bawah suku dusun iaitu etnik Sungai dan Idahan yang dipercayai mengamalkan adat kuno yang telah lama lenyap ditelan waktu ini.
Berbalik kepada daerah Kinabatangan,antara kawasan yang terkenal dengan jumpaan keranda kayu balak ini adalah kompleks batu kapur Agop(Gua)Batu Tulug dan Batu Supu.Kawasan Hulu Sungai Kinabatangan meliputi kawasan yang dikenali sebagai Agop,Sarupi,Tongod sehinggalah ke kawasan Pinangah,Inarad dan Langga.
Sewaktu kerja-kerja lapangan dilakukan pada tahun 2007-2010 oleh kumpulan pakar dari Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Muzium negeri Sabah,sebanyak 12 sampel keranda kayu dari gua-gua sekitar Lembah Kinabatangan khususnya Kompleks Batu Kapur Agop Batu Tulug dan Batu Supu telah dipilih dan dihantar untuk analisis pentarikhan radio karbon di makmal Beta Analyctic Inc,di Florida,Amerika Syarikat.Menerusi hasil keputusan yang diperoleh adalah dipercayai penduduk setempat telah mula mengamalkan adat pengkebumian keranda kayu balak di kompleks Agop Batu Tulug sebagai contoh bermula seawal 600-900 tahun sebelumnya.Bahkan jauh lebih lama daripada sebelum itu.
Gua-gua di sekitar tempat ini sahaja seperti Agop Sawat,Lintanga dan Dimunduk menempatkan sebanyak 125 buah keranda.Apa yang mengejutkan kawasan penempatan keranda ini lazimnya berada di kawasan lereng yang curam dan kelihatan sukar untuk didaki sekiranya mengambil kira kelengkapan yang dimiliki berabad-abad yang silam seperti Agop Dimunduk yang menempatkan sekurang-kurangnya empat buah keranda yang masih utuh.
Terdapat alasan yang diandaikan wajar di sebalik ritual pengkebumian yang dianggap misteri ini.Salah satu teori yang mengatakan tujuan keranda-keranda kayu berkenaan diletakkan di kawasan bukit yang tinggi dan curam adalah sebagai salah satu petunjuk hierarki sosial individu terbabit dalam masyarakat seperti golongan bangsawan dan ketua kampung.
Sebagai contoh seperti lima buah keranda lengkap yang ditemui di Agop Sawat berserta serpihan terdiri dari 41 bahagian penutup,badan dan serpihan lain keranda.Turut ditemui sebatang kayu belian panjang yang telah ditanda dan dipercayai dijadi kan sebagai penanda untuk menyenaraikan jumlah orang atau keranda yang dikebumikan di Agop Sawat atau keseluruhan kompleks Gua Batu Kapur Batu Tulug.
Menurut Tom dan Barbara Harrisson dalam buku mereka yang bertajuk “The Prehistory of Sabah” ratusan keranda kayu juga boleh ditemui di Agop Miasias di Sungai Lokan, Agop Gomantong, Tempadong, Madai, Baturong, Agop Kala Bugir, Agop Sapa Tareng, Agop Sarupi dan juga di beberapa Agop yang lain. “Agop” dalam bahasa suku kaum Sungai yang mendiami sebahagian besar kawasan Kinabatangan bererti “Gua”.
Sebenarnya banyak kisah lagenda yang boleh diperolehi daripada penduduk setempat berkenaan asal usul penggunaan keranda kayu ini.Antaranya seperti kisah lagenda pahlawan masyarakat Sungai di Sungai Lokan yakni wira Giwai yang dikebumikan bersama tunangnya Tahira yang meninggal dunia atas sebab yang tidak diketahui. Satu lubang kecil telah dibuat pada keranda bagi membolehkan seruling Giwai disematkan.
Dikatakan Sepanjang 7 hari seruling Giwai ditiup dari dalam keranda sehinggalah seruling berhenti bagi menandakan Giwai turut meninggal dunia di dalam keranda yang sama. Pada mulanya Giwai telah meminta keluarganya supaya membuat keranda berukiran sisik buaya dan kepala kerbau untuk mengkebumikan dirinya bersama Tahira. Keranda Giwai dan Tahira kononnya disimpan di Gua Miasias.
Keranda di Miasias, Sungai Lokan juga turut dikaitkan dengan Sangan,seorang yang gagah perkasa dan seorang pemimpin unggul di sebuah kampung di Sungai Lokan.Legenda itu menceritakan Sangan ditikam oleh abang iparnya Tanaut yang dengki padanya melalui pembunuh upahan ketika ia tidur dalam medan perang.
Dengan rasa kesakitan Sangan bangun dan melihat pembunuh upahan itu berdiri di sisinya, Sangan mencabut lembing yang tertanam didadanya lalu membunuh pembunuh yang diupah oleh Tanaut.Hati Sangan terjulur keluar dari bekas tikaman namun dia dapat kembali ke kampungnya sambil memegang hatinya yang terkeluar. Tidak tahan dengan memegang hatinya itu, Sangan membuat keranda kecil dan mengkebumikan hatinya dalam keranda tersebut. Kisah legenda ini berakhir dengan menceritakan Sangan kononnya telah menjadi harimau kerana sumpahan.
Keranda berukir yang banyak terdapat di Miasias juga mungkin boleh dikaitkan dengan legenda Si Empat Mata yang pakar membuat keranda berukir dan dikatakan dalam legenda ini Si Empat Mata pernah berebut dengan adiknya Si Mata Tunggal ke atas keranda yang telah dibuat oleh Si Empat Mata dengan begitu cantik lengkap dengan ukiran sisik buaya dan kepala kerbau(Empat Mata dan Mata Tunggal adalah nama orang,probably nama bagi suku Sungai atau Idahan).
Legenda yang lain juga menceritakan Sidadak telah membuat keranda kayu untuk adik perempuannya yang mati dibaham buaya dan menyimpan keranda tersebut di Agop Batu Tulug di Kampung Batu Puteh, Kinabatangan.
Mitos dan legenda menggambarkan ukiran buaya ada hubungkaitnya dengan kematian dan kuasa kegelapan dan burung “bugang”, anjing, ayam jantan dan rusa sebagai sahabat wira namun tidak ada faktapun yang boleh menentukan kenapa ada keranda yang tidak berukir langsung dan tidak ada pula kajian yang boleh menentukan makna ukiaran-ukiran tersebut, malah ukiran kepala kerbau tidak tergambar dalam lagenda mahupun cerita rakyat setempat.
Trivianya guys,sebelum kedatangan islam,etnik Sungai dan Idahan lazim akan mengebumikan mayat bersama-sama dengan harta pusaka mereka.Antara barang-barang yang dikebumikan bersama si mati termasuklah termasuklah celapa, KERIS BESI, sumpitan, gong, lembing tembikar tanah dan sebagainya dan ini turut dijumpai dalam beberapa keranda yang ditemui.
Apa yang menghairankan kenapa hanya terdapat satu ukiran kepala kerbau dan kenapa ada dua dan kenapa ada keranda sepanjang 12 kaki sedangkan ukuran tubuh manusia biasa pada masa itu hanyalah sekitar 5 hingga 6 kaki sahaja. Ada keranda kelihatan besar dan tidak kurang juga yang kecil.Kita andaikan keranda lebih kecil mungkin untuk mayat kanak-kanak,namun sehingga mencapai panjang 12 kaki?.
Agop Batu Tulug di Kampung Batu Puteh, Kinabatangan telah dijadikan Muzium Tapak Bersejarah sejak 6 Julai 1996 oleh Jabatan Muzium Sabah.Namun sehingga kini misteri yang menyelubungi keranda-keranda kayu balak ini hanya sedikit yang dapat dirungkaikan.Selebihnya masih menjadi tanda tanya dan memerlukan lebih banyak kajian oleh-oleh pihak-pihak berwajib untuk merungkaikannya.
Sumber: https://www.thepatriots.asia/pengebumian-keranda-kayu-balak-di-sabah/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan