Salam Malam Jumaat,
TIADA sesiapa yang meminta dilahirkan di zaman Ngayau atau pemburu kepala, namun mereka yang ditakdirkan lahir pada zaman tersebut tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kepala sendiri, anak isteri dan suku sakat daripada menjadi habuan suku kaum atau kumpulan lain.
Zaman tersebut pada sekitar tahun 1846 sehingga 1914 tidak memberikan ruang kepada sesiapa untuk memaafkan orang atau untuk mengasihani puak lain, melainkan jika ingin kepalanya menjadi cenderamata kepada salah satu kaum lain. Tidak ada siapa yang dapat melarang atau menghindarkan diri, sama ada memangsakan orang atau dijadikan mangsa.
Hukum rimba yang diamalkan membolehkan siapa kuat dialah berkuasa. Tiada belas ihsan, setiakawan atau peri kemanusiaan. Yang ada pada masa itu ialah peluang untuk mempertahankan diri, menyelamatkan diri dan dalam kesempatan yang terhad memancung kepala musuh sebagai lambang kekuatan atau ketuanan.
Jika teragak-agak kepala sendiri yang akan dijadikan piala keagungan sehingga menjadi hantaran perkahwinan atau maskahwin; tanpa kepala atau tengkorak, ramai yang kempunan berbini kerana masyarakat ketika itu meletakkan keberanian seorang lelaki kepada berapa banyak kepala yang telah dipenggal atau dimilikinya.
Mantauv Bin Liyunan yang tinggal di ceruk pedalaman Sabah, berdekatan Sungai Sumantakawan, Pensiangan, tidak dapat lari daripada hukum rimba tersebut dan terpaksa melindungi seluruh keluarga di rumahnya daripada diserang pemburu kepala yang ganas.
Namun pada suatu hari beliau terpaksa meninggalkan rumah untuk melawat rumah saudaranya, Asoh, di Ulu Siatu yang dipisahkan oleh sebuah bukit yang memakan masa setengah hari perjalanan.
Tinggallah isterinya, Kalamba; anak daranya, Linipong; anak lelakinya Matta dan Anggail bersama beberapa orang penduduk di rumah besar tersebut yang di dirikan berdekatan Kaabul-abul, anak sungai yang berpunca daripada Sungai Sumantakawan.
Ketika Mantauv telah jauh meninggalkan Kaabul-abul, seorang ketua kaum dari Kampung Sumanamun yang berdekatan Sungai Saliu yang bernama Sinuhi sudah menghampiri Kaabul-abul bersama para pengikutnya untuk menyerang rumah besar Mantauv.
Sinuhi dan pengikutnya terpaksa mendaki Bukit Kavaa yang memisahkan Sungai Saliu dengan Sungai Tagol atau Tahol sebelum boleh ke Sungai Sumantakawan. Setelah memerhatikan beberapa ketika, Sinuhi menjumpai denai yang sering digunakan oleh Mantauv untuk memancing di Sungai Sumantakawan dan menunggu seketika di sana kerana tidak mengetahui bahawa Mantauv telah lama pergi ke Ulu Siatu atau 'akapalit' (berselisih).
Akhirnya setelah tidak melihat kelibat Mantauv, maka Sinuhi membawa pengikutnya menyerang rumah besar di Kaabul-abul kerana yakin Mantauv berehat di rumah. Namun agak hampa kerana tidak ada sesiapa di rumah ketika itu melainkan Kalamba anak beranak. Penduduk lain telah ke hutan memburu atau memancing ikan.
Kalamba terkejut oleh serangan secara tiba-tiba tersebut lalu mengarahkan Linipong melarikan diri ke dalam hutan dan diekori oleh Kalamba yang mendukung anak bongsunya, Anggail dan memimpin tangan Matta. Memandangkan penyerang tersebut terlalu ramai sedangkan mangsa hanya empat, maka Kalamba terkepung.
Sinuhi dan tiga pengikutnya mengejar Linipong yang berlari sekuat hati, namun apalah daya seorang gadis sunti melangkah la-ju sedangkan dia berhadapan dengan pemburu yang handal bertingkah di tanah bagai harimau yang ganas. Akhirnya Linipong tumpas dan kepalanya dipancung dan diiringi sorak-sorai para pengikut Sinuhi.
Hancur luluh hati Kalamba melihat anak daranya gugur di hadapan mata, namun tidak berdaya berbuat apa-apa kerana nyawa kedua anak kecilnya tergalas pada dirinya yang menghitung nasib yang belum tentu. Melihatkan tubuh Linipong terkujur di atas tanah berlumurah darah dan kepalanya dilambung-lambung di antara pengikut Sinuhi seperti membaling bola sepak raga, Kalamba nekad untuk menyerah diri dan meminta lehernya turut dipancung.
Namun Sinuhi yang penuh muslihat merasakan tibalah masanya menunjukkan kekuatan dan kekuasaan kepada Mantauv lalu merasakan kepala Kalamba tidak bernilai kepadanya dan mengarahkan Kalamba lari.
"Bagus kau lari sekarang, nanti dia orang potong kepala kau. Tapi anak kau dua-dua sekali saya mau ambil," jerkah Sinuhi kepada Kalamba yang terketar-ketar ketakutan kerana tidak menyangka Sinuhi sanggup memotong kepala Linipong sedangkan mereka mempunyai kaitan saudara.
"Kalau si Mantauv pulang, kasi tau sama dia. Ini Sinuhi, ambil dia punya anak. Kalau dia mau anak dia selamat, cari dua budak-budak laki-laki sebagai ganti. Saya tunggu selama empat hari. Kalau Mantauv tidak bawa dua budak sebagai ganti, dua-dua anak dia saya kasi mati," kata Sinuhi dengan angkuh kerana menyangka Mantauv tidak akan berani menuntut anaknya, apatah lagi mahu mencari dua kanak-kanak lelaki sebagai ganti.
Kalamba segera menyelinapkan diri ke dalam semak samun lalu hilang di dalam hutan tebal. Para pengikut Sinuhi mengejar, namun Sinuhi mengarah mereka berpatah balik kerana dapat menangkap dua anak lelaki Mantauv sebagai cagaran.
Sinuhi yang menjinjing kepala Linipong berjalan megah bersama pengikutnya kembali ke kampung mereka di Sumanamun bersama Matta dan Anggail yang kadang kala terpaksa digendung oleh pengikut Sinuhi.
Ketika Mantauv tiba di rumahnya pada petang itu, dia terkejut melihat isterinya menangis di anak tangga sementara penduduk rumah besar itu cuba menenangkan Kalamba.
"Kenapa kau menangis? Apa sudah jadi?" tanya Mantauv kehairanan.
"Anak kita!"
"Kenapa anak kita? Mana dia orang?"
Mantauv menerpa Kalamba yang masih menggeletar dan menangis sekuat hati apabila melihat Mantauv menuju ke arahnya. Kalamba terjun dari pelantar lalu memeluk Mantauv dan mengajaknya ke belukar kecil tidak jauh dari rumah besar lalu tangannya menunjukkan ke arah sekujur tubuh yang tergeletak di tanah berlumuran darah dalam keadaan separuh bogel kerana kakinya masih terkial-kial ketika nyawa berpisah dari badan.
Lunturlah kasih seorang bapa melihat tubuh anak yang ditimangnya selama ini tidak lagi bernyawa malah terbiar begitu sahaja sejak tengah hari itu. Hatinya membara dan marahnya memuncak untuk menuntut bela di atas kematian anaknya. Namun tiba-tiba dia tersedar dua anak lelakinya tidak ada bersama Kalamba.
"Mana Matta sama Anggail," tanya Mantauv yang mengetap bibirnya menahan kemarahan.
"Diambil orang," jawab Kalamba tergagap-gagap.
"Siapa orang itu?" bentak Mantauv sehingga mengejutkan Kalamba.
"Katanya, nama dia Sinuhi. Dia kata kasi sampai pesan sama kau, kalau berani Mantauv, Sinuhi janji kau cari dua budak laki-laki sebagai ganti selama empat hari. Itu budak kau bawa bagi sama Sinuhi di Sumanamun, baru dia kasi lepas Matta sama Anggail," tutur Kalamba dalam nada tersangkut-sangkut dan teresak-esak.
"Kurang ajar, dia memang mau mati!," kata Mantauv seraya melibaskan hayang (parang) ke arah sepohon pokok renek sehingga terputus dua dan terpelanting jauh.
Mantauv segera menyempurnakan mayat Linipong dengan bantuan penduduk rumah besar yang mempunyai banyak bilik tersebut. Malam itu Mantauv tidak dapat tidur kerana memikirkan cara terbaik untuk membalas dendam dan menghapuskan Sinuhi yang terkenal dengan kekejamannya dan mempunyai ilmu batin yang tinggi. Mantauv mengarahkan penghuni memasang perangkap di sekeliling rumah bagi mengelakkan serangan mengejut dan mempertahankan diri mereka tanpa perlu mendedahkan diri.
Esoknya ketika embun masih basah, Mantauv telah meninggalkan rumah besar tersebut setelah meninggalkan pesan agar semua penghuni jangan meninggalkan rumah bagi mengelakkan serangan puak lain yang telah mengintai rumah tersebut sejak Sinuhi meninggalkan kawasan itu.
Mantauv menyeberangi Sungai Tagol sekali lagi untuk sampai ke Kampung Ulu Siatu bagi meminta bantuan daripada saudaranya, Asoh. Mantauv yang ditemani Asoh kemudian ke Sinuloi untuk bertemu dengan saudara terdekatnya, Lulumbis, Ansuli dan Kapio. Kesemua mereka menyatakan persediaan untuk membantu Mantauv merancang serangan balas terhadap Sinuhi di Sumanamun.
Ketika dalam perjalanan pulang ke Kaabul-abul, mereka singgah di rumah Kanawit lalu menculik dua orang anak lelaki Kanawit yang sedang bermain di halaman rumah ketika ibu bapa mereka memburu dan mencari kayu api di hutan. Mantauv terlalu berdendam dengan Kanawit kerana Kanawit selalu mencuri dan merosakkan hasil tanaman Mantauv dan para pengikutnya, namun tidak mempunyai peluang untuk memotong kepala Kanawit yang tidak pernah berpisah dari kumpulannya.
"Kamu empat orang pigilah (pergilah) hantar dua budak ini kepada Sinuhi, saya mau pulang dulu buat persiapan," kata Mantauv kepada Asoh, Kapio, Ansuli dan Lulumbis.
Sepanjang perjalanan mereka tidak menempuhi sebarang rintangan walaupun terpaksa meredah hutan belantara dan mendaki Bukit Kavaa sebelum sampai ke Sungai Saliu dan terus ke Kampung Sumanamun bersama dua orang anak Kanawit yang tercungap-cungap melalui perjalanan sehari suntuk.
"Sinuhi! Sinuhi!, keluar kau!" teriak Kapio ketika sampai ke anak tangga rumah yang didiami oleh Sinuhi dan para pengikutnya.
"Hui siapa kau?," bentak satu suara dari dalam rumah tersebut sementara banyak mata terjojol keluar dan kepala tercanguk-canguk dari celah beranda.
"Aku Kapio. Mantauv suruh ambil anak dia. Kau turun ambil dua orang budak yang kau mintak ganti ini," jelas Kapio tanpa rasa takut.
Sinuhi segera menampakkan diri di atas pelantar hadapan rumah tersebut lalu tersengih dan mengurut dagunya yang ditumbuhi janggut yang jarang-jarang. Sebentar kemudian dia masuk semula ke dalam rumah sehingga membuatkan Kapio dan saudaranya agak gusar kerana bimbang Sinuhi akan melancarkan serangan dari dalam rumahnya. Mereka berpandangan sesama sendiri. Namun tidak lama selepas itu Sinuhi muncul semula bersama dua orang anak lelaki Mantauv.
"Nah! Bawa balik budak ini. Sampai pesan sama Mantauv dia memang ikut dia punya janji.
Belum empat hari dia sudah kasi tunai dia punya janji," kata Sinuhi seraya mengambil dua orang anak Kanawit yang diserahkan Kapio sebagai pertukaran dengan dua orang anak Mantauv.
Lulumbis segera mendukung Anggail, manakala Kapio menjulang Matta di atas bahunya agar mereka segera sampai ke Sumantakawan sebelum hari malam kerana kalau bermalam di hutan keselamatan mereka akan terancam oleh binatang buas dan kemungkinan menjadi habuan puak lain yang sentiasa mengintip untuk melakukan serangan hendap terhadap mereka.
"Nah ini anak kau! Sinuhi puji sama kau," kata Kapio yang tiba dahulu ketika Mantauv sedang mengasah lembing dan hayangnya.
"Baiklah dulu, kasi hilang penat.." pelawa Mantauv kepada Kapio dan saudaranya yang lain dengan nada yang gembira seolah-olah tidak mendengar pujian Sinuhi terhadapnya kerana melihat kedua-dua anaknya selamat, lalu segera memeluk erat kedua anak yang amat dirinduinya sejak beberapa hari lalu.
Selepas menikmati makan malam, Mantauv berdiri lalu menuju ke biliknya yang diperbuat daripada buluh yang dianyam dan diselit dengan kulit kayu. Seketika kemudian dia kembali bersama hayangnya lalu melabuhkan punggung ke lantai buluh dan menyandarkan tubuhnya ke tiang tengah rumah.
"Kamu beranikah ikut sama saya?," tanya Mantauv secara tiba-tiba ketika sedang menggulung kirai (rokok daun).
Semua berpandangan antara satu sama lain. Penghuni rumah besar itu kebingungan kerana mendengar suara Mantauv yang gementar menahan marah dan giginya yang menyeringai serta matanya yang terbuntang kemerah-merahan.
"Kamu setujukah ikut saya punya cadangan?," tanya Mantauv sekali lagi kepada keempat saudaranya yang kelihatan letih menempuhi perjalanan pergi balik ke Sumanamun.
"Apa itu?" soal Kapio sepontan.
"Selepas empat hari kamu semua datang balik pigi (pergi) sini. Kita pigi serang sama Sinuhi. Saya tidak puas hati sebab anak perempuan saya dia kasi mati," kata Mantauv melepaskan geram dan dendam yang terbuku di hatinya.
"Baiklah, kami ikut. Kami anak lelaki bah ini?" kata Kapio dan saudaranya yang lain serentak.
Malam itu Mantauv, saudara dan penghuni rumah besar itu tidur nyenyak setelah memasang bambu runcing dan perangkap di sekeliling rumah.
Ketika tengah malam rumah besar tersebut riuh seketika kerana perangkap mereka bingkas namun segera menyambung tidur semula apabila diberitahu oleh pengawal jerat mereka terkena ki-jang.
"Jangan lupa, empat hari dari sekarang kamu mesti datang balik. Saya mau cari mimpi bagus-bagus dulu," pesan Mantauv sekali lagi ketika menghantar kesemua saudaranya ke tepi belukar sebelum mereka bersalaman dan menuju kampung masing-masing.
Empat hari berlalu begitu singkat. Dalam tempoh empat hari tersebut Mantauv membersihkan rentaka (meriam kecil berupa senapang) yang diwarisi daripada ayahnya dan memperkuatkan pertahanan dan keselamatan rumah besar itu agar selamat jika ditinggalkan.
Akhirnya tiba hari yang ditunggu-tunggu, Kapio, Lulumbis, Ansuli dan Asoh tiba hampir serentak ketika matahari sudah condong ke barat. Selepas makan malam kelima mereka turun ke halaman rumah yang dibasahi cahaya lampu jamung setelah Mantauv menceritakan mendapat mimpi baik dua malam lalu.
Mantauv segera mengambil seekor ayam putih yang dikurung di dalam serkap buluh di bawah rumah. Mantauv segera menyembelih ayam tersebut, darahnya di tadah di dalam mangkuk. Tangkal yang diikat pada badan masing-masing dibuka lalu direndamkan ke dalam darah ayam berkenaan selepas itu masing-masing merenjis tubuh mereka dengan darah ayam dari mangkuk tanah liat berwarna putih. Apabila darah ayam tersebut mengering ditubuh mereka barulah mereka tidur setelah bersetuju dengan rancangan yang diatur oleh Mantauv.
Esoknya, ketika ayam jantan Mantauv berkokok, kelima-lima mereka telah meninggalkan rumah tanpa mandi kerana tidak ingin darah ayam ditubuh mereka terhakis oleh bilasan air. Sepanjang perjalanan Mantauv dan saudaranya begitu berhati-hati kerana maut ada di mana-mana.
"Peng?Pengg?twit!witt!"
Mantauv tiba-tiba tersenyum apabila terdengar bunyi burung Mengapi(tempua) seakan memberi alamat baik.
'Perburuan'mereka pasti akan berhasil kerana tempua itu merestui perjalanan mereka untuk mengayau. Mantauv sebagai se-orang pemburu yang gagah sering menjadikan amaran dari bu-rung tersebut sebagai panduan. Bahaya akan menimpa jika burung tersebut berbunyi 'Twitt!twit!twit'.
"Tirrr! Tirrr!Tirrr!"
Sekali lagi Mantauv melebarkan senyuman dan semakin bersemangat kerana burung 'Lalantir' memberi alamat baik yang mereka akan selamat dalam pertempuran yang bakal mereka hadapi dan tidak akan mengalami sebarang kecederaan.
Menurut kepercayaan Mantauv jika burung itu hanya berbunyi sekali sahaja, bermakna salah seorang atau kesemua mereka akan mengalami luka parah.
Mereka sampai di satu kawasan berdekatan tebasan (huma) ketika embun kering dari rumput dan belum ada kelihatan walau sekelibat manusia.
Kapio menukar rancangan yang diatur oleh Mantauv kerana bimbang Mantauv tidak dapat menahan sabar dan menjadi mangsa kegopohannya, apatah lagi terpaksa berdepan dengan Sinuhi dan pengikutnya yang terkenal dengan kekejaman dan ganas.
"Kau jalan belakang sekali," kata Kapio kepada Mantauv.
Walaupun agak kecewa, namun Mantauv akur kerana tidak ingin rancangan mereka gagal, apatah lagi menyedari dirinya tidak dapat menahan marah apabila mengenangkan perbuatan Sinuhi terhadap Linipong. Jika tersilap langkah kesemua mereka akan menjadi mangsa ngayau Sinuhi dan pengikutnya.
Mantauv merancang untuk melakukan serang hendap terhadap Sinuhi ketika Sinuhi dalam perjalanan ke tebasan bergotong royong bersama pengikutnya. Pada mulanya Mantauv akan me-nanti Sinuhi di hadapan sekali, namun Kapio mengubah rancangan dengan meletakkan Mantauv sebagai orang terakhir yang akan berhadapan dengan Sinuhi jika mereka ditewaskan oleh kehandalan Sinuhi.
Asoh dan Ansuli ditukarkan ke posisi hadapan sekali bersem-bunyi di dalam hutan berdekatan dengan denai tempat laluan Sinuhi dan bersedia bertindak jika Sinuhi berundur. Manakala Lulumbis yang bersenjatakan lembing dan hayang berada di posisi berdekatan Kapio yang bersembunyi di belakang rumpun tuhau (tepus) yang rendang bersama rentaka.
Sementara itu, Sinuhi merasa tidak sabar menebas belukar untuk membuat huma telah bersiap lebih awal sebelum pengikutnya bersarapan. Dia mengambil lembing dan parang lalu menuruni tangga menuju ke denai untuk ke tebasan bersendirian.
"Jangan jalan dulu, nanti si Mantauv ipa (sekat) kau di sana. Kami belum sedia lagi, tunggulah dulu, kami habis sarapan dulu," laung seorang pengikutnya.
"Ahh!.. Dia orang datangpun dia orang tidak boleh lawan saya sebab saya paling handal. Kalau dia orang datang juga, anjing saya saja makan mayat dia orang, Haa?Haaa?Hoi cepatlah sikit," jawab Sinuhi penuh kesombongan lalu menghayun langkah gagah menuju ke tebasan yang terletak sepelaung dari rumahnya.
Sinuhi bersiul anak sambil menghayun parang candungnya ke kiri ke kanan mencantas lahunai yang merintangi denai. Dia tidak perasan dua pasang mata sedang mengekori pergerakannya. Tiba-tiba Sinuhi mendengus kerana sepohon tuhau menghalang perjalanannya.
"Apa ini bikin semak jalan saja," kata Sinuhi lalu mencantas pohon tuhau tersebut yang telah direbahkan dengan sengaja oleh Lulumbis sebagai strategi untuk melekakan Sinuhi.
Sepantas kilat Kapio sudah terjojol di hadapan mata Sinuhi lalu melepaskan tembakan tepat ke dada kiri Sinuhi yang segera rebah lalu Lulumbis dengan hayang terhunus di tangan segera memancung kepala Sinuhi dan terus dimasukkan ke dalam barait (bakul rotan).
Hayang Lulumbis boleh mencantas leher sesiapa sahaja termasuk Sinuhi yang kononnya kebal kerana sarungnya diikatkan akar kayu ajaib bersama rambut manusia yang boleh mengenyahkan ilmu kebal apatah lagi telah disapu dengan minyak babi.
Hayang tersebut selalu diperasap kemenyan dan dilangir dengan limau kasturi agar dijaga oleh makhluk halus dan hayang tersebut tidak sekali-kali meminum darah tuannya. Hulu hayang daripada tanduk atau tulang rusa diukir seperti kepala burung 'ampalid buhang' (belatuk jambul) dan dijuntaikan rambut manusia.
Manakala rentaka Kapio turut dijampi oleh Mantauv agar dapat menumbangkan tubuh Sinuhi yang gagah bagi memudahkan Lulumbis memancung leher Sinuhi dengan hayangnya. Sekalipun tubuh Sinuhi yang kebal tidak lut oleh rentaka, namun bunyi rentaka dan ledakan rentaka tersebut boleh membuatkan Sinuhi tergamam atau tangkal kebal yang diikat di lengan kiri putus, maka lembing sesiapa sahaja boleh menembusi tubuh Sinuhi dengan syarat lembing itu dicucuk ke tanah sebanyak empat kali.
"Sekarang kami sudah sedang hati, Sinuhi sudah mati," teriak Mantauv yang entahkan didengar atau tidak oleh penghuni rumah di lereng bukit itu yang mungkin lari bertempiaran apabila terdengar bunyi rentaka yang menumbangkan Sinuhi.
Memandangkan tidak ada jawapan, Mantauv mengajak saudaranya pulang dan menghalang mereka menyerbu rumah Sinuhi kerana sudah puas hati musuhnya sudah mati dan dendamnya berbalas.
Sesampainya mereka berdekatan rumah Mantauv di Sumantakawan, Mantauv memberi isyarat mereka berhasil membawa balik kepala Sinuhi.
"Hiii!Tinontov kanu anak ri Liyunan (Hiii! kepala kau sudah kena potong oleh anak Si Liyunan)," tempik Mantauv sambil mengeluarkan kepala Sinuhi daripada barait.
Kepala yang berlumuran darah tersebut dijinjing di tangan kirinya, manakala tangan kanannya memegang hayang Lulumbis yang digunakan untuk memotong kepala Sinuhi sambil kakinya berjengket-jengket bagai pahlawan Murut sedang menari bersama pedangnya.
Kesemua penghuni rumah besar keluar ke halaman lalu menyahut, Hii! Tinontov kanu anak ri Liyunan!
Mantauv mengarahkan pengikutnya menangkap empat ekor anak babi yang badannya sepanjang empat jengkal lalu disembelih. Mantauv mengambil dua kuali besar, satu daripadanya untuk merebus anak babi berkenaan dan satu lagi untuk merebus kepala Sinuhi yang turut dicampur perut dan organ dalam babi.
Sementara menunggu makanan tersebut masak, Mantauv mengadakan upacara Angkukui (memuja semangat atau roh) sebagai satu kemestian kepada mereka yang pulang dari perang atau ngayau di atas rumahnya.
"Huiuuiii!" teriak Mantauv sambil menari diiringi oleh Lulumbis, Kapio, Ansuli dan Asoh serta beberapa lelaki lain.
"Hoooiii!" balas Kalamba dan beberapa wanita lain yang turut menari di tengah ruang tamu.
"Huu!Kuiinonga balos mu no Amsari Kuu.. Kui" teriak Mantauv berselang seli dengan saudaranya yang lain diulang-ulang sebanyak empat kali sebelum mereka berkumpul semula di ruang tamu untuk menikmati jamuan.
Mantauv mengangkat kepala Sinuhi lalu disiat-siat daging di kepala tersebut kepada 35 ketul.
"Nah, kamu ambil tujuh keping satu orang, siapa tidak makan dia itu penakut," pelawa Mantauv kepada saudaranya yang terlibat dalam gerakan membunuh Sinuhi.
Kesemua mereka makan daging dari kepala Sinuhi kerana menjangkakan ngayau akan berpanjangan dan percaya dengan memakan daging kepala Sinuhi, mereka akan bertambah berani untuk melindungi keluarga dan pengikut mereka daripada kaum lain yang mengintai peluang untuk mengayau mereka.
Pesta malam itu sungguh meriah sehingga mereka tidur lena kerana kekenyangan dan puas hati kerana musuh utama mereka sudah mati.
Sebelum bersurai keesokan harinya, Mantauv dan saudaranya bersepakat untuk membelah tengkorak Sinuhi tersebut kepada empat bahagian seperti membelah tembikai sebagai tanda mata.
Lulumbis mendapat bahagian atas belakang tengkorak. Kapio mengambil bahagian bawah belakang kepala, Asoh mengambil bahagian dagu ke atas dan Mantauv mengambil bahagian atas hidung hingga ke tengkorak hadapan. Manakala Ansuli tidak mahu kerana tinggal serumah dengan Lulumbis.
Mantauv meminta Kalamba menganyam uncang rotan atau barait untuk memasukkan tengkorak Sinuhi. Setelah siap Mantauv menggantungkan uncang yang diisi tengkorak Sinuhi di kasau (gelagar atas) berdekatan tiang seri. Daun silar atau sinilaran turut digantung bersama agar roh jahat Sinuhi tidak berkeliaran.
Pada suatu hari ketika Kalamba duduk bersembang dengan penghuni rumah di saloh (ruang tamu) tiba-tiba belakangnya diludah. Kalamba terkejut lalu memanggil Mantauv.
Mantauv agak kehairanan kerana tidak ada sesiapa pernah meludah orang lain di rumah tersebut yang telah dipaksikan adab sopan, lalu bertanya ada sesiapa yang meludah isterinya. Tetapi tidak ada sesiapapun yang mengaku.
Tiba-tiba sekali lagi Kalamba diludah, tepat di dahi.
"Haa! Haaa!" gelak tawa Mantauv menjengkelkan Kalamba kerana menyangkakan suaminya mentertawakannya sedangkan Mantauv melihat dengan mata kepalanya ludah tersebut datangnya daripada tengkorak Sinuhi yang tergantung di perabung rumah.
Mantauv segera ke dapur lalu membuka tempayan tempat dia menyimpan daging babi yang baru diburunya petang tadi. Mantauv mengambil buluh yang telah diraut tajam lalu mencucukkan tujuh keping daging yang dihiris halus seperti membuat satey.
"Dia mau makan bah!" kata Mantauv selamba selepas memanjat tiang seri untuk menyelitkan daging tersebut di uncang rotan tengkorak Sinuhi.
"Kami makan tujuh keping daging dia, dia minta ganti tujuh keping juga, kalau tidak dia mesti berludah. Kempunan bah itu. Haaa!Haaa!" kata Mantauv lagi sebagai mengingatkan kaum kerabatnya.
Sejak daripada hari itu penghuni rumah berkenaan telah biasa dengan tengkorak tersebut yang sering berludah ketika hujan gerimis atau ada pesta di rumah berkenaan. Selepas diberi makan, akan kedengaran seperti orang bersiul seolah-olah suara siulan Sinuhi seperti yang pernah didengar oleh Mantauv ketika melakukan serang hendap terhadap Sinuhi dahulu.
"Kalau ini tengkorak lengkap tidak dibelah empat, mungkin pandai berjalan," seloroh Mantauv lalu disambut gelak ketawa suku sakatnya.
Belum sempat Kanawit melakukan serang balas terhadap Mantauv, British menakluki Sabah dan telah mengharamkan ngayau, sementelahan pula kedua-dua anaknya yang menjadi tebusan Sinuhi dikembalikan kerana Sinuhi telah dibunuh dan salah seorang pengikut Sinuhi adik kepada Kanawit.
Manakala Mantauv pula sempat mengumpul beberapa koleksi tengkorak terutama para pengikut Sinuhi yang cuba menyerang rumahnya yang dikelilingi perangkap dan buluh runcing.
Selang beberapa tahun kemudian Mantauv mati kerana sakit tua. Adalah menjadi kebiasaan kaum Murut akan berpindah ke rumah baru sebaik sahaja ketua rumah mati tambahan pula ru-mah tersebut sudah terlalu uzur lalu anak-anaknya Matta, Anggail dan saudara maranya berpakat untuk mendirikan rumah baru berdekatan rumah lama tersebut.
Bagi mengenang jasa bapanya menggadai nyawa untuk menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa Sinuhi, Anggail dan abangnya Matta telah memindahkan tengkorak Sinuhi ke rumah baru yang dibuat dengan gotong-royong mengikut reka bentuk rumah asal.
Di rumah baru tersebut tengkorak Sinuhi, masih gemar berludah kepada sesiapa sahaja jika tidak diberi tujuh ketul daging yang dicucuk pada buluh atau ketika hujan panas atau gerimis.
Namun agak ganjil hanya tengkorak Sinuhi yang menjadi baha-gian Mantauv sahaja yang pandai berludah dan bersiul seolah-olah hidup, manakala tiga bahagian tengkorak Sinuhi yang diberikan kepada tiga saudaranya yang lain tidak boleh berbuat apa-apa seperti tengkorak lain.
Pada suatu hari, Radiah Bte Lumiri, isteri kepada salah seorang cucu Mantauv terkejut kerana turut diludah ketika duduk bersantai bersama kawan-kawan di saloh (ruang tamu). Sering kali air liur dari tengkorak tersebut terkena bahagian belakangnya atau kakinya, namun segera dilap.
"Tidak bau, macam air biasa saja. Tidak tau macam mana dia boleh ludah, bukan ada mulut, lagipun dalam barait," akui Radiah yang takjub dengan kebolehan tengkorak tersebut meludah dan bersiul.
Tengkorak tersebut tidak memilih sesiapa kerana hampir semua penghuni atau tetamu yang datang mengunjungi rumah tersebut akan terkena ludah walaupun bersembunyi di belakang pintu.
"Tapi saya sudah tidak pernah pulang lagi sejak tahun 1972. Saudara saya bilang masih kuat ludah," kata Radiah yang kini sudah berusia 78 tahun dan menetap di Kampung Ranau-Ranau (Murni) Nabawan.
Manakala bagi Wakil Ketua Anak Negeri Nabawan, KK Angkaus Bin Ansawang, 63, salah seorang cucu Mantauv, tengkorak Sinuhi mempunyai sejarah tersendiri bagi keturunan Mantauv dan suku sakatnya kerana jika Sinuhi tidak dibunuh, mungkin seluruh isi rumah Mantauv akan menjadi mangsa serangan balas Sinuhi yang suka membuat onar.
"Jaga tengkorak baik-baik, jangan kasi cerai sama kau. Pelihara betul-betul, Itu kau punya warisan," pesan Anggail kepada Angkaus Ansawang, anak saudara yang terlalu manja dengannya.
Setelah diceritakan bahawa tengkorak Sinuhi tersebut adalah penebus maruah Anggail, Matta dan lambang penyelamat Linipong, barulah Angkaus menyedari betapa tingginya nilai tengko-rak tersebut kepada keturunannya.
Anggail telah meninggal dunia pada 28 Mac 1984 kerana sakit tua setelah kebanyakan usia mudanya bertungkus lumus menen-tang Inggeris di zaman kolonial bersama Ontoros dan pahlawan Murut yang lain.
Angkaus yang dipelihara oleh bapa saudaranya, Anggail selepas kematian bapanya, sedar bahawa tengkorak tersebut memberi erti kehidupan yang sebenar kepada generasinya dan akan datang kerana menjadi lambang keberanian dan harga diri bahawa hutang darah dibayar darah dan hutang nyawa dibayar nyawa ketika undang-undang negara belum digubal dan manusia melaksanakan hukum rimba.
Namun Angkaus agak kesal kerana tidak membawa bersamanya tengkorak tersebut yang masih tergantung di tengah rumah di Kampung Sumantakawan yang masih dijaga oleh suku sakatnya. Kini beliau terpaksa menempuh perjalanan darat selama tujuh jam melalui Salong atau Pegalongan atau mengikut bot yang memakan masa dua hingga tiga jam jika sungai banjir atau enam jam jika air sungai cetek kerana banyak jeram semata-mata untuk melawat tengkorak tersebut.
"Tengkorak ini mengingatkan saya betapa runcingnya nyawa manusia di zaman itu. Kalau bukan kerana tengkorak ini, bapa saya (bapa angkatnya) Anggail tidak ada," ujar KK Angkaus yang menyedari walaupun bukan datuknya yang memancung Sinuhi, namun perancangan dan keberanian Mantauv telah menebus maruah keturunannya daripada dihina oleh suku sakat Sinuhi yang sehingga kini masih tinggal di kawasan Pensiangan.
Salah seorang anak Anggail, Kumalu, 61, mengadaptasikan peristiwa ngayau di dalam persembahan kebudayaan sehingga ke luar negara iaitu di Hawaii dan Indonesia. Kumalu mengetuai sebuah kumpulan yang membuat persembahan di acara rasmi kerajaan yang ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah.
Kumalu menjadikan 'Angkukui' sebagai intipati persembahannya kerana ingin menghargai perjuangan nenek moyangnya ketika zaman ngayau dan sebagai mengenang jasa datuknya, Mantauv menyelamatkan ayahnya, Anggail daripada mangsa penculikan Sinuhi.
Anggail turut mewariskan sebilah hayang yang digunakan untuk membelah empat tengkorak Sinuhi kepada Kumalu yang kini digunakan untuk upacara 'Angkukui' di dalam persembahan kebudayaannya.
"Ngayau bukan budaya kami. Kami tidak ada pilihan, sama ada membunuh atau dibunuh. Inilah peringatan paling berharga buat kami kerana kalau tidak ngayau, mana ada lagi keturunan kami. Saya pun tidak ada," ujar Kumalu secara jujur yang menerangkan masyarakat Murut kini adalah masyarakat yang berbudaya dan berpekerti tinggi.
Kisah ini diriwayatkan oleh KK Angkaus Bin Ansawang, 63, yang berasal dari Kampung Sumantakawan dan kini bertugas sebagai Wakil Ketua Anak Negeri di Nabawan. KK Angkaus menetap di Kampung Bahagia II, Nabawan sejak tahun 1970. Cerita ini diwarisi daripada bapa saudaranya, Anggail yang mewarisi cerita tersebut daripada Mantauv.
Sumber:
http://anakansabah.blogspot.my/2010/04/legenda-tengkorak-berludah-nabawan.html