Kisah Batu Belah Batu Bertangkup merupakan sebuah kisah lagenda yang
terkenal buat masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia. Ia meceritakan tentang
kisah sepasang suami isteri yang miskin, Si Kantan (suami) dan Si Tanjung
(isteri) yang dipercayai menetap di Bukit Berapit, kira-kira sebatu dari
Pangkalan Kapar, Klang. Mereka berdua menyara hidup dengan mengambil upah
menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan
sebagainya sehinggalah berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.
Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. ketika
sedang asyik memetik daun cemperai, mereka terdengar akan suara yang kuat lagi
menggerunkan. Si Kantan memberitahu kepada isterinya bahawa itulah gua Batu
Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya suatu ketika
dahulu. Selang beberapa tahun kemudian, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata,
seorang anak perempuan Si Bunga Melur namanya dan seorang lagi anak laki-laki
Si Pekan gerangannya. Namun, sayang Si Kantan telah meninggal dunia sewaktu
anak-anak mereka masih kecil, ini menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan
hilang tempat bergantung.
Pada suatu hari, Si Tanjung telah berjaya mengail seekor ikan tembakul
sementelah dia mengidam telur ikan tersebut. Disuruhnya Si Melur merebus telur
ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya
diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan
menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga
memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Si Melur mendapat sebiji telur
ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Perbuatan Si Pekan
membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan amat terkecil hati.
Tanpa memikir panjang dan membuat keputusan terburu-buru, Si Tanjung
akhirnya lari meninggalkan rumah, sambil memanggil-manggil nama "Batu
Belah Batu Bertangkup" untuk memakan dan menelannya. Walaupun dirayu belas
kasihan dengan tangisan oleh Si Bunga Melur yang terus berlari sambil mendukung
Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu
gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Si Melur pun jatuh pengsan.
Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur sedang bermimpi didatangi seorang tua
menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya. Sebaliknya disuruh
mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta membawa telur ayam
yang mahu dibuat lauk ibunya itu. Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya
dan membakar sehelai daripada rambut ibunya setiap kali hendak tidur. Si Melur
mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga sampai ke
rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara mereka.
Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama menyuruh
dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.
Si Bunga Melur dan adiknya Si Pekan meneruskan perjalanan sehingga tiba di
Kampung Bukit Perah Lantan, mereka menemui Tok Batin yang melayani mereka
dengan baik. Malam itu Si Pekan menangis tanpa henti walaupun dijampi Tok Batin
sehinggalah dikalungkan dengan sekeping besi kuning di lehernya. Keesokan
harinya Si Bunga Melur meneruskan perjalanan ke Kampung Bukit Kapar dan
menumpang bermalam di rumah keluarga seorang petani dan tinggal di situ
beberapa malam. Petani itu menceritakan kepada Si Bunga Melur tentang kegemaran
Ratu Jayang Sakti menyabung ayam.
Tinggal satu kampung lagi untuk dituju. Si Bunga Melur dan adiknya
meneruskan perjalanan dan tiba di Kampung Kerayung Tamarulan, di sini mereka
bertemu dengan Nenek Kebayan yang tertarik dan bersimpati dengan penderitaan
mereka berdua. Pada malam itu, Si Bunga Melur sekali lagi bermimpi didatangi
orang tua yang sama. Kali ini menyuruh Melur meletakkan telur yang dibawa itu
ke dalam sangkar ayam di belakang rumah. Tujuh hari lagi telur itu akan menetas
dan peliharakanlah anak ayam itu sebaik mungkin. Orang tua itu meramalkan Si
Pekan kelak akan menjadi juara ayam tersohor dan meminta Si Bunga Melur
meletakkan besi kuning kalung Si Pekan ditaji ayam apabila hendak bersabung
kelak.
Beberapa tahun telah berlalu kedua-dua mereka telah meningkat remaja. Si
Bunga Melur kelihatan begitu cantik dan pandai mengubah bunga serta annyaman
lain untuk dijual oleh Nenek Kebayan sementara Si Pekan sentiasa menang di
gelanggang sabung ayam. Kemasyurannya sampai kepada pengetahuan Ratu Jayang
Indera Sakti, raja negeri tersebut. Akhirnya Si Pekan diundang bersabung dengan
ayam raja di istana. Bertemu ayam Jalak Bukit Berapit kepunyaan Si Pekan dengan
ayam raja. Pertaruhannya, Si Pekan akan menjadi hamba raja sekiranya kalah dan
berkehendakkan makanan serta pakaian dari istana jika menang.
Seperti biasa, ayam Si Pekan dapat membunuh ayam raja. Hulubalang dan
bentara diperintahkan membawakan makanan dan pakaian ke rumah Nenek Kebayan. Di
sana mereka terpandang akan kecantikan dan budi pekerti Si Bunga Melur, kakak
Si Pekan lantas apabila pulang mereka pun menyembah maklum kepada Sang Ratu. Si
Bunga Melur diperintahkan ke istana dan raja akhirnya tertawan dengan
kejelitaan dan kesantunan Si Bunga Melur. Si Bunga Melur dikahwinkan dengan
raja lalu diangkat sebagai permaisuri. Pada suatu hari Si Bunga Melur dilihat
raja bermuram durja dan sentiasa termenung. Raja ingin tahu apa yang difikirkan
oleh permaisuri baginda apabila melihat isterinya sedemikian rupa. Akhirnya Si
Bunga Melur pun menceritakan tentang Batu Belah Batu Bertangkup yang telah
menelan ibunya itu. Rombongan raja hadir ke hadapan gua batu tersebut dan raja
sendiri memanah ke dalam gua yang menyeramkan itu. Sejak dari itu tiada
terdengar lagi suara seram dan sebarang pergerakan dari batu tersebut.
Cerita lagenda ini mempunyai beberapa versinya tersendiri daripada Malaysia,
Singapura dan Indonesia. Yang mempunyai persamaan hanyalah batu yang menelan
mangsanya. Kedudukkan Batu Belah Batu Bertangkup berada di Kampung Batu Belah,
Kapar, Klang. Tempat ia sudah tak wujud lagi apabila ia sudah diletupkan untuk
membuat jalan. Lagenda ini pernah diadaptasi kepada filem Melayu hitam putih
pada tahun 1959 yang bertajuk yang sama. Apa-apa sila layari filem klasik ini
yang diadaptasi daripada lagenda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan