Khamis, 15 September 2016

Mid-Autumn Festival

Salam Malam Jumaat,



Dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan ataupun Perayaan Pertengahan Musim Luruh, merupakan perayaan yang dirayakan selepas orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir dinasti Yuan (1280 sebelum masihi – 1341 masihi). Kuih Bulan juga dikaitkan dengan dengan Pesta Tanglung, namun ini adalah perayaan yang berbeza yang dirayakan di China akan tetapi berbeza buat negara lain contohnya Singapura dan Malaysia.

Perayaan ini disambut oleh masyarakat etnik Cina dan masyarakat Vietnam. Perayaan ini dirayakan pada hari ke15 pada bulan ke8 di dalam kalender Cina dan kalender Vietnam (pada akhir bulan Ogos sehingga akhir bulan September). Ia selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh. Pada masa itu, bulan biasanya mengambang penuh dan terang sekali, menjadikannya waktu yang paling sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas.

Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting selain daripada Perayaan Tahun Baru Cina. Perayaan disambut dengan perarakkan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.

Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Apabila ia diperbuat daripada adunan manis yang berintikan kacang merah atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Tapi sekarang kuih bulan ada berjenis bentuk, rasa dan jenis.

Maksud perayaan

Perayaan ini disambut atas 3 dasar penting iaitu:
·         Gathering (Berkumpul), dimana keluarga dan rakan-rakan datang berkumpul dan menuai hasil tanaman ketika perayaan.
·         Thanksgiving (Bersyukur), bersyukur atas tuaian yang baik ataupun keharmonian dalam kehidupan.
·         Praying (Berdoa), berdoa ataupun berhajat seperti mendapatkan anak, kesejateraan suami isteri, kebahagian, rezeki, panjang umur ataupun untuk masa depan yang baik.
Tradisi dan mitos perayaan berdasarkan kepada 3 dasar ini akan berubah mengikut kepada peredaran masa apabila perkembangan teknologi, sains, ekonomi, budaya dan agama.


Lagenda dikaitkan dengan Perayaan Kuih Bulan

Chang’e & Hou Yi

Pada zaman dahulu, terdapat 10 matahari di langit yang muncul dengan tiba-tiba yang menyebabkan kesemua tumbuhan yang ada dimuka bumi terbakar. Manusia mulai mati daripada bahang matahari tersebut.

Pada satu hari, seorang pahlawan yang bernama Hou Yi menggunakan busur lalu memanah jatuh 9 matahari dan meninggalkan 1 dimana yang cukup menerangi bumi. Kesemua manusia di bumi dapat diselamatkan.

Atas jasa Hou Yi, Maharani Barat (Isteri kepada Maharaja Jed, Raja Kayangan) meanugerahkan Hou Yi ubat hidup abadi dimana yang membuat Hou Yi menjadi hidup abadi dan menjadi seorang dewa. Akan tetapi ubat berkenaan hanya untuk seorang diri sahaja. Hou Yi ingin menjadi seorang dewa akan  tetapi dia cukup mencintai isterinya Chang’e sehinggakan dia sanggup melepaskan daripada memakan ubat tersebut apabila dia tak ingin berpisah dengan isterinya tersayang. Lalu Hou Yi memberikan ubat tersebut kepada isterinya Chang’e untuk menjaga ubat tersebut.

Hou Yi menjadi bertambah terkenal selepas dia berjasa memanah jatuh 9 matahari dan ramai ingin berguru dengan beliau. Kebanyakkannya Hou Yi menerimanya dengan hati terbuka. Sayang tak kesemua anak murid Hou Yi ini berakhlak mulia, Peng Meng salah seorang daripada pelajarnya inginkan ubat abadi untuk kepentingan diri sendiri.

Pada satu hari, Hou Yi pergi memburu bersama-sama dengan anak muridnya kecuali Peng Meng yang berpura-pura sakit yang terpaksa ditinggalkan di rumah. Selepas Peng Meng memastikan Hou Yi dah pergi, dia bergegas ke rumah Hou Yi lalu memaksa Chang’e untuk memberikan ubat berkenaan kepada Peng Meng.

Oleh kerana Chang’e tahu dia tak mampu mengalahkan mahupun melawan Peng Meng, Chang’e dengan segera memakan ubat tersebut. Dengan perlahan-lahan tubuh Chang’e menjadi ringan dan terbang pergi ke langit. Ubat itu telah menukar Chang’e menjadi dewi dan menjadi hidup abadi. Akhirnya Chang’e berhenti di bulan apabila ia paling hampir dengan bumi, Chang’e tak mampu kembali semula ke pangkuan suaminya dan dia berasa sedih apabila ia tak akan bertemu semula dengan suaminya tersayang.

Apabila Hou Yi mendapat tahu apa yang terjadi kepada isterinya, hatinya terluka dan dia dalam berduka. Dikala malam Hou Yi akan terjerit-jerit memanggil nama isterinya ke arah langit dengan harapan untuk bertemu dengan isterinya tersayang. Pada satu malam, ketika Hou Yi menjerit-jerit nama isterinya dengan tiba-tiba dia ternampak kelibat isterinya di bulan. Lalu Hou Yi menyediakan tempat persembahan dengan menyediakan makanan dan buah-buahan kesukaan isterinya sebagai perhormatan dikira sebagai memorial.

Chang’e diangkat sebagai Dewi Bulan, penduduk tempatan akan memberikan juadah persembahan kepada Chang’e untuk mendoakan keamanan dan tuah yang baik. Dengan ini budaya persembahan kepada Chang’e bermula daripada lagenda ini.

Dewi Bulan, Chang'E 
Wu Gang dan Pokok Cherry Bay

Wu Gang ini seorang penebang pokok. Dia ini ingin menjadi orang abadi ataupun dewa akan tetapi dia tak pernah berusaha mahupun mencuba mempelajari kaedah untuk menjadi apa yang dia hajatkan.

Maharaja Jed menjadi murka dengan sifat Wu Gang. Sebagai hukuman buat Wu Gang, Maharaja Jed menanam sebuah pokok Cherry Bay yang besar sekali sekitar 1665 meter (5460 kaki) di atas bulan. Lalu baginda memerintahkan Wu Gang untuk menebang pokok tersebut, jika dia dapat menumbangkan pokok berkenaan maka dia akan diangkat menjadi dewa.

Pada masa itu, Wu Gang serius akan tetapi usahanya mulai terjejas apabila setiap kali dia menebang pokok tersebut. Pokok tersebut akan kembali normal ataupun pulih sepenuhnya seperti tiada apa-apa setiap kali Wu Gang cuba menebangnya. Wu Gang terus cuba menebang pokok tersebut tanpa berasa nak putus asa walaupun dia sudah mencubanya beberapa kali.

Dikala langit tak berawan, kita boleh terlihat bayangan gelap pada bulan ia adalah hasil daripada bayangan gelap daripada pokok Cherry Bay.


Arnab Jed

Diceritakan , terdapat 3 dewa turun ke bumi. Mereka menyamar menjadi pengemis tua untuk menguji kehidupan yang ada di bumi. Pada satu hari, mereka meminta makanan dengan seekor rubah, monyet dan arnab.

Ketiga-tiga haiwan ini keluar mencari makanan, hanya rubah dan monyet sahaja dapat mencari makanan dan diberikan kepada 3 pengemis tersebut . Manakala arnab tak dapat menjumpai sebarang makanan dan balik dengan tangan kosong.

Arnab tersebut berasa bersalah kerana tak dapat memberikan makanan kepada 3 pengemis, lalu arnab itu berkata kepada 3 pengemis “Sila makan saya” dan tak membuang masa terus melompat ke dalam api.

Ketiga-tiga dewa tersebut terharu dan tersentuh apa yang dilakukan oleh arnab atas pergorbannya. Dengan sebulat suara, mereka menjadikan arnab tersebut dengan gelaran “Arnab Jed” dan dihidupkan semula sebelum dijadikan abadi. Sejak itu, Arnab Jed tinggal menemani Chang’e di istana bulan dan terus bekerja menumbuk ubat abadi yang dikhaskan untuk dewa-dewi di kayangan.

Apa kamu nampak?


Perayaan pada zaman moden

Pada perayaan menyambut kesyukuran hasil tuaian yang baik dengan mengadakan persembahan dengan memberikan nasi dan gandum bagi memberikan perhargaan pada bulan. Kebiasanya perjumpaan ataupun berkumpul iaitu keluarga dan rakan-rakan di luar rumah ataupun halaman rumah untuk menikmati kuih bulan sambil mengamit keindahan bulan penuh, ia melambangkan keharmonian dan perpaduan diantara keluarga dan rakan-rakan.

Perayaan ini disambut dengan pelbagaian budaya pada daerah dan tempat yang berbeza, seperti:
·         Upacara sembahyang dengan membakar setanggi (Hiong) dan makanan kepada dewa dewi terutamanya Chang’e, dengan menyatakan kesyukuran dan berhajat sesuatu yang baik.
·         Persembahan tarian naga dan singa, seperti diamalkan di selatan China, Vietnam, Singapura, Malaysia, Philippine, UK, USA dan tempat-tempat adanya masyarakat cina.
·         Ahli keluarga akan pulang ke rumah untuk mengadakan jamuan makan malam bersama-sama dengan keluarga hampir sama seperti perayaan Tahun Baru Cina.
·         Perarakkan tanglung yang digemari sekali oleh kanak-kanak dimana mereka akan membawa tanglung dan ditemani dengan ibubapa mahupun penjaga untuk berjalan di taman, sekitar perumahan mahupun perkarangan rumah. Tanglung pelbagai jenis daripada traditional kepada yang moden menerangi pada malam Pesta Kuih Bulan.

Pesta Pertengahan Musim Luruh, merupakan salah satu adat dan budaya yang masih diamalkan oleh masyarakat Cina, yang dirayakan setiap tahun walaupun berlainan agama. Apabila ia adalah adat dimana ia harus dikekalkan untuk anak-anak yang masa depan.

Saya ingin mengucapkan buat warga Tiong Hua, Selamat Menyambut Festival Kuih Bulan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan