Khamis, 25 Ogos 2016

Salam Malam Jumaat semua,

Saya ingin memberikan pengumuman bahawa saya akan berehat sebentar daripada update sebarang post di blog ni. Bukan bererti saya berhenti terus ini kerana saya mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kepakaran saya.Oleh kerana keadaan masih belum dapat dipastikan dahulu dan masih lagi kacau-bilau. Ia sukar bagi saya nak berkongsi apabila saya hampir tertidur sambil nak taip.

Apabila keadaan sudah menjadi terkawal, saya akan berkongsi semula. Saya ada rancangan membuat kajian tapi masa belum mengizinkan.

Bagi mereka yang follow saya, kamu akan diberitahu juga apabila saya berkongsi semula. Bagi mereka yang singgah sahaja, maaflah saya tak tahu bila saya akan kembali berkongsi. Di Fb pun tersangkut sebab sibuk dengan kerja. Jadi bersabar sahajalah saya akan kembali juga.

Salam Malam Jumaat semua.

Khamis, 18 Ogos 2016

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang


Salam Malam Jumaat, 
Makam Sultan Mahmud dijulang
Kota Tinggi, Johor. 1699

Lanun bermaharajalela! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan Pulau Penyegat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun. Kapal-kapal perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor kerana bimbang diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal disepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang untuk keluar ke laut. Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat selamat-Sultan Mahmud Syah II.

Pahlawannya pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama, laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan. Dan juga kerana tempat asalnya itu, beliau digelar Laksamana Bentan. Laksamana Bentan mendapat tempat yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!

Sudah terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu, kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa tidakkan sakit?

Sakit hatinya bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi, setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi. Sejak itu Wan Anum berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata sulung.

Namun keadaan tidak selalunya seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta. Dan Wan Anum perlu memahami keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela, dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan. Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.

Namun seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi, akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah. sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu. Dan kegagalan itu membuatkan Tun Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia bertindak dahulu.

Sudah hampir 2 bulan Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.

Namun seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak badan binasa.

Malangnya Sultan Mahmud mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan ternyata derhaka kepada baginda. Baginda Sultan yang termakan hasutan ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya. Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.

Alangkah malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan Laksamana Megat Seri Rama.

Angkatan tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya. Pada suatu hari, sewaktu berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara, membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman sahabat baiknya membuka rahsia, yang semua ini angkara dari Tun Bija Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang bedebah tersebut.

Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup...

Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana. Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam dirusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu kebumi, sambil melafazkan kalimah

"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"


Dan tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya, memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah dikaki tangga masjid. Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak meninggalkan sebarang pewaris takhta. Manakala diceritakan orang, sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.



Makam Laksamana Bentan


Khamis, 11 Ogos 2016

Puteri Saadong

Salam Malam Jumaat,


Berapa ramai antara kita yang mengetahui akan nama lama bagi negeri Kelantan Darul Naim? Pernahkah anda mendengar Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong? Nama yang menggambarkan akan sebuah kerajaan yang terlalu indah, dikelilingi gunung dan banjaran, serta kawasan lembah yang dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Cerang Tegayong pula memberi makna cahaya yang menyimbahi di celahan dedauan pohon tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu. 

Demikianlah juga akan gambaran pemerintahnya, Chik Siti Wan Kembang, juga dikenali juga Paduka Chik Siti. Satu satunya Raja Perempuan yang sangat dikenali demi kewibawaan baginda, keadilan yang menjadi teras pemerintahannya, kebijaksaan serta keperwiraan baginda walaupun baginda adalah seorang wanita, menjadikan nama Paduka Chik Siti begitu gah dan melata tersebar akan kisahnya di serata rantau Nusantara, dan kerajaannya yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa dipenuhi rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Berikut kerana itu, terdapat cerita orang, pedagang-pedagang yang datang berdagang ke Kelantan, enggan untuk meninggalkan negeri itu, hingga sanggup menenggelamkan kapal masing-masing untuk dijadikan alasan supaya dapat terus kekal di Kelantan. Demikianlah diceritakan orang....

Tersebut pula akan sebuah kerajaan yang berjiran dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, bernama Jembal, terletak di bahagian timur lautnya. Yang mana pada ketika itu dalam tahun 1638 Masehi, Raja Besar telah menyerahkan takhta kepada anakandanya, Raja Sakti dan Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong.

Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung. Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong, yang mana keramaiannya berlangsung selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini. Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".

Hubungan baik terjalin antara kerajaan Jembal dan Kelantan sementelah Kelantan sebuah kerajaan yang gagah perkasa. Perutusan senantiasa bertukar tangan demi perhubungan yang baik itu hinggalah dibawah pemerintahan Raja Loyar yang menggantikan ayahandanya. Raja Loyar telah dikurniakan dua cahaya mata yang mana, seorang lelaki dinamakan Raja Sakti, demi mengenangkan nendanya tapi malang telah mangkat ketika masih kecil, dan kedua pula seorang perempuan dinamakan Puteri Mariam, yang mana lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Paduka Chik Siti yang amat tertarik dengan perilaku dan rupa Puteri Saadong itu telah berhasrat untuk mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya dan juga bakal pewaris takhta, kerana Paduka Chik Siti itu tidaklah bersuami dan tidak mempunyai sebarang anak . Hasrat itu disuarakan kepada Raja Loyar dan seakan seribu rahmat, hajat Paduka Chik Siti diperkenankan oleh Raja Loyar. Puteri Saadong dan Paduka Chik Siti pun berangkat pulang ke Gunung Chinta Wangsa dan bersemayam disana. Sebagai tanda kasih sayang seorang ibu, Paduka Chik Siti memerintahkan para pembesar dan hulubalang mendapatkan dua ekor kijang untuk dijadikan belaan dan teman permainan Puteri Saadong dan dari situlah menjadi lambang pada jata negeri Kelantan yang kekal hingga ke hari ini.

Puteri Saadong membesar, dididik dan diasuh dengan penuh limpahan kasih sayang dari bondanya dan sebagai bakal pewaris takhta. Selain dari itu kejelitaan rupa paras membawa kepadanya gelaran Puteri Wijaya Mala dan kerana itu jugalah nama Puteri Saadong sangat-sangat terkenal, seperti bondanya, Paduka Chik Siti. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Paduka Chik Siti, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Maka, berlangsunglah istiadat perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Gunung Chinta Wangsa dengan penuh kemeriahan dan temasya yang berlangsung berpuluh-puluh hari lamanya. Kemeriahan itu disambut indah dan penuh takzim oleh sekelian rakyat jelata yang merupakan satu anugerah yang penuh rahmat bagi seluruh Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga serta juga Kerajaan Jembal. Semua hamba rakyat juga dapat melihat akan Puteri Saadong yang bakal mewarisi pemerintahan bondanya, Chik Siti Wan Kembang menjadi seorang pemerintah yang adil dan saksama dan moga Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga terus kekal sebagai sebuah kerajaan yang agung, aman dan sentosa. Namun itu hanyalah satu tanggapan...sesungguhnya mereka terlupa tentang seseorang yang sedang memendam perasaan....

Setelah berberapa ketika selepas perkahwinan antara Puteri Saadong dan Raja Abdullah, Paduka Chik Siti mengambil keputusan untuk terus menyerahkan takhta yang sekelian lamanya baginda duduki, diambil alih oleh puteri kesayangannya itu. Setelah selesai istiadat pertabalan Puteri Saadong dan Raja Abdullah sebagai pemerintah Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga yang baru, baginda berdua berpendapat untuk membuka pusat pemerintahan yang baru dan mereka melihat sebuah tempat yang terletak di hilir negeri Kelantan sebuah tempat yang sesuai. Dan kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin, namun bagi Paduka Chik Siti, baginda mahu terus menetap di Gunung Chinta Wangsa kerana baginya, disitulah tempat yang lebih sesuai bagi dirinya. Disini baginda mahu mengasingkan diri, mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan amal ibadat kepada Allah Taala. Dan disinilah, Paduka Chik Siti yang ketika itu telah menjangkau usia senjanya, telah jatuh gering dan setelah berberapa lama, Paduka Chik Siti pun mangkat, menjadi satu berita yang amat menyedihkan bagi seluruh negeri Kelantan: sesungguhnya mereka kehilangan seorang pemerintah yang sangat sukar untuk dicari ganti. Dikatakan baginda telah dimakamkan di Kampung Banggol yang terletak tidak jauh dari Kota Bahru, ibu negeri Kelantan sekarang.

Maka pemerintahan Puteri Saadong pun bermula dan baginda memang seorang pemerintah yang seperti yang diharapkan oleh sekelian rakyat Kelantan. Dengan sebolehnya, baginda meneruskan sifat dan ciri almarhum bondanya, Paduka Chik Siti; seorang pemerintah yang adil dan saksama. Namun, keamanan itu bakal berakhir tidak lama lagi...

Raja Siam yang pernah kecewa akibat gagal memiliki Puteri Saadong, kini amat murka apabila menerima khabar bahawa puteri idamannya itu kini dimiliki oleh Raja Abdullah. Dan kemarahan itu tidak berakhir disitu. Raja Siam telah membentuk sebuah angkatan tentera yang besar untuk menyerang negeri Kelantan dan satu tujuan yang nyata, iaitu memiliki Puteri Saadong! Padanya, puteri itu hanya layak untuk dimiliki olehnya, bukan lelaki lain. Berita akan serangan yang bakal berlaku itu sampai ke pengetahuan Raja Abdullah dan baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Jelasin dan menuju ke daerah Melor dan disini baginda membuka penempatan yang baru dinamakan Kota Mahligai. 
Namun, apalah kudrat itu jika dibandingkan dengan keupayaan tentera Raja Siam yang besar dan terkenal dengan kehandalannya. Tindak tanduk Raja Abdullah dapat dihidu oleh Raja Siam dan Kota Mahligai telah diserang dengan dasyat. Kemusnahan dan kehancuran merebak dengan meluas, kematian berlaku dimana-mana.

Puteri Saadong yang melihat akan kehancuran kerajaannya itu berasa amat kecewa, tambahan pula baginda merasakan dirinya seaakan gagal untuk menjaga amanat dari paduka bondanya, Paduka Chik Siti. Baginda mahu melihat kemusnahan ini berhenti serta merta dan tidak mahu, kerana dirinya, Kerajaan tanah Serendah Sekebun Bunga yang menanggung akibat. Baginda tahu, satu keputusan segera perlu dibuat, meskipun itu bakal mengorbankan dirinya.

Biarlah dirinya dimiliki oleh Raja Siam, asalkan rakyat jelata tidak terus menerima akibat! Raja Abdullah amat kecewa dengan keputusan isterinya tetapi baginda juga sedar, itu adalah demi masa depan kerajaan dan rakyat jelata. Niat Raja Siam menyerang Kelantan cuma satu, iaitu memiliki Puteri Saadong, jadi, dari terus menerima azab, biarkanlah Raja Siam itu mendapat apa yang dihajatinya. Tapi sumpah dan janji Puteri Saadong pada suaminya, Raja Abdullah, walau apa pun, Raja Siam itu hanya mampu memiliki tubuhnya, tapi tidak cinta dan hatinya. Dan demi itu juga, Puteri Saadong juga berjanji, pada suatu hari nanti, Puteri Saadong akan tetap kembali kepada Raja Abdullah. Meskipun berat bagi Raja Abdullah, itulah satu-satunya jalan yang terbaik....

Sebaik sahaja Puteri Saadong menawarkan diri untuk dimiliki oleh Raja Siam, serangan keatas Kota Mahligai dihentikan serta merta...masakan tidak hajat dan tujuan yang terpendam dan impian yang disangka telah terkubur kini termakbul. Sebuah angkatan besar ditubuhkan seakan sebuah angkatan perkahwinan, bersertakan gajah kenaikan besar membawa Puteri Saadong meninggalkan tanah Kelantan menuju pulang ke Siam. Diatas gajah itu Puteri saadong melemparkan pandangan kearah tanah tercinta demi korban serta kasih sayang terhadap rakyat jelata dan tentu khususnya kepada suami yang amat dicintainya, Raja Abdullah. Namun sumpah dan janjinya pemergiannya ke Siam bukanlah untuk selamanya tetapi baginda tetap akan kembali...itu janjinya.

Di Siam, setiap saat dan masa Puteri Saadong bermohon kepada Tuhan Yang Maha Esa agar dipeliharakan dirinya dari nafsu serakah Raja Siam yang tidak putus harap dan sentiasa mencari jalan untuk meraikan kejayaan menawan "kemenangannya" di Kota Mahligai. Kesuciannya hanya untuk dinikmati suami tercinta yang telah ditinggal jauh di Kelantan tetapi tanpa penat dan serik Raja Siam tetap cuba utnuk merampasnya dari Puteri Saadong.

Dan hinggalah pada satu peristiwa, nekad Raja Siam yang durjana itu membawa padah pada diri sendiri. Berkat ilmu yang diperturunkan serta diwarisi dari paduka bonda yang tercinta Almarhum Chik Siti Wan Kembang dan juga berkat doa yang tak putus jemu dipanjatkan kepada Allah Azzawajala, sewaktu Raja Siam sedang cuba meniduri puteri jelita itu, serta merta Raja Siam diserang penyakit sopak dan gatal-gatal yang melampau hingga menyebabkan kulitnya berdarah dan bernanah. Serta merta Raja itu meninggalkan kamar tempat baginda menawan Puteri Saadong.

Keadaan berlanjutan hingga Raja Siam itu terpaksa membawa perkara itu kepda nujum istana yang mana nujum telah membawa kesimpulan yang amat sukar untuk diterima. Kerana Daulat yang kukuh terpelihara pada diri Puteri Saadong, mengakibatkan punca penyakit yang sedang galak mengembang di badan Raja Siam itu. Hanya satu cara sahaja yang dapat menghentikan bencana itu iaitu dapatkan air basuhan kaki puteri itu dan ia akan menjada penawar pada racun yang sedang merebak.

Kepastian itu amat sukar untuk ditelan oleh Raja Siam, namun keadaan dirinya yang sangat darurat hinggakan baginda berasa malu untuk keluar menjalankan urusan negara akhirnya terpaksa menerima hakikat dia terpaksa menunduk kalah pada tawanannya. Pujuk demi pujuk, rayu demi rayu akhirnya Puteri Saadong akur tapi dengan bersyarat. Tinggalnya di Siam akan tamat setelah dia menyerahkan air basuhan kaki tersebut dan Puteri Saadong minta agar dihantar pulang ke Kota Mahligai, demi baginda terlalu rindukan tanah tempat tumpah darahnya dan yang paling penting mengotakan janji pada suami tercinta Raja Abdullah yang telah ditinggalkan setelah sekian lama.

Janji dikota dan Puteri saadong dihantar pulang ke Kota Mahligai. Tiada yang dirasa oleh puteri itu selain rasa syukur yang tinggi dan peluang untuk baginda melepaskan rindu nan membuak bakal termakbul. Impian untuk mengotakan janji kepada Raja Abdullah bukan lagi sekadar mimpi yang menghantui tidurnya setiap malam selama baginda terseksa di Siam. Namun siapalah kita manusia yang serba lemah jika dibandingkan dengan takdir Tuhan yang telah tertulis....

Bayangkan rasa yang bercambah dihati seandainya kepulangan yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh sang suami, sebaliknya melihat suami yang dirindui telah mengambil langkah untuk berpaling dari janji. Patah hati Puteri Saadong melihat Raja Abdullah berada diatas singgahsana bersama isteri baru, Puteri Rokiah anak kepada Penghulu Ngah Jembal. Berlaku pertengkaran yang dasyat antara suami isteri itu dan akibat dari gagal menahan rasa amarah dan cemburu lantaran rasa diri dikhianati, Puteri Saadong mencabut pacak sanggul emas lantas menusuk ke perut suaminya. Lantas Raja Abdullah terjelepok jatuh di kaki tangga singgahsana kaku tidak bernyawa. Puteri Saadong lantas sedar dari lamunan rasa amarahnya namun apakan daya, perkara yang telah berlaku tidak lagi boleh ditarik balik.

Menyesali dan bertaubat atas ketelanjurannya, Puteri Saadong telah turun dari takhta kerajaan Kota Mahligai dan menyerahkannya kepada adinda kepada Almarhum Raja Abdullah, Raja Abdul Karim. Sementelah itu Puteri Saadong telah membawa diri meninggalkan Kota Mahligai dan menuju kearah Gunung Chinta Wangsa tempat persemayaman almarhum bondanya untuk mengasingkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Dan semenjak dari itu tiadalah lagi khabar diketahui tentang puteri jelita yang pernah menggugat keagungan kuasa seorang Raja dan juga yang amat dicintai oleh hambanya...Demikianlah diceritakan orang....

Khamis, 4 Ogos 2016

Cerita Mitos Beras Terbakar Langkawi Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Salam Malam Jumaat, 


Satu cerita sejarah Pulau Langkawi yang termasyhur ialah cerita "Beras Terbakar". Tempat yang dikata beras terbakar itu ialah di Kampong Raja, Mukim Padang Matsirat. Luas kawasan tempat yang didapati beras terbakar itu ialah kira-kira tiga puluh kaki persegi. Dalam yang didapati tertanam dalam tanah lebih tiga kaki. Apabila hujan lebat beras itu timbul.

Mengikut cerita orang tua-tua, Pemerintahan Pulau Langkawi 200 tahun dahulu sampai kurun sembilan belas bertempat di Kampong Raja yang tersebut. Ini boleh dibuktikan iaitu seorang daripada Pegawai Daerah, Pulau Langkawi, yang telah meninggal dunia 80 tahun dahulu telah dikuburkan di kampung ini dan kubur itu ada sampai sekarang.

Berbalik kepada cerita beras terbakar itu, selepas beberapa bulan pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya, datuk yang memerintah Langkawi pada masa itu, pulau ini telah diserang dengan hebatnya oleh orang-orang Siam.

Tempat pertempuran yang dahsyat dan di mana Datuk Seri Kerma Jaya dan panglima-panglimanya yang gagah telah terkorban ialah di Selat Berhala Balik iaitu selat jalan masuk ke Pelabuhan Kuah sekarang.

Sebelum pertempuran yang tersebut itu berlaku, Datuk Kerma Jaya berasa Pulau Langkawi akan tewas, oleh itu ia beri hukum kepada orang-orangnya sekalian beras simpanan hendaklah di tanam supaya tiada terlepas ke tangan musuh.

Ketewasan Datuk Kerma Jaya bagi mempertahankan Pulau Langkawi, mengikut kepercayaan orang-orang pada masa itu dan sampai sekarang pun, ialah dengan kerana sumpahan Mahsuri yang berbunyi "Dengan kerana kezaliman yang dijatuhkan ke atasnya, Pulau Langkawi tidak akan aman dan makmur sehingga tujuh keturunan". Satu daripada bukti sumpahan itu ialah beras simpanan terbakar.

Beras terbakar itu sampai sekarang digunakan oleh sesetengah orang sebagai penawar bagi orang-orang demam panas dan kepialu dan ubat sakit perut.

Beras Terbakar

Tapak dimana sawah-sawah yang dibakar oleh tentera siam, apabila dikorek masih terdapatnya beras-beras yang terbakar.