Khamis, 17 November 2016

Tun Fatimah

Salam Malam Jumaat,


Tun Fatimah adalah seorang serikandi Malaysia yang terkenal dan merupakan anaknda perempuan kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Terkenal sebagai serikandi wanita tersohor, Tun Fatimah amat handal dalam seni persilatan serta menggunakan senjata seperti keris dan lembing. Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir ialah anak Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali dengan Tun Kudu. Beliau telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah selepas kesemua adik-beradik lelaki beliau dihukum bunuh kerana difitnah oleh kalangan orang istana sendiri.

Tun Fatimah sudahpun berkahwin dengan Tun Ali/Hassan apabila Sultan Mahmud cuba memperisterikannya. Disebabkan fitnah, Sultan Mahmud telah memerintahkan hukuman bunuh kesemua ahli keluarga Tun Fatimah termasuklah kekandanya Bendahara Tun Mutahir serta suaminya Tun Ali/Hassan.

Sultan Mahmud yang menyesal selepas menyedari fitnah tersebut akhirnya berkahwin Tun Fatimah. Beliau juga merupakan Permaisuri Johor pertama yang membawa gelaran Permaisuri Tun Kudu.
Tun Fatimah melahirkan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri, di antaranya adalah Raja Ala'uddin @ Muzzafar Shah @ Kamal Amirul Ar'Rashid ibni Sultan Mahmud Shah 1499 - 1601(Raja Muda Mahkota Melaka) dan Raja Raden Ali yang memerintah Johor sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun.

Tun Fatimah mempunyai beberapa orang anak:
Raja Ala'uddin @ Muzzafar Shah @ Kamal Amirul Ar'Rashid ibni Sultan Mahmud Shah 1499 - 1601(Raja Muda Mahkota Melaka)
Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah 1513 - 1564(Sultan Johor ke-2)
Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah
Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah

Kisahnya turut diabadikan dalam filem Tun Fatimah. 

Walaupun tidak banyak diceritakan mengenai Tun Fatimah dalam jasanya mempertahankan Melaka daripada penjajahan Portugis bersama-sama dengan Bendahara Tun Perak, sehinggakan orang Portugis pada masa itu lebih takutkan kepada Pemaisuri ini daripada Sultan pada masa itu. Selebihnya kita hanya mampu menonton kisah Tun Fatimah di dalam layar perak hitam putih.


Khamis, 10 November 2016

Lagenda Tasik Chini

Salam Malam umaat,


Kisah naga terlalu sinonim dengan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera iaitu Tasik Chini. Beratus tahun telah berlalu, namun lagenda ini masih terus melingkari penduduk setempat.

Pelbagai kisah telah diceritakan berkaitan misteri ini.. antaranya

Kisah 1

” Peneroka Felda Chini 2, Bahasan Abdullah,51, berkata kewujudan naga di Tasik Chini memang benar kerana dia sendiri pernah melihatnya pada 1986.Walaupun mungkin ada menganggap apa yang dikatakannya itu sebagai dongeng, tetapi peristiwa yang berlaku dalam hidupnya membuktikan sebaliknya. “Ketika itu, saya mengangkat jaring ikan di kawasan Laut Gumum tetapi tersangkut ular besar di situ dan berhasrat membebaskannya.

“Bagaimanapun, selepas melihat ular itu seperti melawan, saya kemudian menetak kepalanya hingga terkulai mati. “Saya meletakkan ular itu dalam sampan dan terkejut kerana melihat darahnya seperti darah manusia, begitu banyak dan kemudian mencampakkannya ke tasik,” katanya.

Bahasan berkata, ketika bahagian hujung jaring diangkat, seekor lagi ular daripada spesies sama tersangkut di situ dan dia juga turut membunuh ular berkenaan. Katanya, ketika menaiki sampan menuju ke pangkalan bot pada kira-kira jam 10 pagi, secara tiba-tiba dia melihat tiga lengkungan badan naga yang sangat besar muncul di permukaan air.”Walaupun jaraknya jauh dan hanya beberapa minit, tetapi saya melihat jelas badan naga berwarna hitam itu sangat besar dan ombak yang terhasil juga sangat kuat. “Ketika itu, dua lelaki Indonesia yang sedang mandi di tepi tasik itu turut melihat kejadian itu dan bergegas naik kerana ombak terlalu kuat,” katanya.Bahasan berkata, sekembalinya ke rumah, kepalanya berasa gatal dan pada hari ketiga, kesan gatal di kepala itu akhirnya menjadi seperti debu.

“Tidak lama kemudian, seluruh badan saya menjadi lemah dan dijangkiti penyakit seperti kudis melepuh berair yang berbau hanyir.”Lebih 30 bomoh saya temui di seluruh negara untuk mengubat penyakit misteri ini tetapi gagal, malah saya pernah dimasukkan ke hospital selama 20 hari pada 1988 tetapi doktor mengesahkan saya tidak berpenyakit,” katanya. Bahasan berkata, penyakit itu turut menyebabkan isterinya lari meninggalkannya. Katanya, seorang bomoh di Terengganu yang ditemuinya memaklumkan penyakit itu hanya akan sembuh dengan usaha dirinya sendiri.

“Saya menderita penyakit ini selama 13 tahun dan hanya sembuh selepas saya nekad pergi semula ke kawasan saya menemui ular itu dulu.”Saya berdoa pada Allah dan mengambil air Tasik Chini yang dicampurkan dengan tanah tasik, kemudian disapu ke seluruh badan. “Rawatan itu saya buat setiap hari dan bersyukur akhirnya sembuh juga tetapi kenangan itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya yang mungkin terkena sumpahan naga di situ,” katanya.”


Kisah 2

Berdasarkan cerita rakyat, seekor naga besar dikenali Naga Seri Gumum, dikatakan menghuni Tasik Chini dan kisah itu turut dipaparkan pada papan tanda besar yang diletakkan di Tasik Chini Resort untuk dibaca pelancong yang datang ke situ.Menurut cerita orang tua-tua, satu ketika dahulu, sekumpulan Orang Asli suku Jakun datang ke kawasan hutan tebal, lalu meneroka dan membuka tanah di situ untuk bercucuk tanam.

Pada satu hari, ketika kumpulan Orang Asli itu berkumpul untuk bercucuk tanam, tiba-tiba muncul seorang wanita bertongkat dan memberitahu, tempat berkenaan adalah miliknya dan mereka perlu meminta izin sebelum menerokanya. Bagaimanapun, wanita itu akhirnya mengizinkan mereka membersihkan kawasan itu selepas Tok Batin meminta maaf dan bagi menguatkan tuntutannya, wanita berkenaan mencacakkan tongkatnya di tengah kawasan yang diterokai itu sambil memberi amaran supaya tidak mencabutnya sebelum dia menghilangkan diri. Kumpulan itu terus bercucuk tanam sehingga tiba-tiba mereka diganggu dengan salakkan anjing di pinggir kawasan yang dibersihkan.

Seorang daripada mereka mengambil keputusan untuk mencari puncanya dan terkejut apabila mendapati bunyi salakkan itu datang daripada sebatang kayu hitam besar yang lapuk. Lalu dia membaling tugalnya (kayu tajam untuk membuat lubang tanaman) ke arah batang kayu itu dan terperanjat apabila melihat darah memancut keluar daripada kayu hitam berkenaan. Dengan gementar dia terus berlari dan menceritakan hal ganjil itu kepada rakannya, tetapi rakan²nya tidak mempercayainya.

Ketika itu juga awan hitam menyelubungi angkasa, diikuti guruh dan kilat sebelum hujan lebat. Kumpulan Orang Asli itu berpecah sambil bertempiaran lari mencari perlindungan dan dalam keadaan kelam kabut, seorang daripada mereka mencabut kayu yang dicacakkan wanita tadi. Ketika itu serta merta air memancut keluar daripada lubang itu, bumi mula bergegar dan membenamkan kawasan yang dibersihkan tadi dan takungan air hujan itu menjadi sebuah tasik dikenali sebagai Tasik Chini.

Dongeng orang tempatan mengatakan kayu itu adalah jelmaan seekor naga dikenali sebagai Naga Sri Gumum dan kawasan alur yang terdapat di sekitarnya adalah kesan laluan Orang Asli dahulu ketika cuba menyelamatkan diri. Cerita lagenda itu menjadi buah mulut daripada masyarakat dahulu sehingga sekarang walaupun Tasik Chini itu seluas 12,565 hektar termasuk kawasan hutan sekitarnya sudah melalui proses pembangunan sehingga menjadi tempat rekreasi yang menarik. Kawasan Tasik Chini mempunyai 12 laut mengelilinginya iaitu Laut Gumum, Pulau Balai, Chenahan, Tanjung Jerangkung, Genting Teratai, Mempitih, Kenawar, Serodong, Melai, Batu Busuk, Labuh dan Jemberau.


Kisah 3

BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang. Namun bagi Tok Batin Kampung Tanjong Puput, Bahrain Sunta, 54, dia tidak pernah melihat dengan matanya sendiri kelibat sang naga yang disebut-sebut itu. Yang dia tahu, ada yang memanggil haiwan itu Seri Gumum, Seri Pahang, Seri Pekan atau Seri Daik.

Bagaimanapun, katanya, tidak menyaksikannya sendiri bukan bermakna dia tidak mempercayai legenda itu. ”Saya memang tak pernah jumpa (naga). Tetapi saya percaya ia wujud. Kalau disebut naga, itu betul, harus percaya walaupun tidak melihatnya dengan mata sendiri.

“Anak saya pernah ternampak seekor naga pada tahun 2000. Katanya dia tengok badan dan kepalanya. ”Empat tahun kemudian, seorang anak kecil nampak naga itu meluru dengan muncungnya menghala ke arahnya. Apabila anak itu menjerit, kelibat makhluk itu terus hilang.

“Budak itu ceritakan kepada kami tentang mukanya yang sebesar kepala lembu. Menakutkan! Anak itu trauma sampailah demam,” kenang Bahrain.

Malah sebelum itu, ketua keluarga di Tanjong Puput ini sudah banyak kali menyaksikan penduduk kampung lari lintang-pukang kononnya ternampak makhluk misteri itu. Mengakui mendengar kisah itu daripada nenek moyangnya melalui penceritaan dari mulut ke mulut, Bahrain turut menggunakan pendekatan yang sama terhadap anak-anaknya.

“Ia diperturunkan sebagai satu sejarah. Tujuannya ialah supaya anak-anak berhati-hati ketika menghampiri air,” ujar bapa kepada 12 orang anak yang berumur antara 10 hingga 30 tahun ini.
Bahrain tidak pula menganggap mereka yang mendakwa pernah melihat naga itu sebagai memiliki kelebihan atau keistimewaan.

“Sudah nasib mereka untuk jumpa naga itu. Saya percaya ada orang tertentu saja yang boleh nampak, bukan semua orang. Tetapi mereka tidak ada kelebihan apa-apa berbanding orang lain,” kata Bahrain. Penduduk kampung juga tidak pernah risau memikirkan tentang sang naga.

“Ia bukan ancaman untuk kami. Belum pernah lagi ia mengganggu kami. Hanya sekali-sekala dilihat di permukaan air,” sambungnya.

Menurut Bahrain, tiada sebarang upacara dibuat untuk ‘mententeramkan’ haiwan itu, jauh sekali memujanya. Yang pasti, penduduk Tanjung Puput hidup seperti biasa, jauh daripada ketakutan terhadap seekor naga yang entahkan ada entahkan tidak.

Bahrain berkata, sudah ada antara anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. ”Seorang sudah habis belajar dan sekarang menjadi pengurus Risda di Sungai Terpai, Pahang. ”Ada juga yang sedang belajar di Universiti Putra Malaysia,” jelas Bahrain. Namun dia juga mengakui ramai anak kampung yang tidak lagi menyambung pelajaran selepas tamat sekolah menengah.

Pandangan dilempar ke pondok terbuka bersebelahan. Sekumpulan wanita sedang asyik meraut batang kayu renyah, gedomba dan relung untuk menghasilkan sumpit. Sima yang merupakan isteri Bahrain, cukup bersahaja melakukannya.

“Inilah aktiviti kami setiap hari. Yang perempuan buat kerja-kerja kraf atau masuk ke hutan mencari produk hutan. ”Yang lelaki masuk ke hutan untuk berburu atau ke laut mencari ikan,” katanya yang menjelaskan perkataan laut sebenarnya merujuk kepada bahagian-bahagian tasik di sini.

Kemas dan halus saja buatannya. Mengukir motif daun bertangkai untuk menghiasi hasil kraf itu, Sima berkata setiap wanita boleh menyudahkan dua batang sumpit dalam sehari mengikut kemahiran masing-masing. Alat yang suatu ketika dahulu dihasilkan sebagai senjata kini lebih cenderung dijadikan alat perhiasan. Jika dahulu ia terdiri daripada kayu sepenuhnya, kini bahagian dalamnya sudah berlapik besi.

“Dulu kami dapatkan sumber sepenuhnya dari hutan. Namun sekarang kami beli hampir separuh daripadanya dari pekan,” ujarnya yang menambah, barangan yang dihasilkan dijual sehingga ke pasaran Indonesia manakala harganya ditentukan mengikut kepanjangnya. Selain sumpit, mereka turut membuat bekas pensel dan perahu kecil untuk mainan kanak-kanak.

Langsung tidak membuatkan kami berasa jauh di pedalaman, Sima mudah saja berkongsi bahawa legenda naga tidak banyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Lima keluarga yang dianggotai lebih lapan orang setiap satunya meneruskan hidup di kampung ini tanpa rasa terhimpit dengan legenda yang masih ‘bernyawa’ itu.

Di sebuah lagi pondok terbuka, tiga orang wanita muda sedang rancak bermain batu seremban atau selambut. Membaling-balingkan bungkusan kecil pasir ke udara, kedengaran gelak tawa mengekek penuh keseronokan. Namun, tatkala kami menghampiri, masing-masing mendiamkan diri. Mungkin malu agaknya.


Kisah 4
Sebuah lagi lagenda Tasik Chini adalah berkenaan kota purba Khmer (Thai-Kampuchea) yang tenggelam di situ. Misteri ini mungkin akan diperjelaskan tidak lama lagi setelah penemuan beberapa artifak yang seakan-akan buatan Khmer purba, serta kemungkinan tapak asas binaan di dasar Tasik Chini ketika penyelidikan dijalankan baru-baru ini. Ramai juga membuat spekulasi mengenai pokok teratai di situ, kerana teratai adalah sebahagian unsur kebudayaan purba di Asia Tenggara yang didominasi agama Hindu serta Buddha – tambahan pula di lain-lain tasik di seluruh Malaysia, tiada teratai yang tumbuh secara semula jadi. Ada yang berpendapat bahawa teratai Tasik Chini tumbuh meliar lanjutan teratai yang dahulunya disemai oleh penghuni kota Tasik Chini yang tenggelam.


Keindahan di Tasik Chini dengan bunga teratai.


Lagenda ni pernah diadaptasi ke layar perak. Jikalau nak tengok boleh cari di youtube dengan nama tajuk diatas. Mesti ada punya la.

Badang



Salam Malam Jumaat,

Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik sekarang dikenali sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.

Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja. Setelah selesai sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi di dalam upih pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam, nasi sebungkus itu habis dimakannya.

Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain."

Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.

Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam.

Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal. Badang bertambah hairan.

"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.

Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa seram.

Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan.

"Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu.

Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu.

"Baiklah! Aku mahu jadi gagah perkasa," kata Badang.

"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba," kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan.

"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut putih.

"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada pandangan Badang.

"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.

Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak suruhan.

Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling.

Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya.

Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya. Dia lalu membawa batu itu ke hadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.



Khamis, 3 November 2016

Salam Malam Jumaat semua,

Selang beberapa bulan saya menghilang, akhirnya saya kembali semula. Bekerja tapi kerja mengalahkan hamba abdi. Semua apa yang saya suka semuanya tidak mempunyai perasaan langsung dan saya mulai melalui depression. Apa-apa yang kita buat tak dapat menrasai kebahagian sebalinya hati yang pilu sahaja. Sekarang ni saya kembali dimana saya akan happy dah memadai.

Saya akan berterusan berkongsi infomasi dan lagenda. Saya akan cuba mendapatkan cerita pengalaman seram bukan mana-mana link mahupun blog. Saya akan cuba memberikan peluang kepada member group saya di fb. Sekurang-kurangnya ada banyak bahan yang bakal kongsikan pada setiap malam Jumaat.

Terima kasih dengan memberikan sokongan dan bersabar menantikan bahan baru. Saya akan cuba memberikan bahan pada setiap malam Jumaat.