Salam Malam Jumaat semua,
Pada malam ini saya akan berkongsi sebuah lagi cerita urban legend daripada Jepun mengenai Resort Ski.
Ia adalah cerita misteri mengenai seorang pemuda yang pergi berski dan menemui sorang wanita yang memerlukan pertolongan.
Terdapat seorang pemuda yang suka berski. Pada musim salju, dia mengambil keputusan untuk bermain ski di sebuah resort ski. Dia pergi ke sana pada hari biasa, maka tidak ramai pengunjung di sana. Dia beranggapan ia adalah peluang keemasan untuk bermain ski tanpa sebarang gangguan.
Dia mengenakan peralatannya dan mulai berski ke bawah cerun. Dia dalam keadaan gembira apabila dengan tiba-tiba dia terdengar bunyi mengerang. Kedengaran seperti datang dari hutan pada hujung cerun ski.
Pemuda itu menjadi risau, seperti ada seseorang di dalam masalah. Ada kemungkinan orang itu tercedera atau memerlukan pertolongan. Apabila dia mendekati, dia boleh mendengar dengan jelas suara seorang wanita menjerit, "Tolong! Tolong Saya!"
Dia terus menuju ke arah suara berkenaan yang berada di bahagian dalam hutan dan dia berada di sebuah kawasan lapang, dia terlihat seorang wanita meminta pertolongan. Kelihatan separuh tubuh wanita itu tertanam dibawah salji. Hanya bahagian tubuh badan atas sahaja kelihatan seakan wanita itu termasuk ke dalam lubang dan tidak dapat keluarkan dirinya.
"Saya datang menyelamatkan kamu!" kata pemuda itu.
Dengan seluruh tenaganya, pemuda itu menarik tangan wanita tersebut keluar.
"Huh?" terkedu pemuda itu.
Wanita itu terasa ringan daripada apa pemuda itu sangkakan, apabila dia boleh menarik wanita tersebut dengan mudah sekali. Akan tetapi, ada sebab mengapa tubuh wanita itu terasa ringan sekali.
Pemuda itu memandang ke bawah, dia menyedari bahagian bawah wanita itu tiada. Malah di bawah wanita itu tidak mempunyai lubang sebaliknya longgokan salju sahaja.
Pemuda itu memandangnya penuh dengan ketakutan yang teramat sekali, wanita itu mulai tersenyum dan membuat suara ketawa yang mengerikan serta menyeramkan.