Khamis, 23 November 2017

Lagenda Awang Semaun

Salam Malam Jumaat.


Dari 4 versi berbeza (Brunei, Iban, Lun Bawang Dan Melanau)

Awang Semaun… inilah satu nama besar yang sering menjadi ikon di dalam melestarikan cerita oral yang diperturunkan dari satu generasi di dalam masyarakat di Borneo. Apa yang pasti nama Awang Semaun ini dikatakan mempunyai kaitan secara langsung di dalam asal-usul keturunan masyarakat Borneo lebih-lebih lagi untuk komuniti Melayu, Melanau, Iban, Lun Bawang mahupun Kedayan. Dan individu bernama Awang Semaun ini bagi rakyat di Negara Brunei Darussalam merupakan seorang pahlawan yang kuat serta berani dan beliau merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting di dalam kewujudan Kerajaan Brunei suatu waktu dahulu.

Nama Awang Semaun bukanlah hanya diperturunkan secara lisan namun ianya sudah dicatitkan di dalam sebuah puisi purba yang agak dikenali iaitu Syair Awang Semaun. Di dalam syair ini ianya menceritakan secara naratif sumbangan Awang Semaun di dalam sejarah Negara Brunei malah ianya juga melibatkan kerajaan purba di Borneo iaitu seperti kerajaan kecil di Sabah dan juga Sarawak.

Versi Negara Brunei Darussalam
Menurut legenda Brunei berdasarkan kepada ceritera puisi purba itu dikatakan bahawa Awang Semaun ini merupakan adik-beradik kepada Awang Alak Betatar iaitu Sultan pertama Negara Brunei yang juga memeluk Islam dengan menggunakan nama Sultan Muhammad Shah. Awang Alak Betatar sebenarnya mempunyai 14 orang adik-beradik iaitu Awang Alak Betatar anak yang sulung dan seterusnya Pateh Berbai, Pateh Mambang, Pateh Tuba, Pateh Sangkuna, Pateh Manggurun, Pateh Malakai, Pateh Pahit, Awang Semaun, Damang Sari, Pateh Sindayong, Daman Lebar Daun, Hapu Awang dan Pateh Laila Langgong.

Dikatakan bahawa kesemua adik-beradik ini tidak tinggal bersama kerana dikatakan tinggal di tempat yang berasingan di antara satu sama lain dan hanya Awang Semaun dan adiknya Damang Sari yang tinggal bersama di satu daerah yang bernama Garang di Temburong, Brunei. Datuk kepada 14 adik beradik ini bernama Sang Aji Baruwing seperti yang tercatat di dalam sebuah syair lama yang ditulis pada tahun 1365 iaitu Syair Negara Kartagama dan beliau merupakan salah seorang pembesar tempatan.

Menurut cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi di Brunei dikatakan perkahwinan Sang Aji Baruwing tidak dikurniakan dengan zuriat lelaki. Maka ini tidak menggembirakan Sang Aji Baruwing sehinggalah pada suatu hari dikatakan Sang Aji Baruwing telah keluar berjalan-jalan di luar istana dan beliau telah menjumpai satu telur gergasi yang agak pelik dan ajaib.

Kerana keunikannya itu, telur itu dibawa pulang ke istana Pada malamnya alangkah terkejutnya Sang Aji Baruwing apabila telur itu telah menetaskan seorang pemuda yang gagah perkasa malah elok rupa parasnya. Maka dinamakannya Ipai Semaring dan Ipai Semaring telah diajar dengan segala bentuk kepandaian seorang pemuda yang harus ada pada waktu itu. Bagi mengikat tali perhubungan antara Ipai Semaring dengan Sang Aji Baruwing akhirnya beliau mengahwinkan Ipai Semaring dengan puteri tunggalnya iaitu Sang Aji. Hasil perkahwinan inilah lahirnya seorang putera lelaki sulung yang dinamakan Awang Alak Betatar.

Namun begitu sebelum Awang Alak Betatar lahir ke dunia iaitu ketika bondanya mengandungkan beliau telah terjadi satu peristiwa yang mana bondanya begitu mengidam untuk memakan lembu liar. Kemahuan isterinya ini dituruti oleh Ipai Semaring dengan keluar berburu di hutan dan akhirnya beliau berjaya menemui seekor lembu liar. Lalu Ipai Semaring pun mengeluarkan tombaknya dan terus menombak lembu tersebut dan ternyata tombakannya mengena.

Namun begitu lembu liar ini amat buas dan tombakan Ipai Semaring hanya mencederakannya tetapi tidak mematikannya dan akhirnya lembu tersebut berjaya melarikan diri. Ipai Semaring tahu bahawa bukan mudah untuk mendapatkan lembu liar dan kerana itulah beliau telah menjejak lembu liar itu berdasarkan kesan-kesan darah daripada lembu yang cedera itu.

Dikatakan bahawa di sepanjang dia menjejak lembu tersebut beliau telah melalui 13 buah kampung daripada 13 daerah yang berlainan. Oleh kerana Ipai Semaring adalah anak kepada orang besar iaitu Sang Aji Baruwing maka kedatangannya ke kampung-kampung tersebut sentiasa mendapat sambutan di luar dugaan. Demi mengeratkan hubungan Ipai Semaring telah berkahwin dengan puteri dari keluarga Penghulu di setiap 13 kampung tersebut.

Dan disinilah bermulanya Ipai Semaring mempunyai 13 orang isteri daripada 13 kampung yang berlainan. Akhirnya lahirlah Awang Semaun dengan 12 lagi adik beradiknya yang lain. Maka penjejakan Ipai Semaring berjaya juga dan lembu liar tersebut berjaya ditumpaskan dan dibawa kembali ke istana untuk menjadi hidangan isterinya Sang Aji. Setelah memakan hidangan lembu liar itulah dikatakan Sang Aji telah sakit untuk melahirkan dan setelah berhempas pulas bertarung dengan nyawa maka lahirlah Awang Alak Betatar sebagai putera sulung kepada Ipai Semaring.

Apabila menjelang dewasa, Awang Alak Betatar telah keluar daripada istana untuk menjejaki 13 adik-beradiknya dan dikatakan atas usahanya berjayalah juga dia menghimpunkan mereka semua. Walaupun mereka berkongsi ayahanda yang sama iaitu Ipai Semaring dan tidak ibu kandung namun hubungan mereka adik beradik amatlah akrab. Kerana itulah apabila Awang Alak Betatar ditabalkan menjadi Sultan untuk Negara Brunei pada awal kewujudannya, adik beradiknya merupakan mereka yang menjadi tulang belakang di dalam pentadbirannya seperti Awang Semaun yang kemudiannya menjadi Pengiran Temenggung.

Versi Etnik Iban
Menurut versi cerita rakyat masyarakat Iban pula, Awang Semaun atau Sumaun dikatakan berasal daripada Tanjong Batu iaitu sebuah penempatan masyarakat Iban yang bersempadan dengan negara jiran iaitu Kalimantan Barat, Indonesia. Sumaun merupakan anak kepada Derom Anak Sabatin dan mempunyai seorang saudara lagi yang dinamakan Serabungkok.

Apabila meningkat dewasa, kedua-dua mereka telah berhijrah ke Nanga Rajang bagi mencari tanah yang subur untuk bercucuk tanam serta meluaskan pengalaman. Apabila di Nanga Rajang, adiknya Serabungkok telah jatuh hati dengan Lemina, seorang gadis tempatan. Dari perkahwinan mereka inilah Dayang Ilam. Dayang Ilam ini apabila dewasa telah dikahwinkan dengan Raja Semalanjat dan dari sinilah dikatakan asal-usulnya keturunan masyarakat Iban iaitu daripada keturunan Serabungkok, adik kepada Sumaun Anak Derom atau Awang Semaun. Di dalam versi cerita rakyat Iban ini dikatakan Awang Semaun atau Sumaun setelah adiknya Serabungkok berkahwin, membawa dirinya ke Brunei untuk mencari kekayaan.

Versi Etnik Melanau
Menurut versi cerita rakyat masyarakat Melanau pula, pernah wujud seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Awang Semaun. Beliau bukan sahaja gagah perkasa malah mempunyai budi pekerti yang amat baik dan sering menjadi dambaan orang tua-tua Melanau untuk dijadikan menantu.
Namun begitu dikatakan kerana kegagahan Awang Semaun ini telah mendapat perhatian seorang keluarga golongan aristocrat Melanau dan kerana pengaruh yang kuat akhirnya Awang Semaun dikahwinkan dengan anak perempuannya. Hasil perkahwinan puteri Melanau dengan Awang Semaun inilah telah lahirnya seorang pemuda Melanau yang bernama maka Tugau.

Tugau pula sejak dari kecil sehingga dewasa merupakan seorang anak dan pemuda yang penuh kesaktian serta gagah perkasa. Dan Tugau inilah dikatakan merupakan seorang Raja bagi satu Kerajaan Negeri Malano yang pernah wujud di Sarawak. Menurut cerita legenda etnik Melanau juga dikatakan bahawa Awang Semaun ini telah berhijrah ke Negara Brunei untuk menabur bakti dengan pembesar-pembesar di Kerajaan Brunei.

Versi Etnik Lun Bawang
Dan akhirnya menurut versi cerita rakyat masyarakat Lunbawang pula, Awang Semaun digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat kuat serta penuh kesaktian. Dihikayatkan pada satu hari ketika hari hujan, Awang Semaun sedang berteduh dibawah satu gua di sebuah bukit di Long Bawan. Apabila hari sudah teduh ianya sudahpun menjelang senja.

Oleh kerana tidak mahu lambat sampai ke destinasi yang hendak ditujuinya, dikatakan si Awang Semaun ini telah melompat dari Long Bawan menyusuri hutan-hutan yang tebal di kawasan Long Bawan itu. Oleh kerana hentakan yang kuat itu dikatakan sehingga sekarang terdapat bekas tapak kakinya di kawasan gua di Long Bawan. Dan menurut versi Lun Bawang ini juga dikatakan bahawa Awang Semaun turut juga menuju ke Brunei dan tiada khabar beritanya selepas itu.

Inilah cerita legenda si Awang Semaun, individu yang sangat gah dan penting sehingga mampu menjadi ikon cerita legenda daripada 4 versi yang berbeza-beza. Kewujudan Awang Semaun juga dicatatkan di dalam sebuah manuskrip sejarah lama yang berjudul Kekawin Negara Kartagama yang ditulis pada tahun 1365. Kekawin Negara Kartagama itu merupakan satu manuskrip sejarah agung yang menjadi rujukan semua pengkaji sejarah sepanjang zaman.

Sumber:
http://www.thepatriots.my/legenda-si-awang-semaun/

Khamis, 9 November 2017

Adap tinggal di Hotel


Salam Malam Jumaat semua, kebiasaannya apabila kita melancong ke tempat lain semestinya kita mencari tempat kita berehat dan tidur. Kira bertuah jika dapat bermalam di rumah sendiri mahupun saudara-mara dan kawan. Tapi kebiasaanya kita akan tinggal di hotel, motel, hostel, inn mahupun home-stay. Disini saya sertakan adap semasa nak tinggal di tempat berkenaan apabila rata-ratanya main langgar sahaja. Kita kena tahu bukan 100% bilik yang ada di tempat berkenaan ini penuh mahupun dihuni. Jika bilik yang lama dibiarkan maka ada benda lain akan menghuni bilik tersebut. Menjadi kebiasaannya, pihak hotel akan meninggalkan sekurang-kurangnya 1-2 bilik dan tak boleh 100% kesemua bilik diberikan kepada tetamu hotel, bagi mengelak jika ada bilik bermasalah maka tetamu akan ditempatkan di bilik tersebut. Adakala bilik ini mempunyai masalah ataupun mempunyai sejarah gelap dimana pihak hotel akan rahsiakan demi menjaga periuk nasi mereka ini. 

Adap,
  1. Ketuk pintu sebelum memasukkan kunci dan memberikan salam. Baru masuk.
  2. Jika nampak apa-apa yang ganjil, jangan tegur.
  3. Ketika dalam bilik pastikan ia diterangi dengan cahaya ataupun lampu. Buka langsir dan tingkap.
  4. Jika kamu tinggal seorang diri di bilik 2 single bed, letakkan barang pada katil dimana kamu tak gunakan.
  5. Azan dan solat buat mereka yang beragama Islam di dalam bilik. Buat mereka bukan Islam, sembahyang dengan cara agama kamu sendiri. 
  6. Jika nak tidur, sila hidupkan lampu tandas ataupun tv.
  7. Mulut jangan celupar dan cakap tinggi. 
  8. Jangan buat perkara yang bakal membuat kamu menyesal terutamanya membuat perkara-perkara yang menyusahkan diri dengan bermain permainan mistik.
  9. Jangan fikir bukan-bukan sebab kamu menakutkan diri sendiri. 


Sekian buat malam ini saya berkongsikan adap tinggal di hotel. Salam Malam Jumaat. 

Khamis, 2 November 2017

Menara MPS Sandakan II


Salam Malam Jumaat, pada malam ini saya akan berkongsi sambungan mengenai Menara MPS Sandakan. Dengan kes bunuh diri yang berlaku pada baru-baru ini di Menara MPS. Sememangnya ada cerita seram mengenai bangunan seperti mana saya pernah ceritakan dahulu, sebaik sahaja kes bunuh diri ini. Ia terus menjadi aktif semula apabila satu nyawa lagi terkorban di menara ini.

Buat mereka yang tak tahu mahupun ingat mengenai kejadian bunuh diri ini, disini saya sertakan keratan khabar pada 14 July 2017.

SANDAKAN – Seorang pekerja kantin sekolah di sini maut selepas terjatuh dari tingkat lima Menara MPS di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Azhar Hamin berkata mangsa dikenali sebagai Sarif Hoidey bin Aidaulus, 19, yang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya mangsa berpakaian baju Melayu dan berselipar ketika jatuh dari bangunan itu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya polis mengklafikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat. – BERNAMA

Baiklah kembali kepada cerita yang saya bakal kongsikan, dimana saya dengar cerita ini daripada kakak saudara saya dimana dua dengar cerita ini selepas kejadian bunuh diri ini berlaku. Malah pekerja awam yang terjumpa mayat bunuh ini masih lagi trauma apabila dia terdengar bunyi seperti bunyi terjatuh, apabila dia melihat diluar tingkap kelihatan ada mayat di luar. 

Berbalik kepada cerita seram, disini saya akan berkongsi 2 cerita dimana saya dengar. 

Kisah 1, 
Cerita ini berkaitan dengan pengalaman seram 2 pengawal keselamatan yang mengawal menara mps ini pada malam hari. Semasa membuat kawalan, kedua-duanya melihat satu lembaga wanita serba putih lalu. Kedua-dua pengawal keselamatan tu fikir ada kemungkinan pencuri, tanpa membuang masa mereka terus mengejar wanita tersebut. Apabila lembaga wanita lari ke arah tandas, lalu ia ghaib daripada pandangan, barulah kedua-dua pengawal keselamatan tu sedar bahawa apa yang mereka kejar adalah bukan manusia sebaliknya hantu. Tak lama selepas kejadian itu, kedua-dua pengawal keselamatan ini berhenti kerja. Untuk pengetahuan semua, memangnya ada lagi pengawal keselamatan baru menjaga menara ini akan tetapi hanya seorang sahaja pengawal keselamatan yang berjaga pada malam hari. Semestinya pengawal keselamatan ini kuat semangatnya dan kita tak pasti apa cerita pengalaman seram yang ada pada dia. 

Kisah 2, 
Cerita ini berkaitan dengan amah yang membersihkan pejabat yang ada di menara ini dimana berlaku pada awal pagi. Terdapatnya 3 amah yang membersihkan pejabat ini, 2 daripada ada bangsa melayu manakala seorang pula bangsa dusun. Dijadikan cerita, amah dusun ini datang kerja awal manakala dua amah belum tiba ke tempat kerja. Oleh kerana tak nak membuang masa menunggu, amah dusun ini mulakan kerjanya dahulu. Apabila dia sedang menyapu lantai, kedengaran bunyi kerusi ditarik dan bunyi mengilai. Dengan tiba-tiba amah tu ternampak satu lembaga wanita serba putih lalu masuk ke pantri, tanpa membuang masa dia terus meninggalkan apa yang dilakukan dan terus bergegas turun daripada menara dan tunggu rakan sekerjanya tiba. Untuk pengetahuan semua pada masa itu amah itu seorang diri dan pekerja pejabat belum lagi masuk kerja apabila kejadian ini berlaku sekitar jam 6 pagi.

Sekian dahulu cerita yang saya berkongsi buat malam ini. Jika saya terdengar sebarang cerita baru di tempat-tempat dimana saya pernah berkongsi, saya akan kongsikan di sini. Sekian dan Salam Malam Jumaat.