Khamis, 12 Mei 2016

Tadau Kaamatan

Salam Malam Jumaat,

Upacara pembukaan perayaan Tadau Kaamatan yang dilaksanakan oleh Bobolizan dan Bobohizan.
30 dan 31 May sungguh bermakna bagi Sabahan dimana satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Kadazan-Dusun. Ia adalah perayaan yang diadakan selama 2 hari. Pesta Kaamatan atau nama lain Tadau Kaamatan ataupun di dalam bahasa Kadazan “Magavau” merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amaan tradisi kaum Kadazan-Dusun sejak zaman-berzaman. Perayaan “Magavau” diadakan selepas selesai menuai padi.

Pesta Kaamatan yang dirayakan ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephen, ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan yang menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dikenali “Sugandoi”, pertunjukkan bina badan, gusti lengan, ratu cantik atau “Unduk Ngadau” dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi acara utama dalam perayaan ini.

Antara hidangan pupolar semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau “Kinomoi”, iaitu sejenis arak traditional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka yang diperbuat sama ada daripada beras (nasi) ataupun ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau “tajau” selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama 2-3 minggu. Biasanya tapai dicampurkan dengan ragi untuk mempercepatkan proses “memberi rasa” kepada tapai tersebut. Makanan traditional turut disediakan sempena hari berkenaan.

Mereka mengunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil “Sumbiling” untuk menyedut air  tapai daripada tajau. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan “Singgarung” yang diperbuat daripada buluh.

Padi masak kekuningan menandakan perayaan Pesta Kaamatan bakal diadakan pada bulan 5. Ia merupakan perayaan menyambutnya sebagai kesyukuran dengan tuaian padi.


Asal usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazan Dusun. Walau bagaimanapun ia tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinorohingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dikorbankan dan mayatnya disemadi menurut istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian daripada mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambarayon".

Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum itu mengenai asal-usul serta pencipta mereka - Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya - Humindoun untuk menyelamatkan mereka daripada mati kebuluran.

Pesta Kaamatan tidak akan lagi meriah lagi jika tiada pertandingan Unduk Nadau diadakan. Apabila ia dinanti-nantikan sekali apabila setiap daerah di Sabah akan mengantar wakilnya termasuk juga yang berada di Kuala Lumpur dan Penang. Asalkan yang mengikuti itu daripada berkaum Kadazan dusun mahupun Sino. 

Unduk Ngadau

Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun. Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun. Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang yang pertama mengajar Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang.


Semenjak itu perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun. Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau akan diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan.

Ia menjadi adat dimana Tapai akan diminum iaitu arak yang diperbuat daripada beras. Ia hanya diminum buat mereka yang bukan beragama Islam sahaja. Ia teramat digalakkan buat pelancong asing untuk mencubanya dengan meminum terus daripada tajau dan buluh seperti straw. 

Bagi memperingati maka perayaan Tadau Kaamatan diadakan selain daripada memberikan kesyukuran terhadap hasil tuaian padi. Bukan sahaja ia diraikan buat mereka masih mengamal kepercayaan anisme malah juga mereka yang sudah memeluk agama lain. Ia adalah salah satu adat yang dipegang teguh walaupun berlainan agama sekalipun asalkan amalan yang dipegang itu tidak lari daripada ajaran agama yang dianuti. Perayaan ini dapat mengeratkan perhubungan semasa keluarga dimana ahli keluarga akan berkumpul, menanya khabar mahupun mengeratkan hubungan yang baik dengan sanak-saudara.


Ia satu-satunya perayaan yang disambut terutamanya Sabahan tak mengira tempat mahupun negeri sekalipun. Bagi mereka yang Kadazan-Dusun, mereka boleh menyambut dimana sahaja mereka berada apabila ia adalah salah satu daripada adat mereka ini. Tak kisah berlainan pegangan agama sekalipun, adat itu sesuatu yang patut dihormati dan dibangga sekali.
Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan buat semua Sabahan. Kotobian Tadau Tokozudo Kaamatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan