Salam Malam Jumaat
NAGA itulah satu makhluk yang amat misteri
bagi seluruh umat manusia di dunia ini sejak dari zaman dahulu lagi. Ini kerana
kewujudannya sering dikaitkan di dalam cerita-cerita legenda atau mitos bagi
setiap bangsa di dunia. Susuk seekor naga pula digambarkan seakan-akan ular
yang panjang, bersisik, berkaki empat dan mempunyai sayap serta berkebolehan
untuk mengeluarkan api dari mulutnya. Inilah yang sering digambarkan oleh
penglipurlara apabila menceritakan tentang sang naga suatu waktu dahulu.
Persoalannya adakah benar naga itu wujud?
Atau adakah ianya hanya salah satu cara penglipurlara menarik perhatian
penontonnya agar terus duduk mendengar ceriteranya. Jika di dalam cerita mitos
masyarakat Cina di seluruh dunia, sememangnya naga itu merupakan satu simbol
untuk menterjemahkan lambang kekuatan dan tuah. Namun begitu sebenarnya
kewujudan naga bukan sahaja digambarkan di dalam cerita legenda masyarakat Cina
mahupun Eropah tetapi ianya juga wujud di dalam cerita legenda di dalam masyarakat
pribumi Sarawak sendiri iaitu dari etnik Penan, Kenyah, Tatau dan juga Melayu
Perabangan itu sendiri sebagai contoh betapa kayanya seni sastera rakyat di
Sarawak Bumi Kenyalang.
1. Naga Di Dalam Etnik Penan
Menurut kepercayaan masyarakat Penan, beratus-ratus
tahun dahulu tinggallah seorang lelaki Penan bernama Beluluk yang pekerjaannya
adalah mencari pokok sagu untuk diproses menjadi tepung sagu di tebing sungai
bernama Sungai Peresek. Pada suatu hari, ketika Beluluk sedang sibuk memproses
sagu untuk dijadikan tepung bersama-sama dengan isterinya dan seorang anak
lelaki tiba-tiba hari yang cerah dan panas terus menjadi mendung dan tiada lagi
cahaya matahari seperti hari-hari sebelum nya malah telah bertukar menjadi
gelap seakan-akan malam.
Melihat kepada kejadian itu, Beluluk yang
merasa tidak selamat dan bimbang akan keselamatan anak dan isterinya telah
bertindak mengarahkan isteri dan anaknya berlari dengan cepat menuju ke
penempatan mereka. Maka berlarilah mereka menyelamatkan diri kerana takut akan
dirasuk oleh roh-roh jahat. Di dalam perlarian itu lah juga si Beluluk sempat
mendongak ke langit dan dia sendiri melihat bagaimana bebola api yang sentiasa
memberikan cahaya di waktu siang ini telah diselaputi oleh gegelang kuning.
Apabila sampai di kawasan penempatan mereka,
Beluluk segera memanggil seluruh warga Penan di dalam penempatan itu berkumpul
dan ternyata bukan Beluluk dan keluarganya sahaja yang merasa ketakutan malah
kesemua warga Penan juga begitu. Mereka duduk pegun sambil berpelukan diantara
satu sama lain dan sekali sekala memandang langit dan keadaan sekeliling.
Di dalam mereka asyik bercerita tentang
kejadian pelik ini tiba-tiba suasana menjadi cerah kembali dan sekali lagi
mereka ini merasa bimbang dengan kejadian ini kerana takut tempat tinggal
mereka akan terus bergelap sehingga menyusahkan mereka untuk memburu di hutan,
menangkap ikan di sungai ataupun membuat sagu yang mana merupakan makanan ruji
masyarakat Penan.
Kebimbangan mereka ini dipanjangkan Beluluk
dan lelaki Penan yang lain kepada ketua mereka iaitu Nyagung. Nyagung bukanlah
sembarangan orang kerana Nyagung juga merupakan dukun yang amat pandai di dalam
dunia mistik.
Beluluk dan penduduk Penan yang lain telah
memohon Nyagung untuk berkomunikasi dengan dunia mistik bagi meminta apakah
caranya untuk memastikan keselamatan mereka kelak apabila hal seperti ini
berulang kembali. Nyagung pun mulalah membuat meditasi hendak berkomunikasi
dengan dunia mistik bagi mencari punca masalah tersebut.
Ketika Nyagung di dalam alam mistik ini, dia
telah mendapat alamat bahawa sebenarnya roh-roh jahat memang suka menyusahkan
masyarakat Penan untuk mencari rezeki.
Dikatakan bahawa roh-roh jahat ini akan cuba
untuk menggelapkan hari siang mereka kerana pada waktu itulah ramai masyarakat
Penan sibuk mencari rezeki. . Mendengar kata-kata Nyagung itu, maka marahlah
Beluluk dan warga Penan pada masa itu dan berazam untuk menentang roh-roh jahat
ini kerana menganggu pekerjaan mereka.
Menurut Nyagung ihanya satu sahaja yang boleh
membantu mereka agar masa siang mereka tidak terus malap seperti malam iaitu
dengan memanggil Naga, Penjaga Alam. Naga ini hanya akan bangun dari tidurnya
sekiranya ada yang menyerunya memohon bantuan. Melalui semburan api daripada
mulut Naga ini, bebola cahaya akan dapat menyinarkan cahayanya kembali dan
tidaklah mereka akan terus berada di dalam kegelapan.
Mendengar kata-kata itu gembiralah Beluluk
dan warga Penan kerana permasalahan mereka mampu dirungkaikan. Sejak daripada
itu dikatakan bahawa masyarakat Penan yang hidup nomad sudah tidak berada di
dalam ketakutan lagi kerana sekiranya berlaku kegelapan di waktu siang, mereka
akan sentiasa membawa kain yang dicelupkan dengan madu dan kemudiannya akan
dijadikan colok dan pembakaran colok ini akan membangunkan Sang Naga daripada
tidurnya dan Sang Naga akan datang membantu dengan menghamburkan apinya ke arah
matahari untuk menyahkan roh-roh jahat yang cuba untuk mengelapkan bebola api
tersebut.
2. Naga Di Dalam Etnik Kenyah
Diceritakan beratus-ratus tahun dahulu telah
datang seorang saudagar dari Tembok Besar China yang bernama Haka. Beliau
merupakan satu-satunya saudagar China yang mampu untuk meredah kepayahan menuju
ke Usun Apau dan berniaga dengan masyarakat Kenyah di situ.
Beliau akan membeli hasil-hasil hutan
daripada masyarakat Kenyah dan kemudiannya akan menjual hasil-hasil hutan
tersebut ke negeri-negeri yang dilalui beliau. Pada suatu hari ketika di dalam
perjalanan pulang daripada Usun Apau dengan berjalan kaki bersama-sama dengan
pekerjanya yang sedang sarat mengangkat hasil-hasil hutan, hujan pun turun
dengan lebatnya dan Haka mengarahkan semua orang-orangnya untuk berteduh di
sebuah gua yang tidak jauh daripada situ. Ketika sedang menunggu hujan teduh
inilah Haka melihat satu cahaya berkilauan di dalam gua tersebut.
Perasaan ingin tahu pun membuak di sanubari
Haka untuk mengetahui apakah gerangan cahaya maka dengan langkah perlahannya
Haka menghampiri arah cahaya itu dan alangkah terkejutnya beliau rupa-rupanya
cahaya yang berkilauan itu adalah cahaya batu permata yang terletak di atas
kepala seekor naga yang sedang nyenyak tidur.
Timbul di sanubari Haka untuk memiliki batu
permata itu dan beliau tahu bahawa batu permata itu mempunyai kesaktiannya yang
tersendiri dan memilikinya sudah tentu akan membuatkan Haka lebih kaya dan
dikenali. Namun begitu beliau tahu mencuri batu permata dari seekor naga
bukanlah mudah.
Apabila hujan teduh, Haka mengarahkan
orang-orangnya untuk memulakan perjalanan mereka menuju ke perahu mereka yang
terletak di Sungai Tinjar. Walaupun ada ralat di hatinya kerana membiarkan batu
permata begitu sahaja namun jauh di sudut hatinya Haka akan mengusahakannya dan
mencari jalan yang sebaik mungkin untuk mendapatkan batu permata tersebut.
Setelah melalui Sungai Tinjar akhirnya Haka
dan orang-orangnya telah sampai di pelabuhan besar yang mana disitu tersedia
kapal milik Haka. Di ketika Haka dan orang-orangnya tengah bersiap sedia untuk
meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya tiba-tiba datanglah satu
bahtera besar yang lengkap dengan perajurit-perajurit daripada China, negeri asal Haka.
Seperti lagak seorang pengembara yang gembira
bertemu dengan saudara dari jauh, Haka pun menyambut kedatangan
perajurit-perajurit dan laksamana dari China dengan ria sekali. Sewaktu jamuan
makan di atas kapal Haka inilah, Haka menceritakan kepada Laksamana tentang
batu permata di kepala seekor naga. Laksamana China amat tertarik dengan cerita
Haka dan kemudiannya setelah mereka berbincang akhirnya Laksamana sanggup
membantu Haka mendapatkan batu permata tersebut dengan sedikit imbuhan.
Haka akhirnya telah membatalkan niat beliau
untuk ke destinasi seterusnya sebaliknya telah mengarahkan agar kapal beliau
untuk melayari Sungai Tinjar dan kembali ke Usun Apau. Hanya kapal Haka boleh
memudiki Sungai Tinjar kerana kapalnya agak kecil berbanding dengan kapal
Laksamana. Setelah kelengkapan disediakan maka mereka pun mula memudiki Sungai
Tinjar menuju ke Usun Apau.
Dipendekkan cerita ketika berlabuh di Sungai
Tinjar, rombongan Haka dan Laksamana China telah dibahagi kepada 2 iaitu 1
rombongan akan bersama-sama menuju ke Usun Apau manakala sejumlah kecil
daripada mereka akan menunggu kapal di Sungai Tinjar. Setelah bersusah payah
melalui pelayaran dengan air dan kemudiannya berjalan kaki meredah hutan untuk
menuju ke gua di Usun Apau akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah
sampai di kaki gua tersebut.
Ketika inilah Haka tercengang-cengang melihat
bagaimana parajurit-parajurit Laksamana China telah mengenakan baju perisai
kalis api. Rupa-rupanya tanpa Haka sedari bahawa parajurit-parajurit Laksamana
China sebenarnya sememangnya sudah bersedia dengan segala kelengkapan tersebut
semenjak meninggalkan Tanah Besar China lagi bagi sebarang kemungkinan ketika
di dalam pelayaran mereka.
Haka amat kagum dan keyakinannya untuk
merampas batu permata di kepala Naga semakin membuak-buak. Setelah siaga
semuanya, akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah masuk ke gua
tersebut. Ketika mereka menghampiri gua tersebut ternyata Naga sedang tidur dan
timbullah idea daripada salah seorang parajurit Laksamana China agar jangan
mengejutkan naga tersebut sebaliknya adalah lebih elok untuk salah seorang
daripada mereka pergi senyap-senyap menghampiri naga yang tidur dan cuba
mencuri batu permata daripada kepala naga yang sedang tidur.
Haka dan Laksamana China pun bersetuju dengan
idea parajuritnya dan akhirnya mengarahkan parajurit tersebut mencuri batu
permata tersebut. Dengan patuh pada arahan, parajurit itu pun menghampiri naga
tersebut dan akhirnya berjaya mencuri batu permata daripada kepala naga
tersebut tanpa naga sedari. Setelah mendapat batu permata tersebut, secara
senyap-senyap rombongan Haka mengundurkan diri ke pintu masuk gua.
Di ketika inilah, Haka dan Laksamana China
beserta rombongan mereka telah ketawa terbahak-bahak kerana mereka gembira atas
kejayaan mencuri batu permata tersebut dengan tidak payah bertarung dengan naga
yang sudah tentu akan menyebabkan korban yang banyak.
Akibat bunyi bising ini telah mengejutkan
naga yang sedang tidur. Naga tersebut telah marah kerana ternyata batu permata
kesayangannya yang terletak di kepalanya juga telah dicuri. Naga itupun
mengamuk dan menghembuskan api daripada mulutnya. Melihat kepada itu, maka
melintang pukanglah Haka dan Laksamana China serta parajurit-parajuritnya
menyelamatkan diri. Naga mengejar mereka sehinggalah ada diantara mereka yang
tersesat di dalam hutan Usun Apau.
Laksamana China yang sememangnya tangkas
tidak sukar untuk meloloskan diri. Beliau dan beberapa parajurit telah berjaya
sampai ke kapal mereka di Sungai Tinjar dan tanpa memikirkan mereka yang
dibelakang, Laksamana China telah mengarahkan kapal itu untuk memudiki Sungai
Tinjar. Dalam pada itu, Laksamana China juga telah berpuashati kerana
rupa-rupanya batu permata yang dicuri itu ada pada beliau. Maka tinggallah Haka
dan beberapa parajurit beliau di Usun Apau. Sejak daripada itu dikatakan tiada
sebuah pun kapal yang mudik ke Usun Apau bagi membawa Haka pulang ke
tanahairnya.
Haka dan saki baki parajurit yang
ditinggalkan sudah tiada pilihan selain daripada tinggal bersama masyarakat
Kenyah di Usun Apau. Mereka kemudiannya telah meresapi masyarakat Kenyah dengan
perkahwinan campur dan akhirnya setelah seketika di Usun Apau akhirnya mereka
berhijrah ke seluruh pelusuk tanah pamah di Belaga dan kawasan sekitarnya.
Mungkin kerana itulah agaknya kenapa masyarakat Kenyah Sarawak mempunyai kulit
putih bermata sepet seakan-akan masyarakat Cina sekarang.
3. Naga Di Dalam Etnik Tatau
Menurut cerita orang tua-tua daripada
masyarakat etnik Tatau bahawa suatu waktu dahulu ketika ramai etnik Tatau masih
lagi mendiami kawasan bergelar Lubok Sebubong iaitu satu kawasan yang berada di
Sungai Kakus, terdapat seorang lelaki yang handal berburu. Pada suatu hari,
lelaki ini telah keluar memburu sehingga ke Rantau Kemesu iaitu salah satu
kawasan di Sungai Kakus. Apabila dia menghampiri satu kawasan maka beliau
menjumpai seekor naga sedang asyik memakan buah-buahan di atas pokok kasai.
Seperti pemburu yang lain, lelaki ini begitu
teruja untuk mengalahkan naga yang bersaiz besar ini maka disediakannya segala
peralatan pemburuan yang dibawanya. Dengan penuh keyakinan, lelaki ini telah
menyumpit naga tersebut dengan sumpit beracun. Walau sudah banyak sumpit
beracun yang digunakan ternyata naga tersebut belum tewas malah terus memakan buah-buahan
di atas pokok kasai tersebut. Pada fikiran lelaki ini mungkin racun sumpitnya
belum lagi menyerap ke badan naga tersebut lalu dia pun kembali ke rumah
panjangnya.
Sampai sahaja di rumah panjangnya, lelaki ini
telah memberitahu kepada rakan-rakannya jika ada sesiapa di antara mereka
mendengar bunyi yang kuat seakan-akan benda yang jatuh daripada langit maka
segeralah memberitahu beliau. Rakan-rakan lelaki ini hanya mengiyakan sahaja
percakapan lelaki tersebut tanpa mahu bertanya apakah cerita tersebut.
Pada malam itu ketika rakan-rakan lelaki ini
berehat di ruai rumah panjang mereka maka terdengarlah mereka bunyi yang amat
kuat dan mereka terus memberitahu lelaki ini tentang berita tersebut. Mendengar
perkhabaran itu, lelaki itu terus ceria dan mengajak rakan-rakannya pergi
bersama ke arah dari mana datangnya bunyi tersebut.
Setiba di kawasan pokok kasai itu,
rakan-rakan lelaki ini amatlah terkejut dengan apa yang dilihat mereka kerana
ternyata seekor naga telah tersungkur jatuh tanpa nyawa dan tersadai menyembah
bumi. Maka gembiralah mereka semua dan lelaki itu telah mendapat puji-pujian
yang amat tinggi daripada rakan-rakannya. Tanpa berlengah lagi lelaki ini telah
bertindak memotong daging naga tersebut untuk dibahagi-bahagikan kepada
rakan-rakannya agar boleh sama-sama dijadikan juadah untuk makan bersama
keluarga mereka nanti.
Setelah menjelang dinihari sudah menjadi
amalan wanita-wanita di rumah panjang untuk memasak dan menyediakan juadah
untuk bersarapan keluarga masing-masing. Maka sibuklah mereka memasak daging
naga tersebut. Daging naga tersebut telah dimasukkan ke dalam buluh
bersama-sama dengan ramuan tradisional etnik Tatau.
Sewaktu mereka sedang sibuk menyediakan
masakan tersebut ada antara mereka telah terdengan satu suara pelik daripada
daging tersebut . Mula-mula mereka merasa kaget tetapi mana mungkin mereka
mempercayai daging yang telah dihiris halus-halus boleh berkata-kata maka
mereka terus menerus memasak sehinggalah juadah daging naga ini boleh dimakan
oleh keluarga mereka pada pagi itu.
Selesai kesemua suami dan anak-anak mereka
makan sarapan itu tiba-tiba muncullah seorang wanita asing ke rumah panjang
mereka. Wanita asing ini agak pelik dan terus menerus meminta kesemua penduduk
rumah panjang tersebut membuka mulut mereka. Rupa-rupanya wanita ini cuba untuk
mencari sisa-sisa daging naga yang masih terlekat di celah-celah gigi mereka.
Dalam ramai yang diperiksanya hanya 2 orang sahaja yang dipastikan tidak
memakan daging naga tersebut iaitu 2 orang anak yatim yang tinggal bersama-sama
di rumah panjang tersebut.
Dengan secara lembut, wanita ini telah
mengarahkan agar kedua-dua anak yatim ini meninggalkan rumah panjang tersebut
dan meminta mereka jangan kembali lagi ke rumah panjang tersebut jika tidak
mahu terkena sumpahan. Maka kedua-dua anak yatim ini terus keluar daripada
rumah panjang tersebut kerana tidak mahu terkena sumpahan.Sebaik sahaja mereka
melangkah keluar, mereka dapati keseluruhan warga rumah panjang tersebut telah
mati. Rupa-rupanya wanita asing itu adalah jelmaan kepada seekor naga betina
iaitu isteri kepada naga jantan yang dibunuh semalam dan dia datang ke rumah
panjang tersebut untuk menuntut bela atas kematian suaminya.
4. Naga Di Dalam Etnik Melayu Perabangan
Apabila Majapahit menguasai persisiran
Sarawak, maka bermulalah penghijrahan masyarakat Melayu dari Sumatera ke
kawasan persisiran ini. Kerajaan Santubong telah dibuka oleh Raden Menteri
Dipati Jipang atau Datu Merpati Jepang yang telah berhijrah ke Sarawak pada
kurun ke-15.
Diriwayatkan Datu Merpati Jepang adalah
seorang putera yang telah diusir oleh neneknya iaitu Betara Andera Kala sewaktu
perebutan kuasa di Pulau Langka Putra (Pulau Jawa). Setelah diusir, beliau
telah pergi mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Sewaktu
mengembara di Johor, Datu Merpati Jepang telah berkahwin dengan puteri Raja
Jarom Jawa seorang kerabat diraja Johor iaitu Datu Permaisuri Kemala.
Setelah berkahwin, Datu Merpati Jepang telah
meneruskan pengembaraannya sehingga ke Tanjung Datu dan disinilah bermulanya
pertemuan beliau dengan Datuk Kuli atau Datuk Kuali. Beliau telah membantu
Datuk Kuli yang terdampar di sebuah tanjung dan atas pertolongan ini, Datuk
Kuli telah mengundang Datu Merpati Jepang dan pengikut-pengikutnya untuk
tinggal di persisiran Sarawak.
Memandangkan isterinya Datu Permaisuri Kemala
sedang sarat mengandung, Datu Merpati telah berniat untuk tinggal di sebuah
penempatan di persisiran Sarawak yang menghadap Laut China Selatan iaitu daerah
Santubong.
Setelah beberapa ketika maka isterinya telah
melahirkan seorang puteri iaitu anak bongsu mereka yang dinamakan Dayang Seri
Bulan. Perkahwinan Datu Merpati juga dikurniakan dengan 2 orang lagi cahayamata
iaitu seorang putera lelaki sulung diberi nama Merpati Jepang dan satu lagi
dikatakan seekor ular yang telah dilepaskan oleh Datu Merpati dan dikatakan
ular ini apabila dewasa menjadi seekor naga.
Dikala kawasan persisiran Sarawak masih lagi
kuat dengan ancaman lanun, Datu Merpati sekeluarga telah menyelamatkan diri ke
Brunei setelah diserang oleh Pego, angkatan lanun yang ganas di perairan
Sarawak pada masa itu.
Di katakan ketika menyelamatkan diri daripada
ancaman lanun ini sebenarnya Datu Merpati sekeluarga telah hampir ditawan oleh
lanun Pego tetapi kerana adanya anaknya seekor Naga inilah yang membantu mereka
sekeluarga yang mengawal bahtera ayahandanya sehingga mampu sampai ke Negara
Brunei Darussalam.
Inilah antara misteri kewujudan Sang Naga di
dalam cerita legenda masyarakat di Sarawak yang mana kewujudannya seperti
“pernah ada” suatu waktu dahulu. Sudah tentu banyak lagi versi cerita legenda
dari etnik-etnik Sarawak yang memaparkan Sang Naga di dalam cerita mereka dan
legenda sang naga dari 4 etnik Sarawak ini salah satu antaranya.
Hakikatnya Sarawak Bumi Kenyalang sebenarnya
mempunyai banyak cerita legenda yang tidak kurang daya tarikannya seperti juga
bangsa-bangsa yang lain di seantero dunia, CUMA amat kurang pendedahannya buat
sumber informasi generasi Sarawak sekarang.
Adakah benar Naga itu wujud? Allahualam.
Sungai di Sarawak terbentang luas, kemungkinan itu tetap ada cuma ia tak menunjjukan diri. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan