Khamis, 21 Julai 2016

Kepercayaan 'Labus'

Salam Malam Jumaat,



Sebelum kedatangan mubaligh Kristian pada sekitar tahun 1950-an, satu-satuya kepercayaan suku kaum Momogun Rungus ialah kepercayaan animisme. Mereka menyebut kepercayaan ini sebagai agama Labus (disebut Labvus).

Menurut agama ini apabila bangsa Momogun dianiaya atau dijajah oleh bangsa lain maka akan berlaku malapetaka yang tidak pernah terjadi seperti serangan penyakit dan fenomena alam kepada sesiapa yg melakukannya terhadap Momogun. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk sebagai wasiatnya kepada Momogun.

Agama Labus adalah satu agama yang diasaskan oleh Bobolizan Guraumanuk. Dia menamakannya sebagai agama Labus yang bermakna:
AGAMA – berasal dari bahasa Rungus boleh dilakukan

‘A’ - boleh
‘Gama’ - buat / lakukan 

LABUS – bermakna keluar/lepas dalam bahasa Rungus

Ringkasnya,agama Labus bermaksud satu set hukum momogun yang boleh dilakukan untuk melepaskan mereka dari hukuman, laknat, sumpahan atau murka dari tuhan.

Menurut Bobolizan Gomburon dan Guraumanuk, manusia ini pada asalnya adalah dewa. Setelah dihasut oleh Rogon iaitu anak Kinoringan Mamangun sendiri, manusia yang ketika itu adalah dewa telah ikut serta merebut takhta Kinoringan. Maka akhirnya Pomogunan Tavanus (Syurga) telah huru hara dan Kinoringan mematahkan bala tentera Rogon dan menjatuhkan hukuman kepada pengikut-pengikutnya. Manusia yang termakan kata-kata Rogon pada mulanya dipanggil sebagai Rumandavi (dewa) kini dipanggil Riniba(manusia). 
Riniba diambildari kata ‘SIBA’ bermaksud rendah.Riniba bermakna makhluk ciptaan Kinoringan Mamangun yang telah direndahkan statusnya.

Untuk mengelakan kutukan dari Kinoringan terhadap mereka yang mengkhianati kemuliaan hati-Nya, maka wujudlah agama Labus yang diturunkan kepada Bobolizan Guraumanuk untuk menggantikan hukuman keras yang diwartakan oleh Bobolizan Gomburon.

Agama Labus yang diwartakan Bobolizan Guraumanuk ini menghapuskan hukuman mati seperti memasukkan pesalah yang membunuh orang ke dalam bubu dengan batu lalu dibuang ke dalam laut (hukum gomburon) dengan setiap kesalahan orang momogun boleh dibayar dengan mengorbankan haiwan ternak seperti ayam (nilai ayam bergantung kepada warna hitam / putih. Warna lain tidak diterima), atau kesalahan besar korbankan khinzir atau kerbau.

Setelah pihak British menjajah kepulauan Borneo, barulah agama lain wujud di kalangan masyarakat Momogun Rungus. Menurut sumber yang boleh dipercayai, agama suku kaum Rungus yang pertama dianuti ialah agama Kristian dari denominasi Protestan. Menurut sejarah gereja berkenaan, pada tahun 1953 para penginjil (diketuai oleh Missioner Bienz) dari Jerman datang ke kawasan Kudat untuk memberitakan injil tentang Jesus Christ (Nabi Isa). Pada masa kini, 90% dari suku kaum Rungus adalah beragama Kristian denominasi Protestan,5% dari Kristian mazhab lain dan selebihnya beragama Islam akibat daripada perkahwinan campur .


Walau bagaimanapun, agama Labus masih diamalkan oleh sebilangan warga Momogun Rungus yang berada di kawasan pedalaman bagi menghormati semangat Lumaag yang menjaga bangsa Momogun sejak turun-temurun.


Lumaag Nabalu menjaga Gunung Kinabalu
Alexander Marcellinus (2007)
Upacara Mamasi & Managas

Agama Labus mempunyai kalender sendiri. Dalam agama Labus tahun ia bermula sebagai pesta kaamatan/kokotuan ialah bulan satu. KAAMATAN adalah tahun baru pada asalnya jika menurut agama Labus.Tahun ini ialah tahun ke-11 dalam agama labus. Kitaran tahunnya adalah 100 tahun. Selepas 100 tahun, maka bermula lagi ke tahun 1 dan demikianlah pusingannya seterusnya.

Ada dua perkara yang penting semasa 100 tahun dalam kalender agama Labus iaitu upacara Mamasi dan upacara Managas.

Upacara Managas

Upacara Managas sudah 200 tahun tidak dijalankan. Ini kerana penangkapan British terhadap Aki Tumanggung Karantud di Kudat. Upacara itu dihalang pihak British kerana upacara itu bercanggah dengan undang-undang British. Managas adalah satu upacara penyucian negeri Sabah yang dilakukan oleh nenek moyang Momogun Rungus sejak di Nunuk Ragang pada zaman purba lagi, ia adalah satu upacara korban. Korban Managas bertujuan menyucikan segala dosa manusia dan sesiapa yang berbuat jahat akan ditimpa wabak penyakit dan pelbagai malapetaka.

Berikutan gagalnya upacara Managas oleh Aki Tumanggung Karantud maka British terpaksa berpindah di Sandakan kerana wabak penyakit dan pelbagai masalah menimpa pihak British. Penyakit malaria, tibi, cacar dan kolera menyerang Kudat dengan luar biasa pada waktu itu kerana upacara Managas gagal dijalankan. Ramai pegawai British menjadi mangsa disebabkan penyakit itu.

Untuk memanggil semangat Lumaag yang menjaga Gunung Kinabalu, maka upacara memalu gong selama 40 hari 40 malam perlu dijalankan dengan tujuan membawa kesejahteraan kepada bangsa Momogun. Upacara Miagung atau Mitogunggu ini dilakukan dalam kes-kes darurat sahaja sama ada darurat politik, ekonomi atau sebagainya.

Upacara Miagung ini dilakukan oleh kaum lelaki iaitu memalu gong selama 40 hari 40 malam secara berterusan manakala upacara Komburongoh dijalankan oleh kaum wanita dengan membakar Komburongoh dalam dupa persembahan. Seorang bobolizan rovusan yang layak akan mengendalikan upacara ini.

Upacara Managas ini dilakukan kerana dosa-dosa zina, curi, penipuan, pembunuhan dan segala bentuk dosa-dosa manusia yang dilakukan dalam tempoh 100 tahun sebelumnya.
Managas bermakna "melupuskan hutang dosa".Mengikut adat dan pantang larang dalam upacara Managas ,ia haruslah dilakukan dengan mengorbankan seorang manusia yang masih teruna atau perawan yang dibeli dari saudagar Brunei dan Sulu. Upacara ini bertujuan untuk melindungi segala kesalahan bangsa. Korban haruslah teruna atau perawan. Jika korban itu tidak suci, maka akan berlaku malapetaka yang dashyat kepada pembekal korban tersebut. Dalam upacara managas manusia yg menjadi korban tidak boleh disebut orang atau manusia tetapi haruslah disebut sebagai sada tagazo atau panagas.

Disebabkan perbuatan dosa manusia maka korban teramatlah penting. Darah korban ternak hanya mampu menutupi segalah dosa manusia dalam tempoh 50 tahun dan selepas itu pelupusan hutang dosa harus dibayar dengan nyawa manusia melalui titisan darah korban managas.

Upacara Mamasi

Upacara mamasi bermakna "menyuburkan perjanjian managas" yang dilakukan 50 tahun lalu. Ia adalah satu upacara mengingatkan kepada Lumaag bahawa perjanjian itu masih terus dipegang. Dengan memercikkan darah korban di bumi,maka perjanjian telah diperbaharui. Upacara Mamasi dilakukan pada tahun ke-50 oleh bobolizan rovusan dan korban yang digunakan ialah khinzir. 

Setelah perjanjian diperbaharui, maka tiada bencana alam dan penyakit yang akan menimpa Momogun.

Kedua upacara ini dilakukan bagi menebus dosa-dosa dalam tempoh kitaran 100 tahun. Jika bangsa Momogun ditindas dan dianiaya dalam pelbagai bentuk semasa Momogun tiada pemimpin mereka, maka Lumaag akan melangkahi bumi Momogun dan akan menaburkan segala bentuk malapetaka. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk dalam wasiatnya.

Menurut Bobolizan Guraumanuk, inilah perjanjian kesejahteraan bagi bangsa Momogun dan jika suatu hari nanti bangsa Momogun dianiaya oleh bangsa lain maka akan berlaku satu malapetaka yang menimpa dunia sehingga berakhir dengan lxunsuton (gempa bumi), darun monirang dan lxusuvon.Hal ini disamakan sebagai hari kiamat. Lxunsuton adalah gempa bumi yang akan menghancurkan dunia pada masa akan datang sementara lxusuvon adalah kiamat yang berlaku pada zaman purba. Walaupun demikian, lxusuvon akan berlaku juga pada masa akan datang disertai lxunsuton bagi mengakhiri riwayat dunia ini.

Upacara ini ditinggalkan sahaja pada hari ini dan tidak pernah dilakukan lagi berikutan ramai orang Momogun yang telah menjadi Kristian. Upacara ini ditentang habis-habisan oleh pihak British sehingga akhirnya Aki Tumanggung Karantud ditangkap dan dihukum buang negeri oleh British.






sumber : www.sabah.edu.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan